Blind Spot Visi Jangka Panjang Jadikan Rohingya Bidak Catur
Oleh : Aliya Ab Aziz
Dr Fika Komara, Pengarah Institut Muslimah Negarawan (IMuNe), menilai blind spot terhadap visi jangka panjang menyebabkan Rohingya terus kehilangan hak kewarganegaraan dan dijadikan objek kepentingan pihak lain.
“Kita mengalami blind spot pada sustainable vision, visi jangka panjang yang akan membangun Rohingya ini. Akhirnya sekarang justeru Rohingya ini seperti pion (bidak catur) yang dimainkan untuk kepentingan-kepentingan yang lain. Mereka tumbuh, tetapi kehilangan hak-hak jangka panjang mereka sebagai warganegara, akhirnya terus menjadi objek sampai diancam macam-macam,” katanya dalam segmen wawancara Muslimah Tea Break bertajuk Rohingya: Mengapa Simpati Bertukar Menjadi Penolakan?, yang disiarkan menerusi saluran YouTube Fikratul Ummah pada Jumaat (10/7/2026).
Dr Fika menyifatkan kesan yang kini muncul selepas lebih sedekad itu sebagai akibat daripada sindrom titik buta pemerintah dalam menangani persoalan kewarganegaraan Rohingya.
“Itu yang kemudian jadi masalahnya, baru terasa satu dekad sekarang, kerana kita menuai apa yang menjadi sindrom pemerintah yang tadi saya sebut blind spot syndrome dalam konteks warganegara,” ujarnya.
Kegagalan Tatanan Dunia Hari Ini
Beliau mengatakan masalah itu berpunca daripada sistem negara bangsa yang memandang Rohingya berdasarkan pertimbangan ekonomi, bukan sebagai masyarakat yang perlu dijamin masa depannya.
“Sistem negara bangsa itu kehilangan empati kerana tidak berasaskan akidah Islam. Mereka sekular, mereka hanya berteraskan pada perkiraan ekonomi, untung rugi sahaja. Akhirnya sampai bila-bila pun tidak akan pernah menempatkan Rohingya itu sebagai warganegara yang mendapatkan hak jangka panjang dan masa depan yang berkelanjutan (mampan),” tegasnya.
Menurutnya, sistem dunia yang mendakwa menjunjung demokrasi dan hak asasi manusia sebenarnya telah gagal menangani meningkatnya golongan tanpa kewarganegaraan.
“Sistem global kita adalah demokrasi, human rights, tapi justeru di era ini, manusia tanpa kewarganegaraan, stateless, itu populasinya paling tinggi dibandingkan era-era sebelumnya,” katanya.
Beliau menyifatkan keadaan tersebut sebagai percanggahan dalam sistem demokrasi itu sendiri yang dipromosikan Barat kepada negara-negara Islam.
Hurainya, “Ini sebuah double standard dan kemunafikan sistem demokrasi yang dipasarkan Barat kepada negeri-negeri Islam, termasuk Malaysia, Indonesia dan Bangladesh. Itu negeri-negeri Muslim yang menerima pengungsi atau pelarian Rohingya. Termasuk konvensyen pelarian yang tadi disebut protokol pelarian itu, sebenarnya buatan PBB.”
Penyelidik geopolitik dan aktivis dakwah itu turut menegaskan bahawa Islam tidak membezakan kedudukan manusia berdasarkan etnik atau warna kulit kerana Islam bukan ideologi rasis. Sebaliknya, Islam memberikan kedudukan yang sama kepada mereka yang hidup di bawah pemerintahannya.
Beliau menjelaskan, “Jadi, siapa pun etniknya, siapa pun orangnya, apa pun warna kulitnya, dalam Islam, ketika dia mahu tunduk dengan syariah Islam, dia Muslim dan dia tinggal di wilayah kekuasaan Islam, maka dia sudah automatically menjadi warga Muslim. Dia memperoleh bukan hanya bantuan darurat jangka pendek, tapi bantuan berterusan bergenerasi-generasi sehingga dianggap sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat Muslim itu sendiri.”
Beliau turut mengingatkan bahawa ukuran kemuliaan dalam Islam bukan disebabkan oleh bangsa atau warna kulit, tetapi, “Inna akramakum ‘indallāhi atqākum, ketakwaannya.”
Konflik Boleh Direkayasa untuk Kepentingan Pihak Tertentu
Dr Fika mengingatkan bahawa konflik antara masyarakat tempatan dengan Rohingya boleh dimanfaatkan atau direkayasa oleh pihak yang mengambil keuntungan daripada ketegangan tersebut.
Ini kerana menurutnya, “Ada pihak-pihak yang menangguk di air keruh, memanfaatkan konflik, bahkan merekayasa, melakukan conflict engineering antara penduduk awam dengan Rohingya. Dibenturkan.”
Oleh itu, beliau menggesa masyarakat meneliti dengan lebih mendalam dan mengenal pasti pihak yang mendapat manfaat apabila penduduk tempatan dan Rohingya sama-sama mengalami kerugian tatkala berlakunya konflik.
Merujuk kepada kajian akademik dari Universiti Harvard, Dr Fika berkata lokasi kem pelarian berpotensi dimanfaatkan untuk mencetuskan konflik horizontal.
“Lokasi-lokasi kem pelarian itu rentan dimanfaatkan untuk konflik horizontal, untuk leverage pihak-pihak lain. Kerana itu wilayah berisiko konflik, berisiko intervensi, berisiko secara ekonomi dan secara militer. Paper ini berhujah bahawa negara dapat menggunakan lokasi kem pelarian sebagai alat strategi geopolitik untuk menyeimbangkan kepentingan,” sebutnya.[]
#CaknaUmat #PeduliUmmah #PeduliKemanusiaan #RefugeeCrisis #EndStatelessEndCapitalism