Sinergi Ibu dan Anak: Kunci Meraih Kemenangan
Dalam siri Open Circle Sahabat Muslimah bertajuk “Ibu dan Anak Meraih Kemenangan Syawal” pada 29 Mac 2025 (Sabtu), Aktivis Muslimah Puan Aliya Ab Aziz menyatakan, sinergi antara ibu dan anak merupakan kunci kepada kemenangan sejati menurut perspektif Islam.
“Mesti ada sinergi antara mak dengan anak. Itulah kunci untuk meraih kemenangan, bukan hanya untuk anak, tapi juga untuk mak. Jadi, mak kena jadi motivator utama. Anak pula, kena jadi pendukung yang setia. Kalau proses ini berjalan dengan baik, insyaAllah, rumah tangga akan jadi satu pasukan yang solid, satu team pejuang yang kukuh dan saling menguatkan. Bila dah begitu, barulah keberkahan itu akan menyeluruh, dan insyaAllah, kita akan sama-sama meraih kemenangan, bukan setakat di dunia tapi juga di akhirat. Benda ini bukan mustahil. Para sahabat dan generasi terdahulu dah pun buktikan,” ujarnya.
Menurutnya, kemenangan dalam Islam bukan pilihan peribadi tetapi kewajipan seorang Muslim sebagai bukti cinta dan kesetiaan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
“Kenapa? Sebab memang ada perintah untuk kita meraih kemenangan. Dan semua ini, kalau kita lihat semula, berkait rapat dengan tujuan asal penciptaan manusia itu sendiri,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, kemenangan sebenar ialah apabila seseorang diselamatkan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, merujuk kepada Surah ali-Imran ayat 185.
“Kemenangan hakiki, kemenangan yang paling tinggi, bukan sesuatu yang boleh kita ukur dengan kemewahan dunia. Nilai sebenar kemenangan itu bukan pada harta, pangkat atau kejayaan luaran, tetapi apabila kita berjaya diselamatkan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Itulah definisi kemenangan yang sebenar,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kemewahan dunia hanyalah perhiasan sementara yang tidak boleh dijadikan ukuran kejayaan hidup.
“Dunia ini, seperti yang disebut dalam al-Quran, hanyalah perhiasan yang menipu, mata’ul ghurur. Jadi apa yang benar-benar menentukan kita ini menang atau tidak, adalah balasan akhir bagi setiap amal kita. Ganjaran di akhirat, itulah penentu,” jelasnya.
Ciri-ciri Pemenang Menurut al-Quran
Puan Aliya turut menghuraikan ciri-ciri pemenang menurut al-Quran dan Sunnah iaitu memiliki takwa, sabar dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah.
“Tanpa takwa, jangan harap nak menang. Itu bukan saya kata, tapi Allah sendiri yang kata dalam Surah an-Nur ayat 52,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa sabar bukan sahaja penting dalam menghadapi ujian, malah diperlukan dalam mendidik anak-anak dan membina rumahtangga.
“Kalau dua-dua sabar, ibu dengan anak, insyaAllah keluarga akan harmoni dan capai tujuan bersama-sama,” katanya.
Menurut beliau, tawakal juga perlu bersifat menyeluruh dan bukan terbatas kepada aspek ibadah individu sahaja.
“Tak boleh kita tawakal bab solat saja, tapi dalam aspek ekonomi, pendidikan dan politik kita ikut ideologi manusia. Itu bukan tawakal yang sempurna,” tegasnya.
Ibu Sebagai Arkitek Peradaban
Aktivis Muslimah ini seterusnya mengajak para Muslimah untuk mengambil ibrah daripada sejarah Islam. Dengan menyoroti kisah Huma Hatun, ibu Sultan Muhammad al-Fatih dan Sitt Khatun, ibu Salahuddin al-Ayyubi, inilah contoh ibu-ibu yang membina anak menjadi pemenang umat.
“Masa Al-Fatih masih bayi, Huma Hatun dah tunjuk benteng Konstantinopel dan bisik: ‘Engkaulah orangnya.’ Hari-hari dia ulang benda tu,” katanya.
“Sitt Khatun pula bukan orang besar, tapi dia memiliki cita-cita besar. Nak lahirkan anak pembebas Baitul Maqdis. Dan Allah kabulkan,” tambah beliau.
Menurutnya, kejayaan anak-anak ini bermula daripada visi besar seorang ibu yang istiqamah dalam mendidik dan membentuk pemikiran perjuangan dalam diri anak sejak kecil.
“Kata-kata ibu yang berulang kali itu menjadi doa. Kata-kata itulah yang tanam visi dalam minda bawah sedar anak,” jelasnya.
Konteks Semasa dan Kemenangan Umat
Beliau turut menyentuh suasana semasa di Gaza dan wilayah umat Islam yang tertindas, menyeru agar Aidilfitri dirayakan dalam bentuk syukur, bukan pesta berlebihan.
“Kemenangan bukan sekadar di dapur atau meja makan (juadah hari raya). Tapi dalam akidah, amanah, dan perjuangan,” ujarnya.
Akhirnya, beliau menyeru agar Ramadhan dan Syawal dijadikan titik perubahan, dan hubungan ibu dan anak dikekalkan sebagai jambatan menuju kemenangan abadi.
“Kita perlu membuktikan bahawa kemenangan bukan hanya milik kita di bulan Ramadhan (dan Syawal), tetapi harus berterusan dalam perjuangan hidup seharian. Sebagai hamba Allah, sebagai isteri, ibu, emak, dan anak, kita perlu terus berjuang. Inilah pentingnya istiqamah dalam beramal. Dan di sinilah, kita perlu menjadikan saat ini sebagai detik untuk merenung (introspeksi), untuk melakukan perubahan diri. Mari kita evaluasi, ambil pelajaran, dan bangunkan kehidupan yang lebih baik,” tutupnya.