Keluarga Bahagia: Asas Membangun Peradaban Gemilang
Oleh: Aliya Ab Aziz
Aktivis Muslimah Malaysia, Puan Aishah Sazali dalam Siri Forum Online bertajuk, Keluarga Bahagia: Kunci Membangun Peradaban mengatakan keluarga bahagia adalah asas utama membangun peradaban yang kuat dan gemilang.
“Keluarga bahagia bukan hanya beri kebahagiaan pada individu, tapi juga menjadi asas kepada kemajuan peradaban. Jika setiap keluarga berpegang kepada nilai Islam, maka masyarakat akan kuat dan tamadun akan berkembang dengan gemilang,” ujarnya dalam Siri Forum Online Cakna Umat, 16/3/2025 (Ahad).
Puan Aishah mengingatkan bahawa ibu bapa yang tahu menjadi bahagia berpengaruh dalam membentuk anak-anak sebagai pembina peradaban.
“So, kita nak mudahkan anak-anak kita supaya menjadi pembentuk peradaban, adalah dengan cara kita, mak ayah ni, suami dengan isteri tu, menjadi suami isteri yang bahagia terlebih dahulu. Sebelum menjadi ibu dan ayah yang bahagia untuk anak-anak. Dan akhirnya, terbentuklah keluarga yang bahagia dalam keluarga tu,” katanya.
Beliau seterusnya menjelaskan ciri keluarga bahagia berdasarkan surah al-Anbiya ayat 105, bahawa untuk membentuk peradaban Islam di muka bumi, diperlukan hamba-hamba yang soleh, iaitu mereka yang beriman dan bertakwa. Maka, usaha membentuk individu soleh ini bermula dari institusi terkecil iaitu keluarga.
“ `Bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh’– Jadi, ayat “diwarisi” maksudnya apa? Untuk membentuk peradaban tu, perlu hamba-hamba yang solehlah, kan? Perlu yang beriman, perlu yang bertakwa. Jadi, keluarga yang menjadikan iman dan takwa sebagai asas kehidupan, ini adalah ciri keluarga bahagia. Mendidik anak dengan nilai Islam, agar mereka membesar dalam keimanan,” jelasnya.
Seterusnya beliau mengajak audiens untuk memuhasabah diri dengan menyingkapi sejauh mana sebagai anggota keluarga, sebagai Muslimah yang beriman, sudah melaksanakan peranan mewujudkan ketakwaan dalam keluarga.
“Jadi, ini peringatan bersamalah. Betul ke kita nak keluarga kita ni, keluarga bahagia yang beriman dan bertakwa? Betul ke kita dah usaha? Kalau kita kat sini isteri, isterilah, kan? Betul ke kita dah usaha supaya suami, supaya anak-anak kita menjadi bertakwa? Jadi inilah apa (yang) masing-masinglah kan, untuk menjawab sendiri persoalan tu,” ujarnya.
Beliau turut mengulas maksud kebahagiaan dan menekankan bahawa ia bukan sekadar kegembiraan sesaat.
“Dalam Islam, kebahagiaan sejati datang apabila seseorang hidup dalam ketundukan kepada Allah. Salah satu jalan menuju kebahagiaan adalah melalui keluarga yang harmoni. Bahagia, secara ringkasnya, ialah ketenangan jiwa yang mendalam dan berpanjangan,” katanya.
Beliau turut membezakan makna bahagia dan gembira.
“Kalau gembira, dia sekejap-sekejap. Contohnya, mak ayah bagi anak-anak hadiah, jadi dia rasa gembira. Itu gembira. Tapi kalau bahagia, dia rasa apa? Jiwa dia tenang. Bila ada masalah pun dia tahu masalah yang ada tu adalah untuk menjadikan dia seorang Muslim yang lebih baik. Jadi, walaupun masalah datang, dia masih dalam keadaan bahagia,” tambahnya.
Aishah menegaskan bahawa suami isteri adalah sumber utama keluarga bahagia. Peranan masing-masing bukan bersifat bertindih, tapi saling melengkapi.
“Suami bukan sekadar pencari nafkah. Dialah ‘imam’, pemimpin keluarga. Isteri pula bukan sekadar pengurus rumah, dia pendidik peribadi pertama anak-anak,” ujarnya.
Beliau turut menyebut bahawa keluarga yang bahagia akan melahirkan anak-anak yang bukan hanya berilmu, tetapi juga berjiwa besar.
“Kalau nak lahirkan pejuang Islam, pemimpin negara, pembina ummah – semua itu takkan jadi kalau anak-anak hari ini dibiarkan membesar tanpa contoh tauladan dari ibu ayah mereka,” katanya.
Beliau merujuk kepada kisah Sultan Muhammad al-Fatih, yang berjaya menawan Konstantinopel pada usia 21 tahun kerana dididik oleh ibu ayah yang berwawasan.
“Huma Hatun ibu solehah dan berwawasan mendidik al-Fatih dengan impian besar sejak kecil. Kemudian bapa tegas dan mental kepimpinan iaitu sultan Murad II, melatih kepimpinan sejak usia 12 tahun. Kemudian dari segi didikan ilmu dan ketakwaan Sultan Muhammad al-Fatih berguru dengan ulama hebat dan dia menjadi Hafiz Quran hingga menguasai 6 bahasa,” katanya memeperincikan kisah tersebut sebagai bukti kuasa keluarga bahagia dalam membina sejarah peradaban.
Sebagai kesimpulan, aktivis muslimah ini kembali menegaskan pentingnya peranan keluarga bahagia dalam membentuk masyarakat dan peradaban yang stabil, serta menghasilkan generasi cemerlang.
“Keluarga adalah asas pembinaan masyarakat. Jika keluarga stabil, masyarakat akan harmoni. Sebaliknya jika institusi keluarga runtuh, maka peradaban juga akan musnah. Hubungan keluarga yang bahagia menghasilkan generasi yang cemerlang,“ simpulnya.