Membina Generasi Pemimpin Bukan Pilihan Tetapi Perintah
Penulis : Rahmah
Pakar Perubatan Keluarga & Kaunselor, Dr. Ruziah Ibrahim menyatakan membina generasi pemimpin bukan pilihan tetapi perintah bagi menyelamatkan generasi dan umat.
“Kenapa kita nak sibuk-sibuk ni nak kena buat, sebab ada perintah. Kita nak buat ni yang akan menyelamatkan generasi hadapan dan diri kita sebab mereka akan jadi pemimpin kepada kita,” ujarnya dalam slot ketiga Forum Muslimah Ideal bertajuk Seni Membentuk Generasi Pemimpin, Putrajaya, Ahad (27/4/2025).
Beliau menyatakan sedemikian kerana realiti yang dihadapi sekarang bukanlah yang terbaik malah cabaran sosial, mental dan kerosakan akhlak semakin membarah.
“Jadi apa yang kita fikir sekarang? Jadi apa emosi kita bila kita melihat kehidupan kita bukan yang terbaik? Apa emosi puan-puan? Dalam kehidupan sekarang yang kita tengah fikir, kehidupan kita sebenarnya boleh jadi lebih baik tapi kita tidak hidup dalam kehidupan yang terbaik, streslahkan, sedih dan sebagainya,” ujarnya.
Menurutnya, umat Islam tidak wajar pasrah sahaja tanpa berusaha namun perlu bangkit membina perubahan dengan kebergantungan kepada Allah dan tindakan yang bersungguh-sungguh.
“Jalanilah saja, RnR kan, redah dan redha, pasrah tanpa usaha. Sedangkan umat Islam bukan sebegitu. Kebergantungan kita kepada Allah SWT pemilik seluruh alam, seluruh kekayaan, seluruh kebahagiaan, itu sandaran kita,” tegasnya.
Beliau berkongsi beberapa inisiatif sebagai tindakan bersama bagi membangun generasi beriman dan bersahsiah pemimpin. Antaranya adalah;
Pertama, mengukuhkan keimanan anak-anak dengan sentiasa melibatkan mereka dalam proses berfikir tentang kewujudan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya.
“Macam mana nak buat dan bantu anak ni, menggunakan akal dan petunjuk, bukti-bukti yang dia nampak akan kehebatan pencipta, kehidupan dan alam semesta supaya dia merasai kehebatan Allah tu sentiasa dan dia tak putus asa,” tuturnya.
Kedua, bantu anak dalam memahami akibat atau kesan dari keimanan. “Bantu anak-anak untuk memahami akibat ataupun tanggungjawab dari keimanan yang benar. Dia kata Allah tu pencipta dia, jadi dia akan cenderung untuk bertingkahlaku mengikut apa yang dia faham,” jelasnya.
Ketiga, anak-anak perlu dididik untuk menjadikan syariat Islam sebagai jalan hidup, bukan fobia terhadap syariah.
“Ceritakan apa syariat Allah itu. Bagi dia faham tentang syariat Islam tu jalan hidup yang terbaik. Jangan sampai anak kita dan diri kita jadi orang yang syariah fobia,” pesannya.
Keempat, pemikiran dan tingkahlaku anak perlulah diluruskan sesuai perintah Allah.
“Fahami lima hukum; wajib, sunat, makruh, harus, haram dan bila dia tengok sesuatu perkara, bagi tahu kat dia, itu sebab Allah, bukan sebab kita,” terangnya.
Kelima, pentingnya menyediakan lingkungan yang kondusif dengan mengajak kepada kemakrufan dan menghalang dari kemungkaran.
“Sediakan lingkungan suasana yang kondusif, takmuruna bil ma’ruf, wa tanhauna ‘anil munkar. Ajak kepada ma’ruf, halang kepada kemaksiatan,” ujarnya.
Sebagai mengakhiri forum, beliau menyeru kepada kerjasama dan komitmen dari semua demi mewujudkan sebuah kepimpinan Islam yang akan mengurus dan melindungi umat seluruhnya.
“Kita kena mengembleng tenaga mewujudkan sebuah kepimpinan,negara atau institusi pemerintahan yang bersifat ra’in dan junnah yang menguruskan dan melindungi kita dan anak-anak kita dan generasi dan keturunan kita dan seluruh umat. Berjaya atau tidak bukan urusan kita, kita yakin kita buat dengan apa yang Allah aturkan, InsyaAllah Allah akan bagi kejayaan kepada kita,” tutupnya.