Berwaspadalah! Sesungguhnya penghapusan sekatan Amerika merupakan pintu masuk kepada kehilangan kedaulatan dan permulaan kepada normalisasi dengan Yahudi
(Terjemahan)
Presiden Syria, Ahmed Al-Shara, pada hari Rabu ini telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump, di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, sempena Sidang Kemuncak Teluk-Amerika. hadir dalam pertemuan ini ialah Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, manakala Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, menyertainya melalui panggilan video, menurut laporan media Saudi.
Rumah Putih pada hari Rabu mendedahkan sebahagian daripada perbualan antara Presiden Amerika, Donald Trump, dan Presiden Syria, Ahmed Al-Shara, semasa pertemuan mereka di Riyadh. Jurucakap Rumah Putih berkata Trump menyeru Al-Shara agar menyertai Perjanjian Abraham bersama (Israel). Trump juga menuntut agar Al-Shara mengusir kumpulan-kumpulan Palestin yang digolongkan sebagai “pengganas” oleh Washington dari Syria, dan supaya membantu Amerika dalam menghalang kebangkitan semula kumpulan Daesh.
Sebaliknya, Al-Shara memaklumkan kepada Trump bahawa beliau mengalu-alukan pelaburan syarikat-syarikat Amerika dalam sektor minyak dan gas di Syria, menurut kenyataan Rumah Putih.
Trump sebelum ini pada hari Selasa telah mengumumkan niatnya untuk menarik balik sekatan yang dikenakan oleh negaranya terhadap Syria.
Dan jika kita berbicara tentang isu sekatan ini, meskipun setiap orang beriman pasti bersyukur dengan pengurangan beban ekonomi (jika benar berlaku) terhadap penduduk Syam, maka kita mmesti mengingat firman Allah SWT: “Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan…“ (TMQ Al-Baqarah [2]: 105)
Dan kami menegaskan bahawa sekatan berterusan itu sendiri adalah satu jenayah besar terhadap penduduk Syam, walaupun sekatan itu berpunca daripada rejim pemerintah sebelumnya, dan jika sebab itu telah hilang, maka penghapusannya bukanlah satu bentuk ihsan yang diinginkan oleh musuh Islam kepada penduduk Syam. Bahkan kita harus sedar bahawa Trump dan Barat tidak memberi sesuatu secara percuma; apa yang mereka mahukan dari #Syria berkait rapat dengan isu-isu yang menyentuh kedaulatan negara, seperti mereka mahukan pelbagai konsesi dalam sektor keselamatan, politik dan ekonomi, isu penguasaan asing, serta penglibatan dalam “Perjanjian Abraham”, normalisasi dengan entiti Yahudi, “memerangi ekstremisme dan keganasan”, dan pemaksaan sistem dan perlembagaan sekular yang asing dengan akidah kita, serta mengeksploitasi sumber kekayaan negara demi kepentingan mereka, bukan kepentingan kita.
Ketahuilah bahawa para penguasa rejim-rejim sekular di negara-negara Islam yang menyelewengkan berbilion wang umat atas nama “pelaburan”, sebenarnya berkhidmat untuk Amerika dan kepentingannya, serta untuk mempertahankan kedudukan mereka. Mereka tidak pernah dan tidak akan pernah menjaga kebajikan kita.
Putera Mahkota Saudi, Ibn Salman, sedang berusaha menjual kekayaan dan khazanah kebaikan Syria, sama seperti yang dilakukannya terhadap Saudi , menjual apa yang bukan miliknya kepada pihak yang tidak layak. Walhal kekayaan tersebut adalah hak milik umat Islam. Negara Islam (khilafah) yang mulia yang sepatutnya mengurus pengeluaran dan pengagihannya kepada rakyat. Tidak sepatutnya diberikan sebarang keistimewaan atau menandatangani perjanjian yang berkaitan dengan hak milik umum seperti minyak, gas, mineral dan sumber asli lainnya.
Ratusan bilion dolar yang diserahkan oleh Ibn Salman kepada Trump, tanpa sedikit pun rasa gentar, seandainya dibelanjakan untuk kepentingan umat Islam, pasti akan membawa kemajuan dan kemakmuran kepada mereka.
Apa yang sedang berlaku di Arab Saudi hari ini adalah perkara yang sangat berbahaya dan tidak boleh abaikan dan tidak boleh didiamkan. Sesiapa yang benar-benar memahami Amerika dan mentaliti Trump serta bagaimana dia bertindak, pasti akan sedar betapa seriusnya ancaman yang sedang dihadapi. Trump, seorang kapitalis yang hanya tahu satu perkara, yakni bagaimana menjarah hasil bumi dan kekayaan bangsa lain serta mengekalkan kawalan hegemoni (Amerika) ke atas mereka.
Kami juga mengecam usaha Amerika yang mahu memaksakan perjanjian normalisasi dengan entiti Yahudi, serta cuba untuk memaksakan “Perjanjian Abraham”, yang merupakan jurang bahaya yang besar dan tidak sepatutnya kita terjerumus ke dalamnnya. Sebaliknya, ia mesti ditentang dengan segala kekuatan kerana isu Palestin adalah isu akidah dan agama, ia adalah isu seluruh umat Islam. Tidak boleh sama sekali kita menggadaikannya sebagai harga demi sebuah kerusi pemerintahan yang bengkok, yang pemiliknya tidak akan lama bertahan di atasnya.
Dasar sombong Presiden Amerika, Trump, tidak sepatutnya dihadapi sebagaimana yang dilakukan oleh para penguasa negara Muslim yang tunduk dan membesar-besarkan wang, menggadaikan kekayaan dan kedaulatan umat, serta melakukan apa sahaja yang diarahkan kepada mereka. Sebaliknya, kita perlu mengambil sikap tegas yang selaras dengan prinsip (Islam) dan hukum syarak yang terbit daripadanya, tanpa rasa takut pada celaan mana-mana pihak.
Sesiapa yang memerhati apa yang berlaku di #ArabSaudi dengan kehadiran Ibn Salman serta restu daripada Erdogan, yang telah lama memegang pengaruh kuat ke atas kerajaan baru di Syria, pasti faham betapa besar dan dalamnya lubang perangkap yang mereka telah jerumuskan kita ke dalamnya. Mereka telah menjual negara kita dan akan merompak segala kekayaan kita, terutamanya minyak dan gas, yang merupakan hak milik rakyat, bukan hak peribadi mana-mana pihakuntuk menguruskannya sesuka hati.
Persetujuan untuk menyertai Perjanjian Abraham dan menerima normalisasi dengan entiti Yahudi , yang sedang membunuh saudara kita di Gaza dan tempat lain, serta menjajah tanah suci kita dan menodai Masjid Al Aqsa kita, adalah bencana besar dan jenayah yang sangat dahsyat di sisi Allah dan para hamba-Nya yang jujur.
Apa yang berlaku ini adalah perkara yang sangat serius dari segenap sudut dan dimensi. Tidak sepatunya kita terjatuh ke dalamnya. Sebaliknya, kita wajib mengingkarinya dan memberi peringatan keras terhadap apa-apa langkah ke arahnya, terutama setelah kita mengetahui latar belakang pihak-pihak yang terlibat serta sejarah mereka terhadap umat dan peranan bahaya mereka dalam revolusi dan tanah Sham kita.
Wahai orang-orang yang jujur di bumi Syam!
Perkara ini sangat berbahaya! Kita perlu berwaspada, berjaga-jaga dan tidak mengkhianati darah para syuhada serta pengorbanan umat ini yang mereka tawarkan hanya untuk menegakkan pemerintahan Islam di atas runtuhan rejim yang telah tumbang. Marilah kita menghargai darah yang tertumpah dan pengorbanan yang diberikan, sebelum datangnya hari yang tidak berguna lagi penyesalan.
Firman Allah SWT:
” Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (TMQ Hud [11]: 113)
Pejabat Media Hizbut Tahrir Syria
Rabu, 16 Zulkaedah 1446H
14 Mei 2025
No. Edisi: 1446/20