[Mafahim Islamiyyah] Roh (Bahagian 2/2)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sifat buatan itu tidak akan ada pada diri manusia, kecuali setelah dia beriman bahawa dia mempunyai Sang Pencipta yang telah menciptakannya. Selanjutnya muncul kesedaran akan hubungan setiap makhluk, seperti alam semesta, manusia, dan kehidupan dengan Sang Pencipta.
Ketika manusia memperhatikan makhluk lain, misalnya bulan, kemudian dia menyedari bahawa bulan ini memiliki hubungan dengan Allah dan diciptakan oleh Allah SWT, kesedaran demikian merupakan roh pada diri manusia. Ketika dia tidak memiliki kesedaran hubungan dengan Allah atau dia kosong dari kesedaran hubungan itu, dia akan menjadi manusia tanpa roh.
Jadi, roh yang telah dipropagandakan orang-orang Barat itu merupakan bukan sebahagian daripada manusia, melainkan kesedaran hubungan dengan Allah Taala. Kesedaran hubungan ini menjadikan manusia melaksanakan perbuatannya sesuai dengan perintah dan larangan-Nya. Kesedaran inilah yang menunjukkan eksistensi roh pada diri manusia.
Perasaan manusia akan keagungan, kekuasaan, dan pengetahuan Sang Khaliq sebagai dampak penemuan ini adalah nilai rohani (rohaniyah). Ketika perasaan ini terus berkesinambungan, manusia dapat hidup dalam keadaan beriman (jawwu imani). Perasaan itu mendorong manusia untuk mengikatkan diri terhadap segala perintah dan larangan Allah SWT dengan penuh redha serta ketenangan (thoma’ninah).
Adapun aspek ruhiyah (spiritual) pada segala sesuatu bahawasanya segala sesuatu itu merupakan makhluk Sang Khaliq. Aspek ruhiyah pada gunung, haiwan, atau manusia ialah bahawa semuanya merupakan makhluk Sang Khaliq. Tidak akan dapat memahami aspek ini, selain orang yang beriman dengan eksistensi Sang Khaliq yang telah menciptakan segala sesuatu tersebut.
Islam telah mendorong manusia supaya memahami aspek ruhiyah pada segala sesuatu dan pada dirinya. Semua itu untuk menguatkan roh, iaitu kesedaran hubungan segala makhluk dengan Allah Taala. Dia berfirman, “Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan? Dan langit bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?” [TMQ Al-Ghasyiyah (88): 17-20].
Setelah ayat-ayat di atas, Allah SWT berfirman, “Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah orang yang memberi peringatan.” [TMQ Al-Ghasyiyah (88): 21].
Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW agar mengingatkan manusia tentang hubungannya dengan Allah dan semua makhluk. Hubungan ini bernama hubungan penciptaan (shillatu khalqi). Semua itu adalah untuk menguatkan roh manusia. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” [TMQ Ali Imran (3): 190].
Ayat tersebut menjelaskan bahawa terdapat dalil-dalil bagi orang yang memiliki kesedaran akan hubungan makhluk-makhluk tersebut dengan Sang Khaliq. Allah telah memulakan surah-surah makiyyah dengan menuturkan makhluk-makhluk untuk menampakkan aspek ruhiyah dengan sangat jelas pada surah-surah tersebut. Allah SWT berfirman, “Demi matahari dan cahayanya pada pagi hari, dan bulan apabila mengiringinya, dan siang apabila menampakkannya, dan malam apabila menutupinya, dan langit serta pembinaannya, dan bumi serta penghamparannya.” [TMQ Asy-Syam (91): 1-6].
Demikian pula firman-Nya, “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.” [TMQ Al-‘Alaq (96): 1-2].
Islam telah menuntut umat Islam supaya memadukan antara benda dan roh. Ertinya, Islam meminta agar umat Islam mengikatkan diri dengan segala perintah dan larangan-Nya. Allah SWT berfirman, “Ikutilah apa yang diturunkan kepada kalian dari Tuhan kalian dan janganlah kalian mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya.” [TMQ Al-A’raf (7): 3].
Allah SWT juga berfirman, “Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kalian dari jalan-Nya.” [TMQ Al-An’am (6): 153].
Dalam firman-Nya yang lain, “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.” [TMQ Al-Ahzab (33): 36].
Allah juga telah menjelaskan hukum setiap aktiviti dan hukum segala sesuatu. Dia berfirman, “Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” [TMQ Al-Baqarah (2): 275].
Demikian pula firman-Nya, “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan atas mereka segala yang buruk.” [TMQ Al-A’raf (7): 157].
Walhasil, mengikatkan diri dengan hukum-hukum tersebut ketika beraktiviti adalah merupakan perpaduan roh dengan benda. Ini kerana orang yang mengikatkan dirinya dengan hukum-hukum tersebut ketika dia beraktiviti akan menyedari hubungan dirinya dengan Allah Taala.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.