[Mafahim Islamiyyah] Roh (Bahagian 1/2)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh.” Manusia adalah sistem hidup yang terbentuk daripada benda. Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan Adam daripada tanah liat. Allah SWT berfirman, “(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, ‘Sesungguhnya Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan kepadanya rûh (ciptaan)Ku, maka hendaklah kalian tersungkur dengan bersujud kepadanya.’” [TMQ Saad (38): 71-72].
Kemudian manusia saling bertanya tentang hakikat roh. Mereka bertanya kepada Rasulullah Muhammad SAW tentang roh, lalu wahyu datang sebagai jawapan daripada Tuhan seluruh alam. “Dan mereka bertanya kepadamu tentang rûh. Katakanlah, ‘Rûh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kalian diberi pengetahuan (tentang rûh) melainkan sedikit.‘” [TMQ Al-Isra’ (17): 85].
Roh sebagai rahsia kehidupan (nyawa) adalah urusan Allah Taala. Dia telah meletakkannya pada manusia dan menyandarkannya pada zat-Nya. Dia berfirman, “Aku tiupkan kepadanya roh-Ku.”, yakni roh ciptaan-Nya, maksudnya bukan roh sebagai bahagian dari-Nya. Oleh demikian, Dia berfirman, “Katakanlah, roh itu dari urusan Tuhanku.”, yakni telah diciptakan dengan perintah dari Allah Taala.
Manusia tidak dapat memahami realiti roh ini. Namun manusia memahami bahawasanya roh itu ada melalui penampakan-penampakannya, iaitu tumbuh, bergerak dan bereproduksi. Semuanya menunjukkan eksistensi roh.
Selagi manusia masih boleh tumbuh, bergerak, dan bereproduksi, dikatakan bahawa ia hidup dan pada dirinya ada roh. Namun ketika semua penampakan tersebut tiada, dikatakan bahawa manusia itu mati dan pada dirinya tidak ada roh.
Allah SWT telah meletakkan roh itu pada Adam. Roh itu merupakan urusan-Nya dengan kehidupan. Bermula pada masa Adam AS hingga masa kita hari ini, bahkan sampai menghilangnya kehidupan manusia di atas permukaan bumi ini kelak, roh selalu menyebar dari manusia satu ke manusia yang lain melalui proses perkahwinan sebagai hasil pertemuan sel sperma Ielaki dan sel telur perempuan.
Kemudian tubuh baru itu mulai berkembang sampai pada akhirnya menjadi manusia sempurna setelah melepasi beberapa tahapan. Firman Allah SWT, “Wahai manusia, jika kalian dalam keraguan tentang kebangkitan dari kubur, (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada tanah, lalu dari setitis mani, lalu dari segumpal darah, lalu dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, supaya Kami jelaskan kepada kalian dan Kami tetapkan dalam rahim apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan. Kemudian Kami keluarkan kalian sebagai bayi, lalu (dengan beransur-ansur) sampailah kalian dewasa.…” [TMQ Al-Hajj (22): 5].
Perkara ini dapat diindera pada kejadian semua manusia, kecuali penciptaan Isa AS. Allah SWT telah meniupkan roh kepadanya, tanpa perpindahan roh melalui proses perkahwinan. Ini kerana Allah SWT memerintahkan supaya roh itu berada pada diri Isa AS secara langsung. Allah SWT berfirman, Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah,” [TMQ Ali Imran (3): 59]
Makna ayat ini ialah Allah telah mewujudkan roh dari tidak ada pada diri Isa AS sebagaimana telah mewujudkannya pada Adam AS. Dia berfirman tentang Maryam, “Dan (ingatlah) perempuan yang telah memelihara kehormatannya, lalu kami tiupkan ke dalam (tubuh)nya roh dari Kami.” [TMQ Al-Anbiya’ (21): 91].
Maryam adalah seorang wanita yang terpelihara dan terjaga kehormatannya. Dia tidak pernah melakukan perbuatan keji dan tidak pernah menikah sehingga roh tidak berpindah ke rahimnya melalui proses pertemuan sperma lelaki dengan sel telurnya. Bahkan Allah SWT telah meniupkan roh itu pada rahimnya dengan perintah-Nya daripada tidak ada, sebagaimana Allah SWT telah meniupkan roh itu pada tanah ketika Adam AS diciptakan dari tanah.
Roh yang menjadi rahsia kehidupan adalah urusan dari Allah SWT kepada benda yang terbentuk menjadi tubuh manusia supaya dapat tumbuh, bergerak, dan bereproduksi. Tubuh manusia akan kehilangan kemampuan itu ketika roh diambil-Nya.
Adapun orang-orang Barat dan orang-orang sebelum mereka, iaitu orang Yunani, mereka beranggapan bahawa roh merupakan sebahagian daripada manusia. Mereka mengatakan, bahawa manusia itu terbentuk daripada benda dan roh, sedangkan roh ini merupakan pancaran dari zat Allah Taala. Ketika roh menguasai benda, manusia menjadi mulia dan tingkah lakunya mendekati kesempurnaan ketuhanan (kamal ilahiah).
Namun sebaliknya ketika benda menguasai roh, merosotlah tingkah laku manusia itu. Padahal roh yang telah mereka propagandakan, eksistensinya tidak ada dan roh tersebut bukanlah rahsia kehidupan (nyawa). Ini kerana secara faktanya, manusia itu terbentuk daripada benda sahaja. Sedangkan roh (rahsia kehidupan) tidak bertambah dan berkurang kerana merosot atau mulianya manusia.
Dengan demikian roh yang membuat manusia menjadi mulia adalah sesuatu yang lain, bukan nyawa dan bukan merupakan sebahagian daripada manusia. Roh tersebut hanyalah sifat buatan yang melekat (sifat thariaah). Manusia dapat meraihnya dari luar dirinya dan sifat ini mempengaruhi tingkah lakunya.
Dengan sifat ini manusia menjadi mulia sehingga dia mampu mengawal naluri dan keperluan jasmaninya. Sifat ini tidak ada, kecuali ketika manusia itu melaksanakan aktivitinya sesuai dengan sistem yang berada di luar dirinya, iaitu mengikut sistem yang datang dari kekuatan yang lebih mulia daripada manusia, iaitu Allah Taala.
Keterikatan tidak akan pernah ada, kecuali apabila manusia itu benar-benar beriman kepada Allah SWT dan menyedari hubungan dengan-Nya. Jadi roh dalam perbincangan di atas, yang dapat menjadikan manusia mulia bukanlah rahsia kehidupan (sirrul hayat), melainkan kesedaran hubungannya dengan Allah Taala (idrak sillah billahi).
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.