[Mafahim Islamiyyah] Mafahim Islamiyyah – Pendahuluan (Bahagian 2)
(Sambungan dari Bahagian 1)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Terdapat juga pemahaman Islam yang tidak dimuatkan dalam kitab ini iaitu pemahaman yang berhubung dengan pelbagai perkara ghaib seperti syurga, neraka, dan malaikat. Pemahaman-pemahaman tersebut tidak dapat difahami oleh akal secara langsung, melalui jejak-jejaknya atau penampakan-penampakannya. Ini kerana pancaindera manusia tidak dapat menginderanya, baik mengindera jejak-jejaknya atau penampakan-penampakannya.
Hanya saja akal dapat memahaminya melalui dalil naqli yang dipastikan kesahihannya. Ini seperti ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis mutawatir Nabi, yang menunjukkan dengan pasti penunjukannya sehingga makna lafaz itu tidak dapat difahami dengan sesuatu selain daripada satu makna.
Neraka beserta azabnya dan syurga beserta kenikmatannya merupakan sebahagian dari fahaman akidah bagi seorang muslim. Dia dapat memahami realitinya dari penunjukan wahyu. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang kafir dengan ayat-ayat Kami, kelak Kami akan memasukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Mereka di dalamnya mempunyai isteri-isteri yang suci dan kami masukkan mereka ke tempat yang teduh lagi nyaman.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 54—57]
Kewujudan malaikat adalah pemahaman (mafhum) bagi seorang muslim. Allah SWT berfirman, “Segala puji bagi Allah pencipta semua langit dan bumi yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan yang bersayap, masing-masing (ada) yang dua, tiga, dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang Dia dikehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [TMQ Faathir (35): 1]
Tingkah laku manusia sentiasa berkaitan dengan pemahamannya tentang kehidupan. Ini kerana pemahaman ini adalah piawaian bagi tingkah laku. Jika kita ingin mengubah tingkah laku manusia daripada tingkah laku yang hina kepada tingkah laku yang mulia, kita hendaklah mengubah pemahaman mereka tentang kehidupan. Ubahlah dari pemahaman-pemahaman yang keliru dan mundur kepada fahaman yang benar dan mulia.
Sesungguhnya pemahaman (mafahim) Islam merupakan pemahaman tentang kehidupan yang sangat mulia. Justeru menjadi satu keperluan untuk menjelaskannya agar ia menjadi piawaian bagi tingkah laku umat Islam. Begitu juga, supaya mereka bangkit dengan kebangkitan yang benar menurut prinsip kebangkitan (iaitu kebangkitan pemikiran).
Jadi buku ini merupakan batu merah yang tersusun rapi pada ketinggian kebudayaan Islam yang luhur yang telah dibina oleh para pendahulu kita. Saya berdoa hanya kepada Allah, semoga buku ini menjadi pemetik api untuk menyalakan susunan lilin sehingga cahayanya menyinari fahaman Islam (mafahim Islamiyyah) yang jernih laksana kristal. Ini sekaligus untuk membersihkan semua campuran yang melekat pada pemahaman tersebut. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang berbuat baik.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah