Keutamaan Memaafkan dalam Islam
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Maksud Memaafkan
Memaafkan (al-‘afwu) bermaksud mengampuni atau menggugurkan celaan dan dosa (al-‘afwu huwa al-shafhu wa isqāth al-laumi wa al-dzanbi). (Mahmūd ‘Abdurrahmān ‘Abdul Mun’im, Mu’jam Al-Mushthalahāt wa Al-Alfāzh Al-Fiqhiyyah, Juz II, hlm. 514). Dalam pengertian yang sama, memaafkan (al-‘afwu) adalah menggugurkan hak yang menjadi kewajipan atas orang lain (kepada kita). (al-‘afwu huwa isqāth al-haqq alladzī ‘ala al-ghair). (Rawwās Qal’ah Jī, Mu’jam Lughat Al-Fuqahā`, hlm. 285).
Memaafkan ini boleh dizahirkan dalam pelbagai fakta, mengikut pelbagai jenis perbuatan terlarang atau perbuatan zalim yang dilakukan oleh seseorang terhadap orang lain. Contohnya seseorang mencaci maki orang lain, seseorang menuduh orang lain berzina, seseorang mengambil harta orang lain secara zalim (contoh: merampas, merompak, mencuri, menipu, menipu sukatan atau timbangan, dsb). Memaafkan juga boleh dimanifestasikan dalam kes di mana seseorang membunuh atau mendera orang lain secara fizikal, seperti memukul, menampar, mencederakan, dan sebagainya.
Hukum Memaafkan
Dalam semua perbuatan zalim tersebut, Islam telah memberi penyelesaian dengan pelbagai hukum syariahnya di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, baik penyelesaian bagi pelaku kezaliman, mahupun penyelesaian bagi pihak mangsa kezaliman.
Bagi pelaku kezaliman, Islam telah mewajibkan dia untuk meminta maaf atau meminta penghalalan (istihlāl) daripada mangsa kezalimannya. Jika pelaku kezaliman tidak meminta maaf atau meminta penghalalan (istihlāl) di dunia, maka Islam menjelaskan bahawa urusan ini akan diteruskan sehingga di akhirat kelak ketika Allah SWT menegakkan keadilan di antara para makhluk-Nya.
Adapun bagi mangsa kezaliman, Islam telah membolehkan bahkan mensunnahkan (mandūb) untuk memaafkan orang yang pernah menzaliminya. Inilah hukum asal memaafkan, iaitu sunnah (mandūb). Maksudnya lebih baik kita memaafkan daripada kita menuntut hak kita, atau kita menuntut hukum syariah dijatuhkan ke atas orang lain di mahkamah syariah, atau kita menuntut orang lain di hadapan Allah SWT pada hari kiamat. Di sinilah letaknya keutamaan memaafkan dalam agama Islam, yang menjadi tajuk rencana ini.
Di antara dalil yang menunjukkan keutamaan memaafkan, firman Allah SWT:
وَجَزٰٓؤُا سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثۡلُهَا فَمَنۡ عَفَا وَاَصۡلَحَ فَاَجۡرُهٗ عَلَى اللّٰهِ اِنَّهٗ لَا يُحِبُّ الظّٰلِمِيۡنَ
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal; tetapi barang siapa memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik kepada yang berbuat jahat, maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” [TMQ Asy-Syūrā (42): 40]
Namun para ulama menjelaskan, boleh jadi yang disunnahkan itu, bukanlah memaafkan, tetapi justeru tidak memberi maaf. Ini boleh berlaku dalam keadaan khusus, iaitu apabila kita memaafkan seseorang yang telah melakukan kezaliman kepada kita, tetapi ternyata kezaliman mereka tidak berhenti malah menjadi lebih teruk. Dalam keadaan sedemikian, adalah sunnah (mandūb) untuk kita tidak memaafkan orang tersebut dan sebaliknya kita perlu menuntut keadilan Islam ditegakkan bagi mereka yang menzalimi kita.
Imam Al-Qurthubi berkata dalam konteks tafsir QS Asy-Syūrā ayat 40 di atas tentang pemberian maaf kepada orang lain yang telah berbuat zalim kepada kita:
وَبِالْجُمْلَةِ الْعَفْوُ مَنْدُوبٌ إلَيْهِ، ثُمَّ قَدْ يَنْعَكِسُ الْأَمْرُ فِي بَعْضِ الْأَحْوَالِ فَيُرْجِعُ تَرْكُ الْعَفْوِ مَنْدُوبًا إلَيْهِ كَمَا تَقَدَّمَ
“Secara umum, memaafkan itu hukumnya mandub (sunnah), namun kadang-kadang hukumnya boleh jadi sebaliknya dalam keadaan-keadaan tertentu, iaitu yang disunnahkan justeru tidak memaafkan, seperti penjelasan sebelumnya (iaitu jika dimaafkan maka kezaliman akan terus terjadi).” (Imam Al-Qurthubi, Al-Jāmi’ li Ahkām Al-Qur`ān, Juz XVIII, hlm. 496).
Adapun dalil bahawa Islam telah mewajibkan pelaku kezaliman untuk meminta maaf atau meminta penghalalan (istihlāl) kepada mangsa kezalimannya, dan bahawa jika pelaku kezaliman tidak melakukannya maka urusan ini akan diteruskan sehingga Hari Kiamat, adalah hadis berikut ini:
عن أَبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: مَنْ كَانَتْ عِنْدَهُ مَظْلِمَةٌ لأَِخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ مِنْ شَيْءٍ فَلْيتَحَلَّلْهُ ِمِنْهُ الْيَوْمَ قَبْلَ أَلَّا يَكُوْنَ دِيْنَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ، إنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلِمَتِهِ، وإنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ، فَحُمِلَ عَلَيْه.ِ رواه البخاري (2449)، أحمد (506) وابن حبان (7361).
Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bahawa beliau bersabda, “Barang siapa yang telah berbuat zalim kepada saudaranya, yang berkaitan dengan kehormatan atau sesuatu apa pun, hendaklah dia meminta penghalalan dari saudaranya itu pada hari ini, sebelum (datang Hari Kiamat) yang tidak ada lagi dinar ataupun dirham. Jika dia memiliki amal soleh, maka akan diambil darinya (pahala amal solehnya) sesuai kadar kezalimannya. Jika dia tidak lagi memiliki (pahala-pahala) kebaikan-kebaikan, maka akan diambil dosa-dosa orang yang dizalimi lalu ditimpakan kepadanya.” (HR. Al-Bukhari, no. 2449, 6534; Ahmad 2/435, 506; Ibnu Hibban no. 7361).
Pelaku kezaliman itu di dalam hadis yang lain, disebut sebagai bankrap/muflis (al-muflis), iaitu orang yang di dunia mempunyai banyak pahala dari pelbagai ibadah, seperti solat, puasa, dan zakat, tetapi pahala-pahala itu ternyata hangus dan tak tersisa kerana perlu digunakan untuk mengganti pelbagai kezaliman yang dilakukannya kepada orang lain. Bahkan setelah pahala-pahala itu hilang tanpa sisa, dia masih perlu mengganti kezaliman-kezalimannya, maka dia akan mendapat limpahan dosa-dosa dari orang yang dizaliminya.
Perhatikan hadis Nabi SAW berikut ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ ما المُفْلِسُ؟ قَالُوْا: اَلْمُفْلِسُ فِيْنَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ، فَقَالَ: إنَّ المُفْلِسَ مِن أُمَّتِيْ يَأْتِيْ يَوْمَ الْقِيامَةِ بِصَلاَةٍ، وَصِيَامٍ، وَزَكاَةٍ، وَيَأْتِيْ قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هذا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَناتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَناتِهِ، فإنْ فَنِيَتْ حَسَناتُهُ قَبْلَ أنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِن خَطايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ. رواه مسلم (2581)
Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Apakah kalian tahu apa itu muflis (orang yang bankrap) itu?” Para sahabat menjawab, “Muflis (orang yang bankrap) di tengah kita itu adalah orang yang tidak mempunyai dirham mahupun harta benda.” Lalu Nabi SAW berkata, “Muflis (orang yang bankrap) dari umatku adalah, orang yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa (pahala-pahala) solat, puasa dan zakat, namun (ketika di dunia) dia telah mencaci maki orang lain, menuduh orang lain berzina, memakan harta orang lain, menumpahkan darah orang lain, dan memukul orang lain. Maka orang-orang itu masing-masing akan diberi pahala dari kebaikan-kebaikannya. Jika telah habis kebaikan-kebaikannya, sedangkan belum selesai apa yang menjadi tanggungjawabnya, maka dosa-dosa mereka akan ditimpakan kepadanya, kemudian dia akan dilemparkan ke dalam neraka.” (HR. Muslim, no. 2581).
Demikianlah hukum syarak yang berlaku bagi pelaku kezaliman, bahawa wajib hukumnya dia meminta maaf atau meminta penghalalan (istihlāl) kepada mangsa kezalimannya, dan bahawa jika dia tidak mahu minta maaf, atau tidak meminta penghalalan (istihlāl), maka urusannya akan terus dilanjutkan shingga Hari Kiamat nanti. Na’ūzhu billāh min dzālik.
Adapun hukum bagi mangsa kezaliman, maka Islam menjelaskan bahawa hukum asalnya adalah sunnah (mandūb) baginya memberikan maaf kepada orang yang melakukan kezaliman kepadanya. Dalil-dalilnya banyak sekali, di antaranya firman Allah SWT:
﴿وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ﴾ (آل عمران: 133-134)
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” [TMQ Ali ‘Imraan (3): 133-134]
Imam Al-Thabarī mentafsirkan kalimat “dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang” (وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ) bahawa yang dimaksudkan adalah:
وَالصَّافِحِينَ عَنْ النَّاسِ عُقُوبَةُ ذُنُوبِهِمْ إِلَيْهِمْ، وَهُمْ عَلَى الِانْتِقَامِ مِنْهُمْ قَادِرُونَ، فَتَارِكُوهَا لَهُمْ
“(dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang), orang-orang yang menghapuskan hukuman untuk dosa-dosa orang lain kepada mereka, sedangkan mereka boleh menuntut balas kepada orang itu, tetapi mereka meninggalkan hukuman bagi orang lain itu (iaitu tidak menuntut balas).” (Tafsīr Al-Thabarī, Juz VI, hlm. 57).
Contoh orang yang dimaafkan, sesuai pentafsiran Imam Al-Thabarī di atas, adalah orang yang telah membunuh anggota keluarga seseorang, baik membunuh secara sengaja (al-qatlu al-‘amad) mahupun tidak sengaja (al-qatlu al-khatha`), maka keluarga mangsa pembunuhan itu ternyata tidak menuntut qisāsh (hukuman mati) dan/atau tidak menuntut diyat (tebusan).
Firman Allah SWT yang berkaitan dengan pembunuhan secara sengaja (al-qatlu al-‘amad) adalah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِصَاصُ فِى ٱلْقَتْلَى ۖ ٱلْحُرُّ بِٱلْحُرِّ وَٱلْعَبْدُ بِٱلْعَبْدِ وَٱلْأُنثَىٰ بِٱلْأُنثَىٰ ۚ فَمَنْ عُفِىَ لَهُۥ مِنْ أَخِيهِ شَىْءٌ فَٱتِّبَاعٌۢ بِٱلْمَعْرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَٰنٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 178]
Firman Allah SWT yang berkaitan dengan pembunuhan secara tidak sengaja (al-qatlu al-khatha`):
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَـًٔا ۚ وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَـًٔا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَصَّدَّقُوا۟ ۚ
“Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (dia wajib membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya).” [TMQ Al-Nisaā` (4): 92]
Mangsa kezaliman yang memberi maaf ini, telah digolongkan oleh Allah sebagai orang-orang yang muhsinīn (berbuat baik). Dan sebagai balasannya, telah disediakan bagi orang-orang yang memaafkan ini syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. (Lihat QS Ali ‘Imrān (3): 133]
Janji syurga bagi mangsa kezaliman yang memaafkan ini ditegaskan dalam hadis yang panjang dan sangat menyentuh hati berikut:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه ُ، قَالَ : بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ ، إِذْ رَأَيْنَاهُ ضَحِكَ حَتَّى بَدَتْ ثَنَايَاهُ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ : مَا أَضْحَكَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، بِأَبِيْ أَنْتَ وَأُمِّيْ؟ قَالَ : رَجُلَانِ مِنْ أُمَّتِيْ جَثَيَا بَيْنَ يَدَيْ رَبِّ الْعِزَّةِ ، فَقَالَ أَحَدُهُمَا: يَا رَبِّ خُذْ لِيْ مَظْلِمَتِي مِنْ أَخِيْ ، قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ : أعْطِ أَخَاكَ مَظْلِمَتَهُ قَالَ: يَا رَبِّ، لَمْ يَبْقَ لِيْ مِنْ حَسَناَتِهِ شَيْءٌ فَقَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لِلطَّالِبِ: فَكَيْفَ تَصْنَعُ بِأَخِيْكَ وَلَمْ يَبْقَ مِنْ حَسَنَاتِهِ شَيْءٌ؟ قَالَ: يَا رَبِّ فَلْيَحْمِلْ مِنْ أَوْزَارِيْ قَالَ : وَفَاضَتْ عَيْنَا رَسُوْلِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْبُكَاءِ ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ ذَاكَ الْيَوْمَ عَظِيْمٌ ، يَحْتَاجُ النَّاسُ أَنْ يُحْمَلَ عَنْهُمْ مِنْ أَوْزَارِهِمْ فَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى لِلطَّالِبِ : اِرْفَعْ بَصَرَكَ فَانْظُرْ فِي الْجِنَانِ ، فَرَفَعَ رَأْسَهُ ، فَقَالَ: يَا رَبِّ أَرَىْ مَدَائِنَ مِنْ ذَهَبٍ وَقُصُوْرًا مِنْ ذَهَبٍ مُكَلَّلَةً بِالُّلؤْلُؤِ ؛ لِأَيِّ نَبِيٍّ هَذَا ؟ أَوْ لِأَيِّ صِدِّيْقٍ هَذَا ؟ أَوْ لِأَيِّ شَهِيْدٍ هَذَا ؟ قَالَ: هَذَا لِمَنْ أَعْطَى الثَّمَنَ! قَالَ: يَا رَبِّ وَمَنْ يَمْلِكُ ذَلِكَ ؟ قَالَ: أَنْتَ تَمْلِكُهُ ، قَالَ: بِمَاذَا؟ قَالَ: بِعَفْوِكَ عَنْ أَخِيكَ ، قَالَ: يَا رَبِّ فَإِنِّي قَدْ عَفَوْتُ عَنْهُ ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: فَخُذْ بِيَدِ أَخِيْكَ فَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ .فَقَالَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: اتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُصْلِحُ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ. ِ رواه الحاكم في المستدرك (4/ 620) (8758) وقال الحاكم : هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه.
Dari Anas bin Malik RA, dia berkata, “Pada saat Rasulullah SAW tengah duduk-duduk dengan kami (para shahabat), tiba-tiba kami melihat Rasulullah tertawa sehingga terlihat gigi-gigi depannya. Kemudian Umar bertanya, “Wahai Rasulullah, demi engkau, ayah dan ibuku sebagai tebusannya, apa yang membuat engkau tertawa?” Lalu Rasulullah menjawab, “(Aku melihat pada Hari Kiamat nanti), ada dua orang lelaki yang bersimpuh di hadapan Allah. Salah satunya berkata kepada Allah, ‘Ya Rabb, ambilkan untukku (balasan) dari kezaliman yang dilakukan oleh saudaraku ini.” Allah Azza wa Jalla berfirman (kepada lelaki lainnya, yang berbuat zalim), “Berikan kepada saudaramu (balasan) dari kezaliman yang menimpanya.” Lelaki itu (mangsa kezaliman) berkata, “Ya Rabb, tidak tersisa lagi (pahala) kebaikan-kebaikannya sedikit pun.” Maka Allah berfirman kepada penuntut, “Apa yang akan kamu lakukan terhadap saudaramu, jika tidak tersisa lagi (pahala) kebaikan-kebaikannya sedikit pun?” Lelaki yang menuntut itu berkata, “Kalau begitu ya Rabb, biarlah dosa-dosaku dipikul olehnya.” (Periwayat hadis berkata) Kedua mata Rasulullah SAW berlinangan air mata kerana menangis. Kemudian Rasulullah berkata, “Hari itu adalah hari yang begitu mencengkam, dimana setiap manusia ingin agar ada orang lain yang memikul dosa-dosanya.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada lelaki yang menuntut, “Angkatlah kepalamu! Dan lihatlah apa yang ada di syurga!” Orang itu lalu mengangkat kepalanya, lalu mengatakan, “Ya Rabb, aku melihat kota-kota dari emas dan istana-istana dari emas yang bermahkotakan mutiara. Untuk nabi siapakah ini? Untuk orang siddiq yang mana ini? Atau untuk syuhada yang mana ini?” Allah berfirman, “Ini untuk siapa saja yang mampu membayar harganya.” Orang itu lalu bertanya, “Siapakah yang mampu membayar harganya?” Allah berfirman, “Engkau pun mampu membayar harganya.” Orang itu berkata, “Dengan apa?” Allah berfirman, “Dengan maaf yang engkau berikan kepada saudaramu.” Orang itu berkata, “Ya Rabb, sungguh aku telah memaafkan saudaraku.” Allah Azza wa Jalla berfirman, “Kalau begitu, pimpinlah tangan saudaramu itu, dan ajaklah dia masuk ke dalam syurga.” Pada saat itulah, Rasulullah SAW bersabda, “Bertakwalah kalian kepada Allah, dan hendaklah kalian memperbaiki hubungan di antara kalian, sesungguhnya Allah mendamaikan permasalahan yang terjadi di antara kaum muslimin.” (HR. Al-Hakim, dalam Al-Mustadrak, Juz IV, hlm. 620, nomor 8758. Imam Al-Hakim berkata, “Hadis ini sahih isnadnya walaupun tidak dikeluarkan oleh keduanya, iaitu Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim).
Penutup
Demikianlah sekilas penjelasan tentang keutamaan memaafkan dalam agama Islam. Bagi pelaku kezaliman, wajib hukumnya meminta maaf atau meminta penghalalan (istihlāl) kepada mangsa kezalimannya. Jika pelaku kezaliman tidak mahu melakukannya, maka urusannya akan menjadi panjang sehingga ditegakkan keadilan Ilahi yang sempurna di Hari Kiamat kelak.
Keadilan Ilahi yang sempurna yang akan ditegakkan di hari Kiamat itu adalah, orang-orang yang melakukan kezaliman akan dicabut pahala amal kebajikan atau ibadah mereka, seperti pahala solat, zakat, dan puasa, kemudian pahala ini akan diberikan kepada mangsa kezaliman. Jika semua pahala dari pelaku kezaliman ini sudah habis, sedangkan urusannya belum selesai, maka dosa-dosa dari mangsa kezaliman, akan diberikan kepada pelaku kezaliman tersebut. Akhirnya pelaku kezaliman akan menjadi orang muflis dan akan dihumban ke dalam neraka. Na’ūzhu billāh min dzālik.
Bagi mangsa kezaliman, hukum asalnya adalah sunnah (mandūb) untuk memaafkan orang lain yang sudah berbuat zalim kepada kita. Terdapat berbagai keutamaan memaafkan dalam agama Islam, di antaranya adalah disediakan kepada mereka yang memaafkan itu syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.
Namun para ulama seperti Imam Al-Qurthubi menjelaskan, boleh jadi yang disunnahkan adalah sebaliknya, iaitu tidak memberi maaf, jika pemberian maaf kepada pelaku kezaliman ternyata tidak menghentikan kezalimannya, atau justeru membuat kezalimannya terus berlanjutan dan semakin teruk. Wallāhu a’lam.
Sumber: Fissilmi Kaffah