Bolehkah Masjid Menerima Haiwan Korban daripada Gereja?
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, seperti yang pernah diberitakan, Masjid Istiqlal Jakarta, Indonesia telah menerima banyak haiwan korban daripada bukan Muslim, antaranya daripada Gereja Katedral, Jakarta. Berita tersebut boleh dirujuk di laman sesawang detik.com melalui pautan berikut:
https://news.detik.com/berita/d-7394813/masjid-istiqlal-terima-sapi-kurban-dari-gereja-katedral
Apakah hukum menerima lembu daripada gereja pada hari Aidiladha seperti ini? Adakah lembu tersebut boleh dianggap sebagai haiwan korban yang sah?
Jawapan:
Haram hukumnya menurut syarak bagi pihak pengurusan masjid menerima haiwan korban daripada gereja atas dua sebab berikut:
Pertama, golongan bukan Islam tidak mempunyai hak untuk turut serta dalam aktiviti memakmurkan masjid, yang antaranya termasuk menyumbangkan haiwan korban kepada pihak pengurusan masjid.
Kedua, golongan bukan Islam tidak memenuhi salah satu syarat sah bagi mudhahhi (iaitu individu yang melakukan ibadah korban), di mana syarat tersebut menetapkan bahawa shahibul qurban mestilah seorang Muslim.
Oleh itu, sekiranya haiwan korban daripada golongan bukan Islam disembelih, hukum penyembelihannya tidak sah sebagai ibadah korban, namun ia tetap sah dan halal dimakan sekiranya dianggap sebagai sembelihan biasa. Tindakan pihak pengurusan masjid menerima haiwan korban daripada golongan bukan Islam adalah batil dan bertentangan dengan hukum syarak.
Kami akan menghuraikan hukum syarak ini dengan disertakan dalil-dalilnya seperti berikut:
Pertama, dalil bahawa golongan bukan Islam tidak berhak untuk terlibat dalam usaha memakmurkan masjid, termasuk menyerahkan dan menyembelih haiwan korban kepada pihak pengurusan masjid, adalah firman Allah SWT:
مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِيْنَ اَنْ يَّعْمُرُوْا مَسٰجِدَ اللّٰهِ شٰهِدِيْنَ عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِۗ اُولٰۤىِٕكَ حَبِطَتْ اَعْمَالُهُمْۚ وَ فِى النَّارِ هُمْ خٰلِدُوْنَ
“Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.” [TMQ At-Taubah (9): 17]
Ayat ini menunjukkan, bahawa orang-orang kafir tidak berhak untuk turut serta memakmurkan masjid, sebagaimana pendapat yang dikutip oleh Imam Al-Thabari dari Syeikh Abu Ja’far yang berkata:
إِنَّ الْمَساَجِدَ إِنَّماَ تُعْمَرُ لِعِباَدَةِ اللهِ فِيْهاَ، لاَ لِلْكُفْرِ بِهِ, فَمَنْ كاَنَ بِاللهِ كاَفِرًا، فَلَيْسَ مِنْ شَأْنِهِ أَنْ يَعْمُرَ مَساَجِدَ اللهِ
“Sesungguhnya masjid-masjid dimakmurkan hanya untuk beribadah kepada Allah, bukan untuk berbuat kufur (ingkar) kepada Allah. Maka barangsiapa yang kafir kepada Allah, tidaklah dia berhak untuk memakmurkan masjid-masjid Allah.” (Tafsir Al-Thabari,16/165).
Kedua, dalil bahawa golongan bukan Islam tidak memenuhi salah satu syarat sebagai pelaku ibadah korban (mudhahhi atau shahibul qurban), iaitu bahawa pelaku korban wajib seorang Muslim, adalah berdasarkan dalil-dalil syarak yang menyatakan bahawa ibadah atau amalan kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir tidak akan diterima oleh Allah dan menjadi sia-sia di sisi-Nya.
Dalam kitab Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (Jilid V, halaman 79), dinyatakan bahawa antara syarat sah bagi pelaku korban (mudhahhi/shahibul qurban) adalah dia mestilah seorang Muslim. Oleh itu, sekiranya seorang bukan Muslim (orang kafir) melakukan ibadah korban, maka hukumnya tidak sah dan terbatal. Marilah kita perhatikan petikan berikut:
اَلشَّرْطُ الْأَوَّلُ : اَلْإِسْلاَمُ، فَلاَ تَجِبُ عَلىَ الْكاَفِرِ، وَلاَ تُسَنُّ لَهُ، لأِنَّهاَ قُرْبَةٌ، وَالْكاَفِرُ لَيِسَ مِنْ أَهْلِ الْقُرْبَةِ…
Maksudnya: “Syarat pertama (bagi pelaku ibadah korban) ialah dia mestilah beragama Islam. Maka tidak diwajibkan melakukan ibadah korban (al-udh-hiyyah) ke atas orang kafir, dan tidak juga disunatkan ibadah korban (al-udh-hiyyah) bagi orang kafir tersebut, kerana ibadah korban (al-udh-hiyyah) adalah suatu bentuk qurbah (mendekatkan diri kepada Allah), sedangkan orang kafir bukanlah daripada kalangan ahlul qurbah (iaitu orang yang layak untuk mendekatkan diri kepada Allah)…” (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 5/79)
Orang kafir disebut bukan ahlul qurbah (orang yang layak mendekatkan diri kepada Allah), kerana banyak dalil-dalil yang menegaskan ibadah atau kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir, tidak akan diterima oleh Allah dan akan sia-sia di sisi Allah. Contohnya, firman Allah SWT:
وَمَنْ يَّكْفُرْ بِالْاِيْمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهٗ ۖوَهُوَ فِى الْاٰخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِيْنَ
“Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” [TMQ Al-Ma`idah (5): 5]
Contoh lainnya, firman Allah SWT:
وَمَنْ يَّبْتَغِ غَيْرَ الْاِسْلَامِ دِيْنًا فَلَنْ يُّقْبَلَ مِنْهُۚ وَهُوَ فِى الْاٰخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِيْنَ
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 85]
Firman Allah SWT:
وَقَدِمْنَآ اِلٰى مَا عَمِلُوْا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنٰهُ هَبَاۤءً مَّنْثُوْرًا
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” [TMQ Al-Furqan (25): 23]
Kesimpulan:
Berdasarkan dalil-dalil syarak yang telah dihuraikan di atas, jelaslah bahawa adalah haram hukumnya bagi pihak pengurusan masjid menerima haiwan korban daripada golongan bukan Islam (sama ada Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan sebagainya) atas dua alasan berikut:
Pertama, golongan bukan Islam tidak berhak untuk terlibat dalam usaha memakmurkan masjid, yang antaranya termasuk menyerahkan atau menyembelih haiwan korban kepada pihak pengurusan masjid.
Kedua, golongan bukan Islam tidak memenuhi salah satu syarat sah sebagai mudhahhi (iaitu pelaku ibadah korban atau shahibul qurban), iaitu bahawa pelaku korban mestilah seorang Muslim. Wallāhu a‘lam.
Sumber: fissilmi-kaffah