Berkorban Dengan Haiwan Yang Berpenyakit Mulut Dan Kuku
Oleh: KH. M. Shiddiq Al Jawi
Soalan:
- Ustaz, adakah penyakit mulut dan kuku pada haiwan korban menjadikan haiwan korban tidak sah untuk dikorbankan?
- Ustaz, ada yang mengatakan bahawa haiwan yang terkena penyakit mulut dan kuku tidak mengapa dijadikan sebagai haiwan korban, kerana penyakit mulut dan kuku katanya tidak boleh menular kepada manusia? (Hamba Allah).
Jawapan:
Berkorban dengan haiwan korban yang terkena penyakit mulut dan kuku (FMD) hukumnya tidak sah menurut syarak, kerana tidak memenuhi salah satu syarat yang wajib ada pada haiwan korban, iaitu haiwan itu hendaklah selamat dari cacat yang menghalangi keabsahan korban (salîmah min al-‘uyûb al-mâni’ah min shihhat al-udh-hiyyah). (Husâmuddin ‘Ifânah, Al-Mufashshal fî Ahkâm Al-Udh-hiyyah, hlm. 64).
Dalil yang menetapkan syarat tersebut adalah hadis dari Barra` bin Azib RA, bahawa Rasulullah SAW telah berkata, “Ada empat keadaan haiwan yang tidak cukup syarat untuk menjadi haiwan korban iaitu: haiwan yang secara nyata buta sebelah (bermata satu), haiwan yang diketahui sedang sakit; haiwan yang jelas cacat; dan haiwan yang sangat kurus sehingga seolah-olah tidak ada sumsum di tulangnya.” (HR Tirmidzi, no. 1497; Nasa`i, no. 4371; Ahmad, no. 18675. Redaksi ini menurut Imam an-Nasa`i. Hadis sahih).
Dalam hadis ini terdapat empat persyaratan yang disepakati ulama untuk haiwan korban. Salah satunya adalah bahawa haiwan korban tidak boleh haiwan yang ternyata sakit (al-marîdhah al-bayyin maradhuhâ; English: the sick animals that is obviously sick). Kriteria “sakit yang nyata” (al-maradh al-bayyin) yang dimaksud hadis ini menurut para ulama adalah: sakit yang menjejaskan kualiti daging haiwan itu, dan dapat menyebabkan berkurangnya harga haiwan jika haiwan itu dijual (al-maradh al-bayyin: al-mufsid li al-lahmi wa al-munqish li al-tsaman). Misalnya, haiwan korban itu menderita penyakit kudis(al-jarbâ’u), atau penyakit bisul (al-butsûr), atau mengalami luka-luka (al-qurûh), dan yang seumpamanya. (Husâmuddin ‘Ifânah, Al-Mufashshal fî Ahkâm Al-Udh-hiyyah, hlm. 64).
Berdasarkan penjelasan tersebut, jelaslah bahawa haiwan korban yang berpenyakit mulut dan kuku (FMD), termasuk haiwan yang tidak sah dijadikan haiwan korban, kerana menurut para pakar vaterinar, penyakit mulut dan kuku menimbulkan kerugian ekonomi yang sangat besar yang disebabkan oleh penurunan berat badan kekal pada haiwan yang berpenyakit FMD.
Memang benar, menurut ilmu vaterinar, penyakit mulut dan kuku (FMD) pada lembu tidak dapat menular kepada manusia, kecuali pada kes yang sangat-sangat jarang. Dalam laman web en.wikipedia.org disebutkan bahawa, “Humans are only extremely rarely infected by foot-and-mouth disease virus (FMDV).” (Manusia sangat-sangat jarang dijangkiti oleh virus penyakit mulut dan kuku (FMDV).
Namun demikian, haiwan yang berpenyakit mulut dan kuku tersebut tetap tidak sah dijadikan haiwan korban, kerana terdapat syarat-syarat khusus yang wajib dipenuhi pada haiwan korban, di antaranya adalah tidak boleh berpenyakit dengan sakit yang signifikan (nyata), terlepas dari dampak penyakit haiwan itu bagi manusia, adakah dagingnya menimbulkan bahaya (dharar) bagi manusia atau tidak.
Berbeza halnya jika lembu yang terkena FMD itu bukan untuk dijadikan haiwan korban, melainkan disembelih untuk tujuan selain korban. Jika disembelih untuk makan harian, hukumnya sah disembelih dan boleh dimakan menurut syariah Islam. Hanya saja secara kesihatan ada galakan untuk tidak memakan organ-organ tertentu yang terkena virus penyebab FMD secara langsung, iaitu organ dalaman, mulut, bibir, lidah, dan kaki. Wallahu a’lam.