[Kisah Inspirasi] Perbualan Umar bin Khattab RA dengan Penyair Badwi
Pada suatu hari, terdapat seorang penyair Badwi datang menemui Umar bin Khattab RA, lalu berkata:
“Wahai Umar al-Khair, semoga engkau memperoleh syurga. Berilah pakaian kepada anak-anak perempuanku dan ibunya. Jadilah engkau pelindung bagi kami. Aku bersumpah agar engkau memenuhi permintaan kami ini.”
Umar pun bertanya, “Jika aku tidak mahu menunaikan permintaanmu, lalu apa yang akan terjadi?”
Lelaki Badwi itu menjawab, “Jika begitu, wahai Abu Hafs, aku akan pergi.”
Kemudian Umar bertanya lagi, “Jika engkau pergi, apa pula yang akan terjadi?”
Lelaki Badwi itu kembali bersyair:
“Demi Allah, sesungguhnya engkau kelak akan ditanya tentang diriku, pada hari di mana setiap pemberian membawa keberkatan dan kebaikan. Pada hari itu, manusia akan ditanya dan diminta pertanggungjawapan, yang akhirnya menuju ke salah satu daripada dua tempat, iaitu neraka atau syurga.”
Mendengar hal tersebut, Umar menangis sehingga janggutnya basah dengan air mata. Beliau kemudian berkata kepada pembantunya:
“Berikan jubahku ini kepada lelaki itu kerana hari tersebut, bukan kerana syairnya.”
Kemudian Umar berkata lagi:
“Demi Allah, sesungguhnya itulah satu-satunya yang aku miliki.”
[Ibnu al-Jauzi, 500 Kisah Orang Soleh Penuh Hikmah]
Hikmah
Begitulah sikap seorang pemimpin sejati. Ketika terdapat salah seorang rakyatnya datang mengadu tentang kekurangan dalam keperluannya, Khalifah Umar memberikan apa yang ada padanya, meskipun hanya sehelai jubah.
Begitu juga dengan kehidupan beliau sebagai seorang pemimpin yang sangat sederhana. Sejarah telah mencatat peribadi Khalifah Umar bin Khattab RA sebagai salah seorang pemimpin agung yang paling zuhud dan berhati-hati dalam memimpin negara. Beliau tidak membiarkan harta menjadi penghalang dirinya untuk masuk ke syurga. Beliau juga sentiasa mendengar keluhan rakyatnya, mengelilingi kawasan pada siang dan malam untuk memantau keadaan mereka, serta memastikan keperluan rakyatnya dipenuhi.
Namun hari ini, para pemimpin di negara ini tidak lagi berwaspada dan tidak sedar diri dalam melaksanakan amanah sebagai pengurus rakyat. Malah, mereka menggubal dasar-dasar yang tidak berpihak kepada rakyat dan menindas mereka. Sungguh, betapa kita merindui sosok pemimpin dambaan umat yang benar-benar amanah. Pemimpin seperti itu hanya dapat diwujudkan dalam sistem dan kepimpinan yang memberikan teladan yang terbaik, iaitu sistem Islam kaffah (menyeluruh).
Sumber: muslimahnewsnet