[Kisah Inspirasi] Abu Muslim Bersama Isterinya
Ketika pulang ke rumah dari masjid, Abu Muslim al-Khaulani selalunya bertakbir di hadapan pintu rumahnya. Kemudian isterinya pun menyambutnya dengan kalimah takbir. Pada suatu hari, Abu Muslim pulang dari masjid dan bertakbir seperti biasa di hadapan rumahnya. Namun, tidak ada yang menyambut takbirnya. Ketika dia berada di ruang tengah rumahnya, dia mengulangi takbirnya, tetapi tidak ada yang menyahutnya. Begitu juga apabila dia masuk ke dalam rumah, isteri Abu Muslim biasanya mengambil serban dan alas kakinya, kemudian menyediakan makanan untuknya.
Dia pun masuk ke dalam bilik, tetapi keadaan gelap. Ketika itu, dia mendapati isterinya sedang duduk termenung melihat ke tanah sambil memegang sebuah tongkat. Abu Muslim lalu bertanya, “Apa yang terjadi padamu?” Isterinya menjawab, “Engkau mempunyai kedudukan di hadapan Muawiyah, namun kita tidak mempunyai seorang pembantu. Jika engkau meminta kepadanya, nescaya pasti dia akan menyediakan seorang pembantu untuk kita.”
Abu Muslim menjawab, “Ya Allah, butakanlah mata orang yang telah merosakkan keluargaku.” Sebelum itu, seorang wanita telah datang ke rumahnya. Wanita itu berkata kepada isterinya, “Suamimu mempunyai kedudukan di mata Muawiyah. Sebaiknya engkau memberitahu suamimu untuk meminta kepada Muawiyah agar diberikan pembantu rumah untuk membantu melakukan kerja-kerja di rumah. Nescaya, dia akan memberikannya kepada engkau dan kalian akan hidup lebih selesa.”
Ketika wanita itu sedang duduk di rumahnya, tiba-tiba dia merasakan matanya menjadi gelap. Dia berkata, “Mengapa lampu di rumah kalian ditutup?” Orang ramai berkata bahawa wanita itu pun menyedari kesilapannya. Dia segera pergi menemui Abu Muslim sambil menangis dan memintanya untuk mendoakannya agar Allah SWT mengembalikan semula penglihatannya. Mendengar permintaan tersebut, Abu Muslim merasa kasihan. Dia lalu berdoa kepada Allah SWT agar penglihatan wanita itu kembali semula. Allah SWT mengabulkan doa Abu Muslim agar penglihatan wanita itu kembali seperti sedia kala. [Ibn al-Jauzi, 500 Kisah Orang Soleh Penuh Hikmah].
Hikmah
Kisah ini memberi kita pengajaran yang luar biasa iaitu kepentingan menjaga lisan. Kata-kata ibarat pedang bermata dua. Jika ia digunakan untuk menyebarkan kebaikan, seperti menyampaikan ilmu, berdakwah, memberi nasihat yang baik, ia akan menjadi kebaikan untuk pendengar atau orang sekelilingnya. Namun, jika digunakan untuk melukakan hati orang lain melalui kata-kata yang tidak baik, seperti memfitnah, mengumpat, dan menyebarkan kebencian, ia akan membawa kepada dosa besar.
Allah SWT mengingatkan manusia supaya berhati-hati dalam berbicara kerana setiap perkataan akan dihisab. Allah SWT berfirman, ” Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). ” [TMQ Qaaf (50): 18].
Rasulullah SAW juga menekankan kepentingan menjaga lidah. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” [HR Bukhari dan Muslim].
Lidah jugalah yang boleh mengubah fikiran seseorang. Seperti mana wanita yang mempengaruhi pemikiran isteri Abu Muslim yang pada awalnya kehidupannya elok sahaja dengan kehidupan serba sederhana, tiba-tiba rasa syukurnya berkurangan dengan permintaan yang diajukan kepada suaminya. Dari sebuah kata-kata dan sebuah kalimat, seseorang itu boleh dihinggapi rasa tidak puas hati terhadap nikmat Allah SWT.
Hari ini, terdapat begitu banyak kandungan (content) di media sosial yang memudaratkan kehidupan rumah tangga yang harmoni. Ada yang sampai terbawa-bawa dengan perasaan mereka kerana terlalu kerap melihat kesenangan orang lain. Tanpa mengambil kira kemampuan suami menafkahi keluarga, si isteri meminta pelbagai perkara mengikut ‘lifestyle hidup senang’ yang dilihatnya di media sosial. Kesyukuran berkurangan, keharmonian hilang, dan akhirnya mencetuskan pertengkaran.
Inilah sebabnya mengapa sebagai umat Islam kita memerlukan keimanan dan juga ilmu untuk memastikan pemikiran dan perasaan kita tetap berada di landasan yang benar iaitu mengikut standard Allah SWT dalam menjalani roda kehidupan, bukannya standard manusia yang sering berubah-ubah. Semoga kisah tersebut dapat memberi pengajaran yang berharga kepada kita semua.
Sumber: muslimahnews.net
#AbuMuslim
#kisahmuslim
#ibrah #teladan