[Kisah Inspirasi] Pemimpin yang Sederhana
Khalifah Umar telah mengutus Utbah bin Ghazwan dengan membawa pasukan ke Ubullah untuk membebaskan wilayah itu daripada cengkaman orang-orang Parsi. Mereka menjadikan Ubullah sebagai batu loncatan untuk menghancurkan Islam yang telah banyak membebaskan negara-negara jajahan mereka. Sebelum berangkat, Khalifah Umar berpesan kepada Utbah, “Berangkatlah bersama pasukanmu sehingga sampai ke sempadan negeri Arab dan negeri Parsi. Pergilah! Keberkatan dan kemudahan daripada Allah akan menyertaimu. Serulah sesiapa sahaja yang mahu kepada jalan Allah. Tetaplah teguh dalam menghadapi musuh dan bertakwalah kepada Allah SWT.”
Dengan jumlah pasukan yang tidak terlalu besar, Utbah pun berangkat hingga sampai ke Ubullah. Penduduk di sana telah mengumpulkan pasukan terkuat mereka untuk menghadapi pasukan Islam ini. Utbah menyusun pasukannya. Dia berdiri di hadapan barisan tenteranya dengan tombak di tangan — tombak yang tidak pernah meleset dari sasaran. Dia berseru, “Allahu Akbar! Sesungguhnya Dia pasti menunaikan janjiNya.”
Seolah-olah Utbah telah membaca apa yang bakal berlaku. Pertempuran tersebut berlangsung dengan mudah. Ubullah berjaya dibersihkan daripada kezaliman dan kekejaman tentera Parsi. Allah benar-benar menunaikan janjiNya.
Pembangunan kota Ubullah berkembang pesat sehingga akhirnya berubah menjadi kota Basrah. Di sana didirikan sebuah masjid besar yang indah. Utbah ingin meninggalkan kota Basrah dan kembali ke Madinah. Dia tidak mahu lagi menjawat jawatan sebagai wali kota Basrah. Namun begitu, Khalifah Umar tetap mahukan dia terus memegang jawatan tersebut.
Utbah menjauhi kesenangan dunia demi menjaga keimanannya, sebagaimana dia turut bimbang perkara yang sama menimpa kaum Muslimin. Oleh itu, dia mengajak mereka untuk hidup secara sederhana.
Ramai pihak yang cuba mempengaruhinya agar mengubah cara hidupnya. “Engkau ini seorang penguasa, maka sepatutnya menikmati segala kesenangan duniawi. Begitulah yang dilakukan oleh para penguasa terdahulu. Masyarakat di sini juga sudah terbiasa dengan gaya hidup dan penampilan mewah.” Begitulah sebahagian usaha mereka. Namun dengan tenang, Utbah menjawab, “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi seorang yang besar dalam urusan dunia, tetapi seseorang yang kecil di sisi Allah.”
[Khalid Muhammad Khalid, 60 Sirah Sahabat Rasulullah]
Hikmah
Utbah telah dipilih oleh Khalifah Umar kerana kegigihannya dan kejayaannya dalam mengamankan kota Ubullah daripada cengkaman tentera Parsi. Beliau menjadi panglima pasukan yang berprestasi, lalu dilantik menjadi wali kota Basrah oleh Khalifah Umar bin Khattab RA. Di sisi lain, Khalifah Umar tetap mengekalkan Utbah sebagai wali kota Basrah kerana kehidupan Utbah yang sangat sederhana dan jauh daripada kemewahan. Khalifah memilih pemimpin berdasarkan keimanan dan kesetiaan mereka terhadap Islam, serta integriti mereka sebagai pemimpin yang zuhud dan tidak tamak mengaut kekayaan melalui jawatan yang disandang.
Demikianlah, sistem Islam memilih para pemimpin berdasarkan keperibadian dan keupayaan mereka. Ini kerana sesungguhnya jawatan dan kuasa adalah satu amanah yang amat berat untuk dipertanggungjawabkan. Bahkan, di kalangan para sahabat, termasuk Utbah, pada dasarnya mereka enggan menerima amanah sebagai pemerintah. Namun, Khalifah Umar sentiasa berkata kepada mereka, “Kalian letakkan tanggungjawab di atas pundakku, lalu kalian ingin tinggalkan aku bersendirian? Demi Allah, aku tidak akan membiarkan kalian lepas daripada tanggungjawab ini.”
Jawapan inilah yang membuatkan para sahabat yang dilantik sebagai pemimpin tidak mempunyai pilihan lain selain mematuhi perintah Khalifah. Mereka turut memikul tanggungjawab untuk menguruskan umat ini dengan hati dan dada yang lapang. Jawatan dan kuasa tidak membuatkan mereka saling berebut atau bersaing untuk mendapatkannya. Sebaliknya, mereka menjadikan jawatan itu sebagai peringatan untuk kehidupan akhirat.
Sumber :
https://muslimahnews.net/2025/05/17/36609/