[Mafahim Islamiyyah] Naluri-naluri (Bahagian 3)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Penampakan-penampakan adalah hal-hal yang diperolehi ketika memenuhi naluri manusia dari luar manusia. Contohnya, naluri mempertahankan diri ada untuk menjaga keberlangsungan manusia sebagai individu.
Naluri ini selalu menuntut pemenuhan dari luar manusia sesuai tanda-tanda yang tampak jelas pada penampakan-penampakan naluri mempertahankan diri. Contohnya, kecintaan untuk memiliki sesuatu, cinta terhadap kehormatan, kekuasaan, keberanian dan lain-lain untuk menarik apa saja yang mampu memenuhi naluri ini.
Kuat dan lemahnya setiap naluri tersebut (naluri seksual, naluri mempertahankan diri, dan naluri beragama) serta cabang-cabangnya yang merupakan penampakan-penampakan adalah berbeza pada setiap manusia. Perbezaan ini ada dalam individu manusia kerana ia mengikuti pengaruh luaran dan mengikuti umur manusia yang juga berbeza-beza.
Oleh itu, kadang-kadang kita bertemu dengan orang yang penuh semangat hidup untuk memenuhi ketiga-tiga nalurinya yang sangat kuat. Kita juga kadang-kadang mendapati orang lain di usia tua menjadi malas dan lemah. Dia mengambilnya sedikit demi sedikit untuk memuaskan pelbagai nalurinya yang lemah.
Di sisi lain, kami dapati bahawa manusia yang sangat kuat mencurahkan perhatiannya untuk memenuhi naluri mempertahankan diri atau naluri seksualnya, tetapi dia tidak tertarik untuk memenuhi naluri beragamanya. Kita juga memperhatikan bahawa kelembutan seorang ibu serta rasa cintanya mampu memalingkan individu dari kecenderungan seksual dan dari rasa cintanya kepada isterinya atau sebaliknya.
Kita juga memperhatikan bahawa kecenderungan seksual ini sangat kuat pada usia muda, kemudian mula melemah pada usia tua. Mencurahkan perhatian untuk beribadah dan takut akan akhirat pada umumnya sangat kuat pada usia tua daripada saat usia muda.
Perbezaan naluri-naluri di antara manusia ini menjadikan sebahagian manusia melakukan aktiviti yang tidak dilakukan oleh sebahagian yang lain. Ini disebabkan kuat dan lemahnya naluri-naluri atau disebabkan perbezaan di antara pengaruh-pengaruhnya. Semua itu menjadikan hukum-hukum manusia atas aktiviti-aktiviti dan segala sesuatu yang berhubungan dengan pemenuhan naluri-naluri mereka selalu berlainan, berbeza-beza dan bercanggah. Ini juga dipengaruhi oleh persekitaran iaitu pengaruh luaran.
Dengan demikian, ia membawa kepelbagaian dalam pelbagai jenis pemenuhan. Di antaranya ada pemenuhan yang benar dan tepat, iaitu aktiviti individu dalam memenuhi naluri pada sesuatu yang menjadi tempat pemenuhan naluri ini dan dengan kaedah atau sistem yang benar untuk pemenuhan ini.
Menggauli seorang wanita dengan akad yang sah untuk memenuhi kecenderungan terhadap lawan jenis adalah pemenuhan yang benar untuk naluri seksual. Ini kerana wanita merupakan pembangkit luaran yang telah diciptakan Allah SWT untuk memenuhi kecenderungan seksual lelaki. Allah SWT telah menetapkan sistem aktivitinya dalam memenuhi kecenderungan ini, iaitu dengan akad pernikahan.
Manakala ketika lelaki itu menggauli wanita yang tidak halal baginya atau menggaulinya tanpa akad nikah, pemenuhan kecenderungan seksual ini adalah keliru. Ini kerana ia menyalahi sistem yang benar walaupun pemenuhan itu pada tempatnya. Namun jika seseorang lelaki menyetubuhi binatang atau sesama lelaki, pemenuhan kecenderungan seksual ini sungguh tidak wajar (syadz). Ini kerana pemenuhan tersebut tidak pada tempatnya dan menyalahı sistem pemenuhan yang benar.
Memenuhi naluri beragama dengan perintah Allah bagi manusia dengan aktiviti tertentu, seperti solat, adalah pemenuhan yang benar. Sedangkan menyembah Allah dengan aktiviti yang tidak diperintahkan Allah, seperti manusia berputar-putar pada suatu tempat, adalah pemenuhan yang salah walaupun tujuannya adalah untuk mencari redha Allah Taala.
Adapun menyembah berhala dengan mempertuhankannya adalah pemenuhan yang tidak wajar (syadz). Berhala tidak layak dijadikan sebagai tempat pemenuhan naluri beragama. Ini kerana perasaan kurang dan lemah yang ada pada diri manusia tidak dapat terpenuhi oleh berhala itu. Berhala justeru lebih lemah daripada manusia.
Memenuhi naluri mempertahankan diri dengan aktiviti-aktiviti yang diperintahkan Allah SWT, seperti rasa ingin memiliki sesuatu dengan membelinya, adalah pemenuhan yang benar. Sedangkan memenuhinya dengan cara mencuri harta orang lain adalah pemenuhan yang keliru kerana telah diharamkan oleh syarak.
Pemenuhan naluri mempertahankan diri seorang muslim, seperti dengan cara perdagangan untuk memiliki arak atau babi, adalah pemenuhan yang tidak wajar atau keluar dari aturan yang berlaku (syadz). Ini kerana segala sesuatu yang telah diharamkan tidak bernilai sama sekali dalam Islam. Bahkan memilikinya juga tidak diperbolehkan, ini bermaksud ia juga bukan tempat pemenuhan naluri.
Sumber: Mafahim Islamiyyah.