[Mafahim Islamiyyah] Keperluan Jasmani
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
“(Tuhan) Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya).” [TMQ Al-A’laa (87): 2-3]
Manusia adalah jirim. Dalam diri manusia terdapat potensi hidup (thaqatul hayawiyah) yang terdiri dari naluri, keperluan jasmani, dan pemikiran. Potensi ini kekal pada manusia selagi mereka masih hidup. Segala-galanya akan hilang dan lenyap selepas manusia mati.
Kami telah membicarakan tiga naluri beserta penampakan-penampakannya. Adapun keperluan jasmani, maka pembicaraannya sangat memerlukan pembahasan tentang tubuh manusia, iaitu tentang jirim yang membentuk tubuh manusia.
Tubuh manusia yang boleh diindera terdiri daripada sel-sel yang mempunyai pelbagai bentuk, pigmen, dan fungsi. Jumlahnya boleh mencecah 200,000,000,000 (dua ratus bilion lebih sel). Setiap sel terdiri daripada dinding (sel) untuk menyimpan bahan seperti jem atau jeli, iaitu sitoplasma yang mengandungi inti di tengah. Intinya terdiri daripada kromosom (pembawa sifat keturunan) berjumlah 46 kromosom, tidak lebih dan tidak kurang, kecuali dalam sperma lelaki dan sel telur wanita.
Struktur tubuh manusia pada setiap individu tidak berbeza dari segi struktur dan fungsi organ, walaupun warna, saiz, atau rupa berbeza. Semuanya mempunyai kepala, jantung, perut, dua lengan, dua kaki, dan organ badan yang lain. Semua organ tubuh manusia terbentuk daripada sel seperti di atas.
Semuanya memerlukan nutrien dan udara. Setiap orang juga memerlukan tidur, bergerak, dan melepaskan cairan. Manakala potensi keperluan badan manusia terhadap perkara-perkara tertentu dan tuntutan manusia terhadap perkara-perkara tersebut adalah potensi yang telah dicipta oleh Allah SWT pada manusia. Potensi ini dipanggil keperluan jasmani yang sentiasa menuntut untuk dipenuhi.
Bagi memenuhi keperluan jasmaninya, manusia memerlukan berbagai keadaan, zat-zat, dan aktiviti. Contoh keadaan yang diperlukan oleh tubuh manusia adalah tidur, istirehat, serta suhu dan tekanan udara yang seimbang. Zat yang juga diperlukan oleh manusia adalah makanan, minuman dan udara.
Manusia memerlukan pelbagai aktiviti, seperti bernafas, makan, dan membuang air. Sekiranya semua keperluan jasmani ini tidak dipenuhi dengan sempurna, tubuh manusia akan mengalami kerosakan.
Pelbagai keadaan dan zat ini sentiasa diperlukan oleh organ tubuh supaya dapat menjalankan fungsi masing-masing. Hanya kerana kekurangan air yang diperlukan oleh badan, organ badan tidak dapat berfungsi secara optimum. Kerana itu, manusia mesti sentiasa mengawal dan meneliti keperluan air mereka untuk mengatasi kekurangan zat ini.
Jika ada organ tubuh yang tidak mendapat air, maka ia akan segera mengimbanginya dengan air yang ada pada dirinya. Kemudian, jika bekalan air dalam badan kehabisan tanpa sebarang bekalan, pasti tubuh manusia akan mengalami kerosakan. Begitu juga dengan keperluan jasmani lainnya, seperti makan, udara dan tidur. Kadangkala keperluan itu berupa membersihkan badan daripada cecair berbahaya, seperti peluh, air kencing, najis, dan karbon dioksida.
Sungguh kewujudan keperluan-keperluan jasmani ini dapat diindera oleh manusia. Allah SWT benar-benar telah memberi isyarat dalam Al-Quran al-Karim dengan firman-Nya, “Dan sebahagian dari tanda-tanda kekuasan-Nya adalah tidur kalian pada waktu malam dan siang hari.” [TMQ Ar-Ruum (30): 32]
Juga firman-Nya dalam menjelaskan bahawa Rasul adalah seorang manusia, “(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kalian. Dia makan dari apa yang kalian makan dan minum dari apa yang kalian minum.” [TMQ Al-Mu’minun (23): 33]
Sesungguhnya Allah SWT telah mengizinkan manusia memakan makanan yang diharamkan untuk memenuhi keperluan jasmani ketika menghadapi kerosakan. Allah SWT berfirman, “Akan tetapi siapa saja dalam keadaan terpaksa (memakan perkara yang telah diharamkan) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa atasnya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 173]
Umar bin Khattab ra. tidak memotong tangan pencuri pada musim kemarau (kekurangan bahan makanan). Sebab, orang tersebut mencuri untuk memenuhi keperluan asasnya, iaitu untuk memenuhi keperluan jasmaninya.
Sumber: Mafahim Islamiyyah