Boros (Isrâf) dan Pembaziran (Tabdzîr)
Oleh: Ustaz MTaufik NT
Sesetengah orang berpendapat bahawa berinfaq dalam jumlah yang banyak adalah tercela, begitu juga apabila banyak berbelanja untuk perkara yang tidak terlalu penting, seperti sudah mempunyai sebuah telefon bimbit tetapi membeli satu atau dua buah lagi. Mereka berdalil dengan firman Allah SWT:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا، إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ
“… Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan” [TMQ Al Isra (17):26-27]
وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا
“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” [TMQ Al Furqan (25):67]
Sememangnya menurut Bahasa, kata saraf dan isrâf maknanya adalah melampaui batas, sementara tabdzîr digunakan dalam kalimah: badzara al-mâl tabdzîran maknanya adalah menghambur-hamburkan harta. Hanya sahaja kata isrâf dan tabdzîr dalam kedua-dua ayat tersebut maknanya bukanlah sekadar makna bahasanya sahaja.
Imam al-Qurthubi mengambil Abu Ja’far an-Nahhâs (m. 338 H), seorang ahli tafsir dan pakar bahasa, ketika mentafsir ayat tersebut:
وَمِنْ أَحْسَنِ مَا قِيلَ فِي مَعْنَاهُ أَنَّ مَنْ أَنْفَقَ فِي غَيْر طَاعَةِ اللَّه فَهُوَ الْإِسْرَاف، وَمَنْ أَمْسَكَ عَنْ طَاعَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَهُوَ الْإِقْتَارُ، وَمَنْ أَنْفَقَ، فِي طَاعَةِ اللَّهِ تَعَالَى فَهُوَ الْقَوَامُ
“di antara perkataan terbaik tentang makna isrâf ini adalah bahawasanya barang siapa yang menafkahkan hartanya pada jalan yang bukan jalan ketaatan kepada Allah, itulah isrâf, barang siapa yang menahan hartanya dari membelanjakannya di jalan ketaatan kepada Allah itulah kedekut, dan barang siapa yang menafkahkan hartanya dalam ketaatan kepada Allah itulah qawâm (pertengahan).”
Jadi yang dimaksudkan dengan boros/isrâf dalam ayat ini adalah membelanjakan harta untuk kemaksiatan, walaupun yang dibelanjakannya itu sedikit. Ibnu Abbas RA berkata:
مَنْ أَنْفَقَ مِائَةَ أَلْفٍ فِي حَقٍّ فَلَيْسَ بِسَرَفٍ، وَمَنْ أَنْفَقَ دِرْهَمًا فِي غَيْرِ حَقِّهِ فَهُوَ سَرَفٌ
“Barang siapa membelanjakan 100 ribu pada jalan yang benar, maka tidak termasuk dalam kategori boros, dan barang siapa yang membelanjakan walaupun hanya satu dirham dalam jalan yang salah, maka dia telah bersikap boros.”
Sebahagian ahli tafsir memahami bahawa isrâf itu adalah jika menggunakan yang bukan haknya. ‘Aun bin Abdullah bin Uthbah menyatakan:
لَيْسَ الْمُسْرِف مَنْ يَأْكُل مَاله، إِنَّمَا الْمُسْرِف مَنْ يَأْكُل مَال غَيْره
“Orang boros bukanlah orang yang makan dari hartanya sendiri, namun orang boros adalah yang makan harta orang lain.”
Sementara itu Yazid bin Abi Habib menyatakan tentang perilaku qawâm/pertengahan dalam berbelanja yang dipuji Allah SWT dengan mengatakan:
كَانُوا لَا يَلْبَسُونَ ثَوْبًا لِلْجَمَالِ، وَلَا يَأْكُلُونَ طَعَامًا لِلَّذَّةِ، وَلَكِنْ كَانُوا يُرِيدُونَ مِنَ اللِّبَاسِ مَا يَسْتُرُونَ بِهِ عَوْرَتَهُمْ، وَيَكْتَنُّونَ بِهِ مِنَ الْحَرِّ وَالْقُرِّ، وَيُرِيدُونَ مِنَ الطَّعَامِ مَا سَدَّ عَنْهُمْ الْجُوع، وَقَوَّاهُمْ عَلَى عِبَادَة رَبِّهِمْ
“Mereka adalah orang yang tidak memakai baju hanya untuk berhias, tidak makan sekadar untuk bersedap-sedap, tetapi mereka memakai baju dengan niat menutup aurat dan melindungi tubuh dari panas dan dingin, mereka makan dengan motivasi menutupi rasa lapar dan menguatkan tubuh untuk beribadah kepada Allah SWT.”
Oleh kerana itu tidaklah tercela jika seseorang memiliki dua rumah atau lebih, beberapa kenderaan, mahupun harta duniawi lain selama itu semua diperolehi dengan jalan yang halal dan dipergunakan dalam jalan yang diredhai Allah SWT. Hanya sahaja walaupun halal, keadaan hati seseorang tetap memberikan kesan terpuji atau tercelanya seseorang. Bermegah-megah dan bergaya hanya kerana ingin bermegah kepada manusia dan menganggap dengan hal tersebut boleh membuatkan dirinya menjadi mulia, ini adalah termasuk sikap yang tercela. Wallaahu a’lam.
#boros #isyraf #tabzir #pembaziran #akhlak