PRIHATIN SESAMA UMAT ISLAM YANG LAIN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Terdapat banyak nas, baik di dalam Al-Quran mahupun hadis yang mengatakan bahawa sesama Muslim adalah saudara. Allah SWT berfirman: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara” [TMQ Al-Hujurat (49):10]. Rasulullah SAW juga bersabda, “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.” [HR al-Hakim].
Persaudaraan sesama Muslim tidak akan bermakna jika masing-masing tidak mempedulikan hak dan kewajipan saudaranya, tidak mengambil berat antara satu sama lain, tidak menutup aib satu sama lain, tidak tolong menolong dan sebagainya. Rasulullah SAW memerintahkan hal ini sebagaimana sabdanya,
“Barangsiapa yang meringankan beban seorang mukmin di dunia, maka Allah SWT akan meringankan bebannya di hari kiamat. Barangsiapa yang memudahkan orang yang dalam kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkan urusannyanya di dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah SWT akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah SWT selalu menolong hambaNya selama hamba itu sentiasa menolong saudaranya.” [HR Muslim dan at-Tirmidzi].
Itulah penghargaan Allah SWT yang luar biasa kepada hambaNya yang mengambil berat tentang orang lain. Sebaliknya, Allah SWT menegur muslim yang tidak mempedulikan sesama mereka. Dalam hal ini, Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya Allah SWT akan berfirman ketika hari kiamat nanti, “Wahai manusia, aku pernah sakit. Mengapa kamu tidak menziarahiku.” Manusia menjawab, “Ya Tuhanku, bagaimanakah aku dapat menziarahiMu, sedangkan Engkau adalah Tuhan semesta alam?” Allah SWT berfirman, “Tidakkah kamu mengetahui bahawa hambaKu si fulan itu sakit di dunia, tetapi kamu tidak menziarahinya? Tidakkah kamu tahu, jika kamu menziarahinya, maka kamu dapati Aku di sisinya? Wahai manusia, Aku pernah meminta kamu makan di dunia, tetapi kamu tidak memberiKu makanan.” Manusia itu menjawab, “Ya Tuhanku, bagaimana aku dapat memberi makan kepadaMu, sedangkan Engkau adalah Tuhan semesta alam?” Allah SWT menjawab, “Tidakkah kamu tahu, hambaKu pernah meminta makanan kepadamu, tetapi kamu tidak memberinya makanan? Bukankah jika kamu memberinya makanan, kamu akan mendapati Aku di sana?” Wahai manusia, aku pernah meminta minum kepadamu, tetapi kamu tidak memberiku minum?” Manusia berkata, “Ya Tuhanku, bagaimanakah aku dapat memberi minum kepadaMu, padahal Engkau adalah Tuhan semesta alam?” Allah SWT menjawab, “Tidakkah kamu tahu, hambaKu pernah meminta makanan kepadamu di dunia, tetapi kamu tidak memberinya makanan? Bukankah jika kamu memberinya makan, kamu akan mendapati Aku di sana?” [HR Muslim].
Berkaitan keprihatinan sesama muslim, Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda sebagaimana yang dijelaskan oleh Bara’ bin ‘Azib, “Rasulullah SAW telah memerintahkan kepada kami tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami untuk: menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah (ke kubur), mendoakan orang yang bersin, membenarkan sumpah, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam” [HR al-Baihaqi]
Hal ini juga telah disahkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis lain yang berbunyi, “Seorang muslim mempunyai lima hak ke atas muslim yang lain: menjawab salam; menziarahi orang sakit; mengiringi jenazah; memenuhi undangan; mendoakan orang yang bersin.” [HR Ahmad].
Menziarahi saudara sesama muslim termasuk menziarahi ketika sakit adalah salah satu amalan yang terpuji. Dalam hal ini, Tsauban mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya jika seorang muslim menziarahi saudaranya, bererti dia telah berada di taman syurga.” [HR Muslim].
Ali RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Tidaklah seorang muslim menziarahi muslim yang lain pada waktu pagi, melainkan seribu malaikat mendoakannya hingga petang. Jika dia menziarahi muslim yang lain pada tengahari, seribu malaikat akan mendoakannya hingga pagi.” [HR at-Tirmidzi].
Adapun mendoakan seseorang yang bersin, ada yang menghukuminya sebagai sunnah malah ada yang menghukuminya wajib, tiada siapa yang menghukuminya mubah.Ini kerana, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang yang bersin. Oleh itu, jika salah seorang di antara kalian bersin, maka hendaklah dia memuji Allah SWT. Sesungguhnya hak seorang muslim terhadap muslim yang lain, jika dia mendengarnya bersin, hendaklah dia menjawab (berdoa) untuknya.” [HR al-Bukhari].
Manakala berkaitan menyebarkan salam, Rasulullah SAW dalam hadis lain dengan tegas memerintahkan, “Sebarkanlah salam di antara kalian.” [HR Muslim].
Antara kebaikan menyebarkan salam ialah: nama Allah SWT tersebar luas, dapat memupuk rasa cinta sesama Muslim, menunjukkan bahawa pelakunya merendah diri dan tidak sombong, mempunyai hati yang bersih, mewujudkan rasa kasih sayang sesama Muslim [Iqazh al-Afham fi Syarh Umadh al-Ahkam, IV/51].
Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang yang sentiasa mengambil berat tentang saudara sesama Muslim.
Wama tawfiqi illa billah.