Memperkecilkan Ilmu
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Kejahilan sememangnya boleh mengakibatkan kehancuran di dalam masyarakat. Namun demikian, terdapat banyaknya bilangan ahli alim ulama dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang, belum tentu mampu memberi impak yang baik, malah ia boleh sahaja mendatangkan kerosakan yang lebih serius ke atas masyarakat, samada kerosakan kepada diri mereka sendiri ataupun masyarakat umum. Ianya akan terjadi jika para ulama, ilmuwan dan pakar-pakar tersebut memperkecilkan ilmu pengetahuannya; memperindahkan, memberi dalil, dan membenarkan sesuatu yang bertentangan dengan bidang ilmu yang dipelajarinya demi mengharapkan sedikit keuntungan kehidupan duniawi.
Seorang sahabat, Abdullah bin Mas’ud RA berkata:
لَوْ أَنَّ أَهْلَ الْعِلْمِ صَانُوا الْعِلْمَ، وَوَضَعُوهُ عِنْدَ أَهْلِهِ، سَادُوا بِهِ أَهْلَ زَمَانِهِمْ، وَلَكِنَّهُمْ بَذَلُوهُ لِأَهْلِ الدُّنْيَا لِيَنَالُوا مِنْ دُنْيَاهُمْ، فَهَانُوا عَلَى أَهْلِهَا،
“Seandainya para ahli ilmu itu memelihara ilmu mereka dan menggunakannya dengan sewajarnya, nescaya mereka dengan ilmunya itu akan memimpin umat pada zamannya. Akan tetapi, mereka menukar ilmu tersebut kepada pemilik dunia untuk mendapatkan dunia mereka, maka hinalah ahli ilmu itu di mata mereka.”
سَمِعْتُ نَبِيَّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنْ جَعَلَ الْهُمُومَ هَمًّا وَاحِدًا، هَمَّ آخِرَتِهِ، كَفَاهُ اللَّهُ هَمَّ دُنْيَاهُ، وَمَنْ تَشَعَّبَتْ بِهِ هُمُومُ أَحْوَالِ الدُّنْيَا، لَمْ يُبَالِ اللَّهُ فِي أَيِّ أَوْدِيَتِهَا هَلَكَ»
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa menjadikan semua cita-citanya satu, iaitu cita-cita akhiratnya, maka Allah akan mencukupkan untuknya segala harapan-harapan dunia, sebaliknya siapa saja yang rakus dengan cita-cita dunia, maka Allah tidak akan mempedulikan di lembah mana dia binasa.”[1]
Wahb bin Munabbih (w. 110 H) pernah berpesan kepada Atha Al-Khurasani,
كَانَ الْعُلَمَاءُ قَبْلَنَا اسْتَغْنَوْا بِعِلْمِهِمْ عَنْ دُنْيَا غَيْرِهِمْ، فَكَانُوا لَا يَلْتَفِتُونَ إِلَى دُنْيَاهُمْ، فَكَانَ أَهْلُ الدُّنْيَا يَبْذُلُونَ لَهُمْ دُنْيَاهُمْ، رَغْبَةً فِي عِلْمِهِمْ،
“Dahulu ulama-ulama pada masa sebelum kita mencukupkan diri dengan ilmu pengetahuan mereka tanpa menpedulikan kemewahan dunia orang lain, bahkan mereka tidak menoleh sedikitpun kepada harta dunia, lalu para pemilik harta dunia memberikan banyak harta mereka untuk ulama kerana kecintaan kepada ilmu dari ulama.
فَأَصْبَحَ أَهْلُ الْعِلْمِ مِنَّا الْيَوْمَ يَبْذُلُونَ لِأَهْلِ الدُّنْيَا عِلْمَهُمْ، رَغْبَةً فِي دُنْيَاهُمْ، فَأَصْبَحَ أَهْلُ الدُّنْيَا قَدْ زَهِدُوا فِي عِلْمِهِمْ، لِمَا رَأَوْا مِنْ سُوءِ مَوْضِعِهِ عِنْدَهُمْ،
“Sekarang, para ahli ilmu mensia-siakan ilmu mereka di hadapan pemilik harta dunia kerana kecintaan ahli ilmu kepada harta mereka, sementara pemilik harta dunia tidak mempedulikan lagi ilmu para ahli ilmu tersebut kerana mereka melihat keburukan kondisi dan kedudukan mereka di hadapan mereka.”
فَإِيَّاكَ وَأَبْوَابَ السَّلَاطِينِ، فَإِنَّ عِنْدَ أَبْوَابِهِمْ فِتَنًا كَمَبَارِكِ الْإِبِلِ، لَا تُصِيبُ مِنْ دُنْيَاهُمْ شَيْئًا إِلَّا أَصَابُوا مِنْ دِينِكَ مِثْلَهُ
“Oleh kerana itu, jauhilah pintu-pintu penguasa, sesungguhnya di sana terdapat fitnah seperti kandang unta, tidaklah engkau mendapatkan sebahagian dunia mereka kecuali mendapatkan sebahagian agama engkau yang sepadan.”
يَا عَطَاءُ، إِنْ كَانَ يُغْنِيكَ مَا يَكْفِيكَ فَكُلُّ عَيْشِكَ يَكْفِيكَ، وَإِنْ كَانَ لَا يُغْنِيكَ مَا يَكْفِيكَ فَلَيْسَ شَيْءٌ يَكْفِيكَ، إِنَّمَا بَطْنُكَ بَحْرٌ مِنَ الْبُحُورِ، وَوَادٍ مِنَ الْأَوْدِيَةِ، لَا يَسَعُهُ إِلَّا التُّرَابُ
“Wahai Atha’, jika harta yang mencukupimu mampu membuatmu merasa puas, maka seluruh hidupmu akan mencukupimu, namun jika harta yang mencukupimu tidak membuatmu puas; maka tidak ada di dunia ini yang mampu membuatmu puas, jika begitu perutmu umpama lautan daripada pelbagai lautan, lembah daripada pelbagai lembah, tidak akan memenuhinya kecuali tanah.”[2]
Mengulas nasihat Wahb ini, Muhammad bin Husain berkata:
فَإِذَا كَانَ يُخَافُ عَلَى الْعُلَمَاءِ فِي ذَلِكَ الزَّمَانِ، أَنْ تَفْتِنَهُمُ الدُّنْيَا، فَمَا ظَنُّكَ فِي زَمَنِنَا هَذَا؟ اللَّهُ الْمُسْتَعَانُ مَا أَعْظَمَ مَا قَدْ حَلَّ بِالْعُلَمَاءِ مِنَ الْفِتَنِ، وَهُمْ عَنْهُ فِي غَفْلَةٍ
“Jika pada masa itu, dikhuatiri ulama terkena fitnah dunia, maka jika demikian, bagaimana pula dengan masa kini? Hanya kepada Allahlah kita meminta perlindunganNya. Alangkah banyaknya ulama sekarang ini yang mendekati fitnah dunia sedangkan mereka dalam keadaan lalai.”[3]
Semua ungkapan di atas sepatutnya menjadi cermin untuk memuhasabah diri: jika kita adalah seorang penuntut ilmu, apakah yang menjadi motivasi terbesar kita untuk menuntut ilmu? Mencari kerja, naik pangkat, mendapat jawatan? Jika kita adalah seorang ilmuwan/ulama, apakah yang menjadi fokus hidup kita? Apakah dunia masih merungsingkan kita, membuat diri takut kehilangannya gara-gara menyampaikan pengetahuan yang Allah SWT amanahkan kepada kita? Jika harta, pangkat, jawatan, kedudukan atau populariti itu masih mendominasi diri, sesungguhnya ini adalah tingkahlaku dalam memperkecilkan ilmu. Nauzubillaah.
[1]Abu Bakr Muhammad bin Al Husain bin Abdullah Al-Ajurri, Akhlâq Al-’Ulamâ (Saudi Arabia: Riasah Idarat Al-Buhuts Al-Ilmiyyah, t.th), h. 92.
[2] Abu Nu’aim Al-Ashbahani, Hilyatu Al-Awlliya’ (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1409), Juz 4, h. 30.
[3] Al-Ajurri, Akhlâq Al-’Ulamâ, h. 94.
#ilmu #adabilmu