Menjaga Mata dan Kebersihan Jiwa
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Interaksi paling sederhana antara lelaki dan wanita adalah pandangan mata. Walaupun kelihatan sederhana, jika tidak dijaga dan diurusi dengan baik, ia boleh membuatkan hati seseorang menjadi semakin kotor, mengeras membatu, sehingga akhirnya mati dan reput. Barangsiapa yang ketika di dunia ini tidak mahir menahan pandangan dan suka melihat perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, maka jangan terlalu berharap untuk dapat memiliki hati yang bersih.
Imam Ibnul Jauzi (w. 597 H) dalam Shaidul Khatir bersyair:
Pejamkanlah matamu, engkau akan selamat dari bahaya
Engkau akan memperoleh pahala
Malapetaka kaum muda adalah larut dalam nafsunya
Awal bara nafsu ada dalam renungan mata
Ini selari dengan firman Allah SWT:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”. [TMQ An Nur (24):30]
Dosa apapun, termasuk dosa-dosa mata yang dianggap biasa, jika tidak dibersihkan akan mengotorkan hati. Huzaifah RA berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
تُعْرَضُ الْفِتَنُ عَلَى الْقُلُوبِ كَالْحَصِيرِ عُودًا عُودًا،
“Fitnah akan tersebar di hati manusia seperti tikar yang dihamparkan di atas benang (menegak antara satu sama lain).
فَأَيُّ قَلْبٍ أُشْرِبَهَا، نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ،
Mana-mana hati yang dilanda fitnah pasti ada bintik hitam yang melekat padanya.
وَأَيُّ قَلْبٍ أَنْكَرَهَا، نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ بَيْضَاءُ،
Begitu juga, di mana sahaja hati yang tidak dilanda fitnah, bintik-bintik putih akan melekat padanya
حَتَّى تَصِيرَ عَلَى قَلْبَيْنِ، عَلَى أَبْيَضَ مِثْلِ الصَّفَا فَلَا تَضُرُّهُ فِتْنَةٌ مَا دَامَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ،
Sehingga hati terbelah dua: satu bahagian menjadi putih seperti batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selagi langit dan bumi masih ada.
وَالْآخَرُ أَسْوَدُ مُرْبَادًّا كَالْكُوزِ، مُجَخِّيًا لَا يَعْرِفُ مَعْرُوفًا، وَلَا يُنْكِرُ مُنْكَرًا، إِلَّا مَا أُشْرِبَ مِنْ هَوَاهُ»
Sedangkan sebahagian yang lain menjadi hitam kelabu seperti tembaga yang berkarat, tidak mengajak kepada kebaikan dan tidak mencegah kemungkaran melainkan yang disukai oleh hawa nafsu mereka.” [HR. Muslim]
Ada orang mengatakan, ‘kalau iman kamu kuat, tak salah tengok aurat perempuan, yang lucah itu bukan pada apa yang kamu lihat, tetapi apa yang ada dalam kepala kamu’. Kenyataan ini benar-benar berbahaya. Suatu ketika, Asma binti Abu Bakar memasuki rumah Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang nipis, lalu Rasulullah SAW berpaling darinya – sedangkan adakah terdapat orang yang lebih kuat imannya daripada Rasulullah SAW? – dan baginda bersabda:
يَا أَسْمَاءُ إنَّ الْمَرْأَةَ إذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إلاَ هَذَا وَهَذَا , وَأَشَارَ إلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
“Hai Asma, sesungguhnya jika seorang wanita telah menginjak dewasa (haid), maka tidak boleh terlihat dari tubuhnya kecuali ini dan ini, sambil baginda menunjuk muka dan telapak tangannya.” [HR. Abu Dawud, hadits hasan lighairihi]
Maka melihat aurat tetap haram walaupun tanpa syahwat. Manakala selain aurat, dikira haram jika disertai dengan syahwat.
كَانَ اْلفَضْلُ بْنُ الْعَبَّاسِ رَدَيْفَ النَّبِيِّ فَجَاءَتْهُ الْخَثْعَمِيَّةُ تَسْتَفْتِيْهِ فَجَعَلَ اْلفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ فَصَرَفَ رَسُوْلُ اللهِ وَجْهَهُ عَنْهَا
Al-Fadhl ibn Abbas pernah berkuda bersama Nabi Muhammad SAW. Kemudian datang seorang wanita Khats’amiyah untuk meminta pendapat. Al-Fadhl kemudian memandang kepada wanita tersebut dan wanita itu memandang kepadanya, Rasulullah SAW memalingkan wajah al-Fadhl daripada wanita itu. [HR Abû Dâwud]
Dalam riwayat lain:
فأخذ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – الفضل فحوّل وجهه من الشق الآخر
Maka Rasulullah SAW memegang Al Fadhl, lalu memalingkan wajah Fadhl ke arah yang lain.
Dalam riwayat dari Alî ibn Abî Thâlib RA ditambahkan keterangan bahawa Abbas RA kemudian bertanya kepada Rasulullah SAW:
يا رسول الله، لِمَ لويت عنق ابن عمك؟
“Ya Rasulullah, mengapa engkau memalingkan leher sepupumu?”
رَأَيْتُ شَابًّا وَشَابَّةً فَلَمْ آمَنِ الشيطان عليهما
Rasulullah SAW menjawab, “Kerana aku melihat seorang pemuda dan seorang wanita muda yang tidak selamat dari gangguan syaitan.”
Sebenarnya, bukan sahaja melihat lawan jenis yang hanya perlu dihindarkan, tetapi juga orang yang matanya sentiasa memandang dunia ini. Melihat dan memiliki angan-angan panjang terhadap sesuatu yang tidak dimilikinya: rumah orang lain yang lebih mewah, kereta orang lain yang lebih baik, isteri orang lain yang lebih cantik, suami orang lain yang lebih kacak, atau duit orang lain yang lebih banyak. Hatinya bergelora memikirkan perkara yang tidak dimilikinya, lalu dia lupa untuk menikmati dan mensyukuri apa yang Allah SWT berikan kepadanya. Wallahua’lam.
#TakziyatunNafs #DosaMata #Mata #Pandangan #Ujian #PenyakitHati