[Mafahim Islamiyyah] Naluri-Naluri dan Keperluan Jasmani (Bahagian 2)
(Aspek Persamaan, Perbezaan, dan Pertalian antara Keduanya)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Aktiviti makan adalah untuk memenuhi keperluan jasmani terhadap makanan apabila manusia itu lapar. Aktiviti makan juga termasuk memenuhi naluri mempertahankan diri jika ia hanya sebagai hasil dari kecintaan manusia terhadap makanan, sedangkan dia tidak lapar dan tubuhnya tidak memerlukan zat-zat yang terkandung dalam makanan.
Keperluan-keperluan jasmani yang ada dalam diri manusia, juga terdapat pada haiwan. Walaupun sebahagian keadaan-keadaan dan zat-zat yang diperlukan untuk memenuhi keperluan-keperluan jasmani manusia ini berbeza dengan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan-keperluan jasmani haiwan.
Dengan demikian, makanan yang memuaskan manusia bukanlah makanan yang digunakan untuk memuaskan perut kebanyakan haiwan yang lapar. Keadaan-keadaan yang membuat hidup sebahagian haiwan-haiwan, seperti ikan dan burung-burung, bukanlah situasi-situasi dan keadaan-keadaan yang membuat manusia hidup. Semua perbezaan itu adalah kerana perbezaan struktur tubuh kedua jenis makhluk di atas, iaitu manusia dan haiwan.
Naluri-naluri itu ada pada haiwan, seperti halnya ada pada manusia. Contohnya, naluri seksual dan penampakan-penampakan yang keluar darinya, seperti kecenderungan kepada lawan jenis. Juga seperti naluri mempertahankan diri dan penampakan-penampakan yang keluar darinya, seperti bimbang terjadi bahaya.
Hanya saja sebahagian penampakan-penampakan naluri seksual dan naluri mempertahankan diri tidak ada pada haiwan. Contohnya, menikmati penyelidikan dan seperti kecenderungan untuk menyelamatkan orang yang menghampiri bahaya. Terjadi juga perbezaan penampakan-penampakan pada manusia dan haiwan, seperti rasa ingin memiliki.
Adapun naluri beragama, penampakan-penampakannya hanya ada pada manusia, sedangkan pada haiwan tidak ada. Pada haiwan tidak kelihatan sedikit pun penampakan dari penampakan-penampakan naluri beragama. Oleh kerana itu, manusia tidak dapat memahami cara haiwan memenuhi naluri beragama ini.
Pada dasarnya manusia memahami bahawa terdapat naluri keagamaan pada haiwan yang bersumberkan dalil naqli yang pastinya benar iaitu Al-Quran Al-Karim. Kitab suci ini telah memberi kita berita tentang pengagungan dan doa semua makhluk yang ada, sama ada yang hidup atau yang kelihatan mati.
Allah SWT berfirman, “… dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka…” [TMQ Al-Israk (17): 44]
Juga firman-Nya, “… Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.” [TMQ An-Nuur (24): 41]
Tasbih dan solat adalah aktiviti yang terhasil daripada kecenderungan manusia. Tiada yang lain melainkan bertasbih kepada Allah dengan mensucikan Al-Khaliq. Ini adalah salah satu penampakan-penampakan naluri beragama. Allah telah memberi khabar tentang kewujudan aktiviti ini pada semua makhluk (selain manusia), tetapi kita tidak memahami hakikatnya. “; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka.” [TMQ Al-Israk (17): 44]
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah
#MafahimIslamiyyah #NaluriManusia #Gharizah #KeperluanJasmani