[Mafahim Islamiyyah] Idrak (Bahagian 3/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
(Sambungan dari Bahagian 2/5)
- Maklumat sebelumnya (Maklumat Tsabiqah)
Unsur keempat unsur akal ialah maklumat sebelumnya. Maklumat sebelumnya adalah pemikiran masa lalu tentang realiti yang disimpan dan dikekalkan di dalam otak. Otak menyimpan maklumat masa lalu untuk kegunaan bila diperlukan dalam aktiviti pemikiran.
Maklumat ini terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama ialah pemikiran, iaitu pemikiran masa lalu tentang realiti yang terindera. Bahagian ini diperlukan untuk menilai realiti yang berkaitan dengan maklumat tersebut. Bahagian kedua dari maklumat sebelumnya adalah maklumat sebagai hasil dari tindak balas otak kerana penginderaan terdahulu yang berkaitan dengan realiti terindera.
Tindak balas ini diperoleh kerana berulangnya penginderaan terhadap realiti yang mempunyai kaitan dengan pemenuhan naluri-naluri dan keperluan jasmani secara langsung. Secara umumnya, yang membentuk maklumat terhadap realiti ini, dilihat dapat memenuhi atau tidak. Maklumat seperti ini tidak layak digunakan dalam memberikan status hukum terhadap realiti.
Maklumat realiti sebelumnya adalah bahagian yang sangat penting untuk aktiviti berfikir. Tanpa maklumat ini, pemahaman terhadap realiti tidak boleh berlaku. Dari manakah asal maklumat sebelumnya tentang permulaan realiti yang telah ditemui oleh manusia?
Selagi manusia kekal sebagai manusia, maka bagaimana mungkin manusia pertama boleh memahami segala sesuatu di bumi yang dikesan oleh semua indera mereka? Dengan menganalogikan manusia pertama dengan manusia moden yang kita kenali selama ini, kita memahami bahawa sebenarnya manusia pertama ini pasti mempunyai maklumat sebelumnya tentang segala sesuatu. Dengan demikian, dia memahaminya, bermakna dia mampu menilainya.
Adalah mustahil bagi manusia mewujudkan maklumat yang terhasil daripada berulang-ulang penginderaan terhadap segala sesuatu. Ini kerana hanya mengulangi penginderaan ini tidak dapat menghasilkan maklumat yang mampu untuk menilai sesuatu yang diindera. Oleh kerana itu, sekiranya kita hadirkan realiti yang boleh diindera, seperti bahasa Cina dan kita menyuruh individu yang tidak memahami bahasa Cina untuk mengindera realiti ini berulangkali. Individu tersebut tidak akan mampu memahami bahasa Cina tersebut, walaupun dia berulang-kali menginderanya.
Dengan demikian, maklumat sebelum ini datang dari luar manusia pertama dan realiti. Ini kerana penginderaan walaupun terjadi berulang kali, kekal sekadar penginderaan sahaja selagi tidak ada maklumat sebelumnya yang memindahkannya kepada pemikiran.
Selagi manusia tidak mampu membentuk maklumat sebelumnya sendiri tentang segala sesuatu, walaupun dia makhluk tertinggi di muka bumi, adalah wajar maklumat sebelum ini datang sebagai pemikiran pertama dari Allah Taala.
Sesungguhnya, al-Quran al-Karim merupakan firman Allah SWT yang pasti sumbernya (qath’i tsubut) telah menyampaikan kepada kita bahawa Allah SWT adalah zat yang memberikan maklumat kepada manusia pertama.
Allah SWT berfirman, “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat, lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar.’ Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’” Allah berfirman, “Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.” Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, “Bukankah sudah Aku katakan kepada kamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?” [TMQ Al- Baqarah (2): 31—33].
Malaikat tidak mampu mengetahui nama-nama benda kerana mereka belum memahami benda tersebut. Malaikat berkata, “Tidak ada yang kami ketahui, selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami.”
Adapun Adam, dia dapat memberitahu kepada malaikat kerana Allah SWT telah mengajarkan kepadanya nama-nama semua benda, iaitu realiti benda-benda tersebut yang telah dibentangkan kepada malaikat. Ini bermakna, Allah telah memberikan maklumat yang diperlukannya untuk memahami benda-benda tersebut.
Oleh kerana itu, ketika Tuhan Semesta Alam menyuruh Adam agar memberitahu hakikat benda-benda itu kepada malaikat, Adam menggunakan maklumat yang telah diterima sebelumnya. Ini merupakan pemikiran (fikru) pertama dari Adam dan pemahaman (aqlu) pertama tentang benda-benda yang didasarkan pada maklumat sebelum tentang benda tersebut.
Adam telah menerima maklumat itu dari luar dirinya dan dari luar benda-benda yang terindera serta yang ditanyakan. Maklumat itu dari Allah SWT yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang ditampakkan oleh makhluk-makhluk-Nya. Oleh kerana itu, maklumat ini termasuk nikmat-nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Allah SWT berfirman, “Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” [TMQ Al-‘Alaq (96): 5].
Maklumat itu adalah benih pemikiran bagi manusia. Kemudian maklumat itu sentiasa bertambah sedikit demi sedikit melalui beberapa generasi dan tempoh sehingga akhirnya menghasilkan berbilion-bilion maklumat. Ini sebagai buah manusia yang telah menggunakannya untuk menilai segala sesuatu dan setiap aktiviti. Sesungguhnya, pemikiran-pemikiran manusia (pada zamannya) telah menjadi maklumat sebelum bagi orang yang datang setelahnya. Demikianlah, ia akan berlanjutan selagi kehidupan manusia masih ada di bumi ini.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #MaklumatTsabiqah #Indera #PenciptaanManusia