[Mafahim Islamiyyah] Idrak (Bahagian 4/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
(Sambungan dari Bahagian 3/5)
Bagaimana pemahaman atau akal dapat dihasilkan? Ini adalah sesuatu yang disebut sebagai aktiviti berfikir secara rasional. Ketika manusia mendengar, melihat, mencium, menghidu, atau menyentuh realiti, penginderaan terhadap realiti tersebut berpindah ke otak dengan perangkat sel-sel sentuhan dan penginderaan tentang realiti itu datang darinya.
Jika otak sudah mempunyai maklumat sebelum tentang suatu realiti, otak akan mengikat maklumat itu dengan realiti yang terindera (sebelumnya) untuk mentafsirkannya, lalu menilainya. Dengan demikian, seandainya kita menunjukkan perkataan yang ditulis dalam bahasa Inggeris kepada seseorang yang telah memiliki maklumat sebelum tentang bahasa tersebut, kemudian dia melihat tulisan itu, maka penginderaan berpindah ke otak. Ketika itu maklumat sebelum tentang bahasa Inggeris bekerjasama untuk mengetahui realiti tersebut.
Kemudian orang itu segera berusaha membaca dan memahaminya. Akan tetapi, jika realiti ini, iaitu perkataan bahasa Inggeris tadi, ditunjukkan kepada orang lain yang tidak memiliki maklumat sebelum tentang bahasa Inggeris tersebut, lalu dia mengindera perkataan itu dengan penglihatannya, dia tidak akan dapat membacanya, apatah lagi memahaminya. Ini kerana dia tidak mempunyai maklumat yang diperlukan untuk mentafsirkan realiti ini, sekaligus menilainya.
Apabila dia mengulangi penginderaannya terhadap suatu realiti, itu hanya menjadi penginderaan sahaja dan tidak menghasilkan pemikiran. Kadang-kadang pemikiran muncul dengan adanya realiti yang terindera. Kadang-kadang juga dengan menggambarkan realiti dalam fikiran, walaupun realiti itu tidak wujud.
Kadang-kadang manusia berfikir tentang lelaki yang pernah dilihatnya beberapa tahun yang lalu, ketika dia membaca berita kematiannya di surat khabar. Kemudian dia menghadirkan imejnya dan maklumat sebelum mengenainya di dalam otak. Kemudian manusia itu berkata kepada hadirin, “Sesungguhnya, lelaki itu adalah orang mulia.” Dia mengeluarkan nilai terhadap lelaki itu, walaupun ketika itu tidak ada penginderaan terhadapnya atau kemuliaannya.
Adakalanya manusia memahami pesawat. Dia dapat menilai bahawa pesawat itu pesawat tentera atau pesawat komersial, hanya dengan mendengar bunyinya. Mengindera suatu realiti kadangkala boleh dengan berlakunya penginderaan terhadap realiti itu sendiri menggunakan indera penglihatan atau indera yang lain. Kadang-kadang juga dengan berlaku penginderaan terhadap sesuatu yang berkaitan dengan realiti itu, seperti dengan bunyi atau imej. Kadang-kadang juga dengan tindak balas penginderaan tentang realiti ke dalam otak tanpa adanya realiti itu atau kesannya di dalam jangkauan pancaindera.
Perkara ini adalah sesuatu yang sering kali terjadi dalam pemikiran politik (tafkir siyasi). Dengan perantara kumpulan berita, pakar politik mampu menggambarkan realiti dan mengeluarkan analisis politik untuk menilai situasi yang tidak berlaku pada daerah (jangkauan) inderanya secara langsung. Kesalah-fahaman menimpa ramai pemikir, iaitu bahawa maklumat sebelum kadangkala boleh dihasilkan dengan pelbagai eksperimen individu tanpa sebarang maklumat sebelum daripada individu lain.
Mereka telah menjalankan pelbagai eksperimen terhadap haiwan. Kemudian mereka membandingkan manusia pertama dengan haiwan itu. Mereka menguji beberapa haiwan, seperti anjing, monyet, dan tikus untuk eksperimen ini. Di antara eksperimennya, mereka membunyikan loceng setiap kali memberi makanan kepada anjing. Aktiviti ini diulang beberapa kali. Akhirnya mereka membunyikan loceng tanpa memberikan makanan kepada anjing itu sehingga air liur anjing itu mengalir sebaik sahaja mendengar loceng.
Dengan eksperimen ini, mereka menyimpulkan bahawa maklumat sebelum daripada eksperimen berulang telah dihasilkan pada anjing. Seterusnya maklumat hasil eksperimen tersebut digunakan untuk menilai realiti. Mereka melakukan eksperimen yang lain, iaitu memerhati haiwan-haiwan di padang rumput yang menjauhi rumput-rumput beracun dan tidak mahu memakannya.
Mereka membuat kesimpulan bahawa haiwan boleh memahami dan memahami akan realiti segala sesuatu sebagai hasil daripada eksperimen terdahulu yang telah membentuk maklumat sebelum yang terdapat pada dirinya untuk menghasilkan realiti.
Namun yang tepat dan benar ialah bahawa sesuatu yang telah dihasilkan oleh haiwan itu merupakan naluri tentang sesuatu yang memuaskan atau sesuatu yang tidak memuaskan. Naluri haiwan ini merupakan buah dari potensi (khashiyat) yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada haiwan supaya dapat menjaga kelangsungan hidup dan spesies mereka.
Sesuatu yang telah dihasilkan oleh haiwan ini merupakan tindak balas penginderaan sebelumnya bahawa sesuatu itu dapat memenuhi naluri atau keperluan jasmaninya. Oleh kerana itu, haiwan itu menerima sesuatu (yang boleh memenuhi naluri dan keperluannya) atau berpaling daripadanya. Namun haiwan itu tidak dapat menilai realiti sesuatu tersebut.
Dalam eksperimen terdahulu, seekor anjing telah mendengar bunyi loceng, lalu ia bertindak balas dengan inderanya tentang sesuatu yang boleh mengenyangkan perutnya yang lapar, iaitu makanan. Suara loceng ini telah menjadi sebahagian yang tidak dapat dipisahkan dari makanan yang boleh memuaskan rasa laparnya. Oleh sebab itu, bunyi loceng ini bagi anjing adalah sama seperti melihat atau menghidu makanan. Kedua-dua ini, menurut anjing dengan penginderaan sebelumnya, sentiasa dikaitkan dengan makanan yang mengenyangkan.
Lebih tepat lagi, jika kita membunyikan loceng terhadap pendengaran anjing lain yang lapar dan belum pernah melakukan eksperimen yang serupa kepada anjing itu, maka ia tidak akan mengeluarkan air liurnya hanya dengan mendengar bunyi loceng. Akan tetapi, ia mengeluarkan air liur apabila melihat atau menghidu makanan yang memuaskan rasa laparnya.
Haiwan tidak boleh berfikir. Mereka hanya mempunyai otak yang kosong dari potensi mengikat dan indera yang mengindera realiti. Mereka bertindak balas semula terhadap sesuatu tersebut, sama ada memuaskan atau tidak memuaskan. Ini dilakukan dengan otak dan indera tersebut. Oleh itu, binatang boleh mengindera, tetapi tidak boleh berfikir seperti manusia.
Allah SWT berfirman, “Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternakan. Bahkan mereka lebih sesat jalannya.” [TMQ Al-Furqan (25): 44].
Ayat ini menunjukkan bahawa binatang ternakan tidak boleh berfikir.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #idrak #PotensiManusia #Pancaindera #ProsesBerfikir