Memahami Karakter Generasi, Cabaran Mendidik Generasi Era Digital
Oleh: Aliya Ab Aziz
Dalam menghadapi cabaran mendidik generasi pada era digital hari ini, Aktivis Dakwah Muslimah, Dr Aslam Diyana Selamat menekankan betapa pentingnya memahami karakter generasi ini kerana persekitaran semasa sangat berbeza berbanding dahulu dengan akses maklumat yang kini tiada sempadan.
“Kalau kita tak ambil tahu kita ni generasi mana, kita mungkin tak dapat nak faham ataupun kita tak dapat nak menyelami tentang karakter-karakter per generasi tu. That’s why, nak tak nak tu, kita kena tahu juga. Generasi ni macam mana dia punya karakter dan sebab-sebab yang mempengaruhi, dengan dia punya persekitaran, aspek kejiwaan serta benda-benda yang bersangkutan dengannya lah kan,” katanya dalam siri Open Circle Sahabat Muslimah bertajuk Duhai Ibu, Awasi Dunia Digital Anakmu, Sabtu (10/2025).
Antara cabaran utama dalam mendidik anak pada zaman ini adalah kecanduan atau ketagihan gajet dan sindrom populariti media sosial. Menurutnya, ketagihan ini sebenarnya bermula sejak kecil lagi apabila gajet menjadi solusi mudah bagi ibu bapa.
“Kita sering menyalahkan anak-anak ketagihan gajet tapi sebenarnya ibu bapa yang ketagih berikan gajet kepada anak sebab itu adalah quick fix solution,” tegas beliau. Beliau merujuk kepada kecenderungan ibu bapa menggunakan gajet untuk menenangkan anak-anak secara cepat tanpa memikirkan implikasi jangka panjang.
Beliau juga berpendapat bahawa menggunakan gajet sebagai solusi mudah untuk mendiamkan anak-anak sedari usia kecil merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak wajar. Hal ini kerana ia mencerminkan sikap malas ibu bapa dalam mengurus keperluan sebenar anak-anak. Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah bentuk pengabaian terhadap hak anak-anak untuk mendapatkan perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa mereka.
“From the beginning kita dah start bagi dia gajet, sebenarnya itu adalah satu solusi yang `malas’lah pada saya. Kita kena fikir sebenarnya macam mana hendak menyelesaikan tugasan harian kita tanpa mengabaikan hak anak-anak,” jelas beliau lagi.
Dr Aslam turut menegaskan bahawa dunia internet bukan seperti dunia yang dibataskan oleh negara. Ia tanpa sempadan, menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai maklumat yang sukar dikawal oleh ibu bapa.
“Sebab digital ni adalah satu dunia yang macam borderless, is a non state. Ia benda yang tak ada batas. Jika sebelum ini, kalau kita nak reach sesuatu benda tu kita mungkin kena baca buku, kena cari buku, kena pergi library kan? Tapi bila dah ada internet benda tu dah jadi tanpa batasan. Kita boleh capai sampai di mana-mana,” tambah beliau.
Seterusnya beliau turut menzahirkan kebimbangannya terhadap realiti fenomena media sosial yang mendorong ketagihan perhatian dan keinginan untuk sentiasa menonjol. Beliau mengungkapkan bahawa fenomena ini terjadi kerana media sosial direka bentuk berdasarkan konsep ‘hook model‘ berasaskan sistem ganjaran yang mendorong penggunanya berinteraksi di platform secara terus menerus.
“Walaupun rewards (ganjaran) tu uncertain, tapi orang akan sentiasa eager nak tahu. Dalam konteks Facebook contohnya, ganjaran tu boleh jadi dalam bentuk likes atau shares,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, budaya popular melalui media sosial juga menggalakkan sikap ingin menonjolkan diri secara berlebihan, sehingga menyebabkan sesetengah individu sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan perhatian ramai.
“Budaya popular ini bukanlah sekadar hiburan semata-mata, tetapi ia turut mempengaruhi pemikiran, nilai, dan gaya hidup masyarakat,” ujar beliau.
Malah lebih buruk, impak negatif media sosial ini tidak terhad kepada ketagihan sahaja, tetapi turut mempengaruhi tingkah laku pengguna, seperti sikap `hyper honest‘ yang menjejaskan privasi individu melalui pendedahan diri dan perkongsian hal-hal peribadi secara terbuka.
“Tak hairan kalau kita nampak ada orang tu dia akan menggunakan medium media sosial tu untuk menceritakan masalah rumahtangga dia ataupun dia nak melepaskan kemarahan dia kat dalam tu. Padahal sebenarnya, kalau seseorang itu faham bagaimana amalan dalam Islam sepatutnya dipraktikkan, dia akan tahu bahawa perkara yang melibatkan aib tidak boleh didedahkan, apatah lagi di media sosial. Jadi kita nampak banyak perkara yang sebenarnya bertentangan daripada praktis ajaran Islam, yang tak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana individu,” jelasnya dengan nada kecewa.
Beliau juga menyentuh tentang realiti jebakan kecanduan permainan dalam talian tanpa kawalan boleh mengganggu rutin harian, dan membawa kesan serius terhadap kesihatan serta kesejahteraan hidup, malah berpotensi merosakkan fungsi tubuh.
Beliau menerangkan, “Dia boleh bear untuk stay main game tu 24 hours non-stop. Kalau tengok kajian pun ada yang main game tu sampai meninggal. Kalau dia terus 24 hours tu non stop, mungkin takkan masa tu immediately menyebabkan dia meninggal. Tapi kalau benda tu menjadi habit berterusan, boleh menjejaskanlah dia punya fungsi tubuh – sakit jantung, darah tinggi,”
Dr Aslam mengingatkan para ibu bapa agar memahami bahawa mendidik anak merupakan amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran.
“Mendidik anak adalah amanah yang utama, kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana ia tanggungjawab besar di sisi agama,” tegasnya.
Sebagai penutup beliau mengingatkan bahawa ketagihan gajet bukan sahaja melemahkan aspek mental dan fizikal anak-anak, tetapi turut menjejaskan ketahanan jiwa mereka dalam berdepan tekanan hidup pada masa hadapan. Oleh itu, beliau berharap agar ibu bapa memahami cabaran-cabaran ini bagi memastikan generasi masa hadapan dibentuk dengan nilai-nilai murni dan jati diri yang kukuh mengikut acuan Islam.
“Tanpa kesedaran serta panduan Islam, generasi Muslim akan berisiko hanyut dengan arus masa dan menjauhkan diri daripada identiti Muslim yang sebenar,” tutupnya dengan penuh harapan agar ibu bapa lebih sedar dan bertindak sewajarnya.
#duniadigital #parenting