[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 4/11)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sifat Aktiviti yang Benar
Allah SWT berfirman, “Untuk (kemenangan) seperti ini, hendaklah beramal orang-orang yang mampu beramal.” [TMQ As-Saaffaat (37): 61]
Juga firman-Nya, “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan melakukan kebaikan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; sesungguhnya Allah membuat apa yang Dia kehendaki.” [TMQ Al Hajj (22): 14]
Sesungguhnya pelbagai naluri dan keperluan jasmani selalu menuntut pemenuhan manusia. Bagi tujuan pemenuhan itu, manusia selalu terdorong untuk melakukan perbuatan. Allah SWT telah mengatur perbuatan itu dengan peraturan yang benar dan terperinci. Hal ini untuk menjamin pemenuhan yang benar bagi setiap individu dan mewujudkan masyarakat yang mulia.
Allah SWT menetapkan metode bagi individu untuk melaksanakan perbuatan dengan jalan yang benar dan berjaya. Allah SWT menyeru manusia supaya mengikuti langkah-langkah berikut ketika melaksanakan perbuatan.
Langkah pertama, berpindah dari penginderaan kepada pemikiran, kemudian baru melakukan sesuatu. Ini adalah selepas manusia melihat realiti luaran yang mendorong naluri mereka atau selepas melihat realiti dalaman yang mendorong keperluan fizikal mereka. Namun, sebelum manusia memulakan aktiviti bagi memenuhi naluri dan keperluan fizikal mereka, mereka perlu berfikir terlebih dahulu. Hal ini agar pelaksanaannya bersesuaian dengan apa yang dituntut Tuhan Semesta Alam yang telah mengatur semua perbuatan manusia. Selain itu, berfikir terlebih dahulu juga supaya dalam melaksanakan perbuatan, manusia bukan hanya menuruti dorongan pemenuhan naluri-naluri dan keperluan jasmaninya semata.
Jika ada wanita cantik menyerahkan dirinya kepada lelaki, kecenderungan seksual lelaki itu akan bangkit. Jika dia bersegera memenuhi keinginan yang didorong oleh penginderaan tentang realiti yang membangkitkannya semata, dia akan terjerumus dalam dosa. Ini kerana pemenuhan naluri itu dilakukan dengan cara yang salah.
Namun seandainya lelaki itu memikirkan realitinya terlebih dahulu dan menemui hukum Allah pada perbuatan yang akan dia lakukan bagi memenuhi nalurinya, dia akan mengikat wanita itu dengan akad syarie. Jika sudah berkahwin, dia akan mendatangi isterinya untuk memenuhi kecenderungan seksualnya melalui isterinya.
Rasulullah SAW bersabda, “Ketika salah seorang dari kalian terpesona oleh wanita lalu wanita itu jatuh pada hatinya, maka datangilah isterinya dan bersetubuhlah dengannya, kerana hal itu dapat menolak sesuatu yang ada di hatinya.” (HR Muslim dan Ahmad dari Jabir)
Juga sabda Nabi SAW, “Hendaklah kalian mencari biaya nikah. Siapa saja yang tidak mampu, maka berpuasalah kerana puasa itu menjadi perisai baginya.” (HR An-Nasa’i dari Abdullah bin Mas’ud)
Allah SWT telah menuntut agar kita tidak terus berpindah dari penginderaan kepada perbuatan. Sesungguhnya yang demikian ini dapat menjatuhkan manusia ke dalam kesalahan dan dosa. Allah SWT berfirman, “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita tentang keamanan atau ketakutan, mereka (langsung) menyebarkannya. (Padahal) apabila mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulul-Amri (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, sudah tentu orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya (secara rasmi) daripada mereka (Rasul dan Ulul Amri). Sekiranya bukan kerana kurniaan dan rahmat Allah kepadamu, sudah tentu kamu mengikuti syaitan kecuali sebahagian kecil sahaja (diantara kamu).” [TMQ An-Nisaa’ (4): 83]
Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah menegur orang yang terus berpindah dari penginderaan kepada perbuatan. Allah SWT telah melarang orang yang menyebarkan berita hanya dengan mengikut perasaan sendiri, tanpa berfikir atau bermuhasabah terlebih dahulu. Allah menyeru mereka untuk kembali kepada Rasul dan orang-orang yang arif di antara mereka dalam menilai berita.
Mereka adalah para ulama yang mempunyai kebolehan untuk menentukan hukum-hukum syariah yang berkaitan dengan berita. Merekalah yang menilai berita setelah memikirkannya. Ini kerana mencari ketetapan hukum tidak boleh dipenuhi tanpa berfikir terlebih dahulu.
Allah SWT berfirman, “Jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan, ‘Ini daripada sisi Allah.’ dan kalau mereka ditimpa suatu keburukan, mereka mengatakan, ‘Ini daripada engkau (Muhammad)’ Katakanlah, “Semuanya (datang) daripada sisi Allah.’ Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan (sedikit pun)? Kebaikan apa pun yang kamu peroleh adalah daripada sisi Allah, dan keburukan apa pun yang menimpamu, itu daripada (kesalahan) dirimu sendiri…” [TMQ An-Nisaa’ (4): 78—79]
Mereka mengatakan sesuatu secara rawak tanpa berfikir terlebih dahulu. Mereka melakukan perbuatan, iaitu perkataan, tanpa berfikir. Mereka menyangka pertolongan itu datang daripada Allah, dan kekalahan itu datang daripada Rasul-Nya. Demikianlah, Allah SWT dalam ayat di atas telah menegaskan perbuatan mulut mereka yang salah.
Allah SWT menjelaskan bahawa kemenangan dan kekalahan semuanya datang daripada Allah dan diciptakan oleh-Nya. Siapa saja mengambil sebab-sebab yang telah ditunjukkan oleh Allah untuk kemenangan, maka dia mendapat kemenangan. Ini sebagaimana yang diperoleh oleh kaum muslim dalam perang Badar Kubra. Namun siapa saja yang tidak menempuh sebab-sebab (jalan-jalan) kemenangan, dia akan menerima kekalahan. Ini seperti yang telah terjadi atas kaum muslim dalam perang Uhud. Saat itu, para pemanah telah melanggar perintah Rasulullah SAW, iaitu mereka meninggalkan bukit sebelum berakhirnya peperangan.
Seandainya mereka memikirkan apa yang berlaku kepada mereka sebelum mengeluarkan hukum itu, mereka akan memahami hakikat kemenangan dan kekalahan, serta hakikat kemudahan dan kesusahan yang menimpa manusia. Akan tetapi mereka adalah seperti yang telah difirmankan Allah SWT sehubungan dengan celaan mereka, “Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan (sedikit pun)?”
Orang yang beriman kepada Allah SWT telah menuntut agar mereka memikirkan segala apa yang mereka dengar daripada sumber yang diragui kebenarannya. Juga supaya mereka bertindak berhati-hati dalam kesahihan berita sebelum menjatuhkan hukum ke atasnya. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya membawa kepada penyesalan.” [TMQ Al-Hujurat (49): 6]
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah
#MafahimIslamiyyah #AktivitiManusia #PerbuatanManusia #HukumSyarak