[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 3/11)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Dalam bab akidah dan ibadah, Islam telah menetapkan sesuatu yang wajib diimani. Allah SWT berfirman, “… Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya…” [TMQ Al-Baqarah (2): 285]
Islam telah menunjukkan perbuatan yang dapat ditunaikan seorang muslim untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan untuk memenuhi naluri beragamanya. Allah SWT berfirman, “Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 77]
“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagi kamu.” [TMQ Ghaafir (40): 60]
Adapun tentang makanan, pakaian dan akhlak, Islam benar-benar telah menunjukkan perbuatan dan segala sesuatu (benda-benda). Dengan demikian, manusia dapat memenuhi naluri mempertahankan diri dan keperluan-keperluan jasmaninya.
Allah SWT berfirman, “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan atas mereka segala yang buruk.” [TMQ Al-A’raaf (7): 157]
Firman-Nya, “Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al-Kitab itu halal bagi kalian dan makanan kalian halal bagi mereka.” [TMQ Al-Mâaidah (5): 5]
Juga firman-Nya, “Makan dan minumlah kalian, dan janganlah berlebih-lebihan …” [TMQ Al-A’raaf (7): 31]
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Telah diharamkan pakaian dari sutera dan emas atas lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanitanya.” (HR Tirmidzi dari Abi Musa).
Juga sabda Nabi SAW, “Pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.”
Allah SWT berfirman, “Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka tetap mengucapkan salam.” [TMQ Al-Furqaan (25): 63]
Adapun yang berhubungan dengan hukuman-hukuman dan muamalat, Islam telah menunjukkan perbuatan dan sesuatu (benda) yang dapat memenuhi naluri seksual dan naluri mempertahankan dirinya. Allah SWT berfirman, “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah.” [TMQ Al-Maaidah (5): 38]
Juga firman-Nya, “Apabila kalian bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kalian menulisnya…” [TMQ Al-Baqarah (2): 282]
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Dan barangsiapa mati sedangkan pada lehernya tidak ada baiat, maka dia seperti mati jahiliah.”
Begitulah, Allah SWT telah mengatur melalui Islam segala perbuatan manusia dan segala yang diperlukan untuk memenuhi pelbagai naluri dan keperluan fizikal. Dia telah menjadikan nas-nas syariat dari Al-Quran dan As-Sunnah yang luas untuk menjelaskan hukum setiap perkara baru dari perbuatan dan segala sesuatu.
Allah SWT berfirman, “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian dan telah Aku cukupkan kepada kalian nikmat-Ku dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama kalian.” [TMQ Al-Maaidah (5): 3]
Juga dalam firman-Nya, “Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu.” [TMQ An-Nahl (16): 89]
Allah SWT telah menyeru manusia agar menjalankan hukum syariat pada segala sesuatu, baik berupa perbuatan atau bukan.
Allah SWT berfirman, “Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan.” [TMQ An-Nahl (16): 65]
Dalam firman-Nya yang lain, “Kemudian jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya).” [TMQ An-Nisaa’ (4): 59]
Mengembalikan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah mengembalikan kepada Al-Quran dan Al-Hadis, serta kepada yang telah ditunjukkan oleh keduanya, iaitu qiyas dan ijmak sahabat.
Hukum asal perbuatan adalah terikat dengan hukum-hukum syarak. Seorang muslim tidak dibenarkan beraktiviti, kecuali setelah memahami hukum Allah atas perbuatan tersebut. Ini kerana Allah SWT akan menghisab semua perbuatan seorang mukallaf, yang baik mahupun buruk.
Allah SWT berfirman, “Maka siapa saja yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya, dan siapa saja yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” [TMQ Al-Zalzalah (99): 7—8]
Adapun hukum asal segala sesuatu adalah mubah selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya. Allah SWT berfirman, “Dan Allah telah menundukkan untuk kalian apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi semuanya, (sebagai rahmat) dari-Nya.” [TMQ Al-Jaathiyah (45): 12]
Firman-Nya yang lain, “Maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” [TMQ Al-Mulk (67): 15]
Allah SWT telah membolehkan bagi manusia segala sesuatu yang ada dengan dalil-dalil yang umum dan Allah telah mengecualikan perkara-perkara yang diharamkan. Perkara-perkara tersebut sangat sedikit dibandingkan perkara yang dimubahkan. Allah SWT berfirman, “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan atas mereka segala yang buruk.” [TMQ Al-A’raaf (7): 157]
Juga firman-Nya, “Telah diharamkan atas kalian bangkai, darah, daging babi…”
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Khamar itu diharamkan kerana zatnya.”
Dengan demikian, seorang muslim yang mukallaf akan selalu mengikat dirinya dengan hukum syarak dalam semua perbuatannya dan segala sesuatu yang dia gunakan. Hukum syarak ialah seruan Syarie (Allah Sang Pembuat Hukum) yang berhubungan dengan perbuatan para hamba-Nya.
Seruan (khithab) ini diambil dari Al-Quran Al-Karim, sunnah Nabawiyah, ijmak sahabat dan qiyas. Sebahagian ulama telah menyandarkan pada dalil-dalil lain yang dianggap bahawasanya ia merupakan sumber-sumber syariat Islam, seperti istihsan, mashalihul mursalah dan lain-lain.
Mashalihul mursalah menurut pandangan kami tidak termasuk dalil-dalil syariat, walaupun kami menganggap sesuatu yang dikeluarkan darinya sebagai hukum syarak. Ini kerana orang yang telah mengeluarkannya telah berpegang dengan dalil syubhat. Sedangkan dalil-dalil syarak secara global itu mesti merupakan dalil-dalil yakin, iaitu yang pasti sumbernya (qath’i tsubut) dan yang pasti pengertiannya (qath’i dilalah).
Allah SWT berfirman, “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.” [TMQ Al-Israa’ (17): 36]. Maksudnya, janganlah kamu mengikuti apa-apa yang tidak ada keyakinan tentangnya bagi kamu.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah
#MafahimIslamiyyah #AktivitiManusia #PerbuatanManusia #HukumSyarak