[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 2/11)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Perlu ada tolok ukur untuk mengatur pelbagai interaksi antara manusia yang menjamin hak setiap manusia dalam kehidupan yang layak. Jika pembuatan sistem (peraturan) ini diserahkan kepada akal manusia, hukum-hukum yang terkait dengan segala aktiviti dan sesuatu (benda-benda) yang diperlukan bagi pemenuhan itu akan saling berselisih, bertentangan, berbeza, dan dipengaruhi oleh persekitaran.
Hal ini kerana terdapat perbezaan antara pelbagai naluri dan keperluan jasmani mereka. Ada yang berpendapat mencuri adalah jenayah yang hukumannya dimasukkan ke dalam penjara. Namun, ada juga yang berpendapat hukuman bagi pencuri adalah denda.
Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa zina adalah satu jenayah, dan pelakunya perlu dihukum. Namun, pihak lain menyanggah pendapat ini. Mereka berpendapat bahawa zina bukan satu jenayah jadi tidak perlu dihukum.
Kadang-kadang terdapat juga perbezaan antara mereka yang beranggapan bahawa hukuman bagi pencuri adalah penjara. Kemudian salah seorang dari mereka berhujah bahawa pencuri itu patut dipenjarakan selama beberapa bulan mengikut jumlah dinar (wang) yang dicurinya. Ada pula yang berpendapat pencuri itu layak dipenjara beberapa minggu mengikut jumlah wang yang dicuri.
Ada pihak berpendapat bahawa homoseksual adalah satu jenayah kerana masyarakat tempatan menganggap liwat sebagai sesuatu yang buruk. Bagaimanapun, pihak lain berpendapat liwat adalah dibenarkan kerana telah ditentukan oleh masyarakat sekeliling supaya tidak menganggapnya sebagai perkara yang buruk.
Kadang-kadang ada di antara mereka yang membenarkan sesuatu, dan pada masa yang sama ada yang melarangnya. Maka hukum manusia yang berkaitan dengan berbagai kegiatan, perbuatan dan sesuatu (benda) akan berbeza, bertentangan, beragam, atau dipengaruhi oleh persekitaran. Sesuatu yang dianggap baik oleh sesetengah orang dianggap buruk oleh orang lain.
Ini menyebabkan pergaulan mereka menjadi kucar-kacir sehingga seluruh hidup mereka penuh dengan perselisihan dan konflik. Mereka tidak bersetuju dengan sistem yang memuaskan hati semua orang. Jika mereka bersetuju pun, ia hanya luaran, seperti komunis dan kapitalis. Mereka semua berasa tidak berpuas hati dengan sistem yang diterapkan kepada mereka.
Ketika memegang kuasa, mereka akan menggantikan dan menukar sistem mengikut persetujuan dan kehendak mereka. Ini kerana mereka tidak berpuas hati dengan sistem yang telah dicipta oleh orang selain mereka. Beberapa sebab lain yang menjadikan sistem buatan manusia (nidzam wadh’iy) tidak sesuai untuk semua manusia ialah kurangnya persepsi oleh pakar pembuat sistem mengenai perbezaan antara setiap individu dalam masyarakat. Perbezaan ini terletak pada pelbagai naluri dan keperluan jasmani mereka, serta potensi mengikat yang wujud dalam otak mereka.
Penyebab lainnya adalah kerana para pembuat sistem ketika menetapkan undang-undang, mereka terpengaruh oleh potensi-potensi mereka, iaitu bermacam naluri, keperluan jasmani, dan akal mereka. Dengan demikian, orang yang pada dirinya memiliki naluri mempertahankan diri yang kuat, dia akan menetapkan undang-undang yang menjamin pemenuhan nalurinya. Sebaliknya, dia akan meninggalkan undang-undang yang terkait dengan pemenuhan naluri beragama dan naluri seksual. Ini kerana dua naluri ini sangat lemah pada dirinya.
Orang yang suka kambing, tetapi merasa jijik dengan daging lembu kerana dia menyembah lembu, maka dia akan menghalalkan kambing dan mengharamkan lembu. Maka, hukum-hukum buatan manusia (qowanin wa-dhi’iyah) akan dipengaruhi oleh pelbagai naluri, keperluan jasmani, dan akal manusia yang membuatnya.
Ini sudah tentu akan mengabaikan dan melemahkan pemenuhan pelbagai naluri dan keperluan jasmani individu lain. Ini kerana pembuat undang-undang dan sistem ini tidak dapat memahami tahap kekuatan dan kelemahan potensi ini dalam setiap individu dalam masyarakat.
Hal ini juga disebabkan oleh potensi yang dimiliki oleh orang yang membuat undang-undang, kekuatan dan kelemahan mereka mempunyai pengaruh dalam mewujudkan sistem. Dari sini, kelihatan jelas bahawa sistem-sistem buatan manusia telah gagal dalam mengatur bermacam-macam naluri. Sedangkan, apa yang manusia perlukan adalah peraturan yang menjamin semua individu dengan pemenuhan yang benar. Ini kerana pemenuhan yang benar memerlukan pembuat sistem yang mengetahui sifat semua potensi yang dimiliki oleh semua manusia.
Hal ini tidak dapat direalisasikan, kecuali oleh Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu kemudian menyempurnakannya. Allah SWT juga telah mencipta manusia dalam bentuk yang sangat baik. Kemudian Allah SWT mewujudkan potensi-potensi yang sangat lengkap dari pelbagai naluri, keperluan jasmani dan akal pada manusia.
Allah SWT telah mengutus Rasulullah Muhammad SAW dengan membawa Islam sebagai sistem yang mengatur semua interaksi manusia. Ini meliputi tiga hal. Pertama, mengatur interaksi manusia dengan Tuhan, iaitu terkait akidah dan ibadah untuk memenuhi naluri beragama dengan pemenuhan yang benar. Kedua, mengatur interaksi manusia dengan dirinya, iaitu terkait makanan, pakaian dan akhlak. Ketiga, mengatur interaksi manusia dengan manusia lain, iaitu terkait hukuman-hukuman dan muamalat untuk memenuhi naluri seksual, naluri mempertahankan diri, dan bermacam keperluan jasmani dengan pemenuhan yang benar.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah
#MafahimIslamiyyah #AktivitiManusia #Hukum #Peraturan #SistemKehidupan