Pentingnya Agama Dalam Mengurus Nafsu
Oleh: Rahmah
Aktivis Dakwah Muslimah, Puan Syamsiyah Jamil menyatakan bahawa pengetahuan agama dalam pengurusan nafsu sangat penting sebagai panduan dalam menyelesaikan masalah berkaitan HIV yang semakin meningkat.
“Dalam Islam sendiri pun memang ditekankan pengetahuan agama dalam pengurusan nafsu tu sangat penting. Mengapa? Sebab agama berfungsi sebagai panduan bagi manusia untuk menjalani kehidupannya sesuai dengan aturan Allah SWT,” ujarnya dalam program Open Circle Siri Ratu Hatiku dengan judul HIV Meningkat: Apa Sudah Jadi Pada Anak Muda?, Sabtu (21/6/2025).
Beliau menjelaskan bahawa dengan pengetahuan agama, keperluan biologi dan naluri manusia diatur sesuai dengan fitrahnya sebagai hamba Allah SWT.
“Dengan pengetahuan agama inilah segala keperluan biologi dan kecenderungan naluri manusia tu dipenuhi sesuai dengan fitrah penciptaannya sebagai manusia,” jelasnya.
Beliau memetik data statistik daripada laporan pemantauan AIDS Global (Malaysia) tahun 2024 iaitu 90 peratus daripada 85,283 penghidap HIV di Malaysia merupakan golongan lelaki dan didapati berpunca daripada hubungan seks sesama lelaki (homoseksual).
“Ini yang kita bimbang. Kalau dulu HIV ni banyak dijangkiti melalui perkongsian jarum bagi penagih-penagih dadahkan? Masa dulu tu kempen jangan kongsi jarum suntikan banyak. Sekarang ni kes-kes HIV banyak didapati daripada golongan lelaki yang berpunca dari hubungan seks iaitu homoseksual,” dedahnya.
Tambah beliau lagi, penularan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar juga adalah sesuatu yang membimbangkan kerana merekalah generasi yang diharap untuk memimpin negara di masa hadapan.
“Peningkatan jangkitan HIV masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda. Malah menunjukkan situasi yang lebih parah apabila melibatkan golongan pelajar yang sepatutnya fokus kepada pembelajaran untuk membina generasi pemimpin yang berkualiti pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkongsi penyelesaian Islam berkaitan hal ini di mana potensi akal kurniaan Allah SWT hendaklah digunakan untuk membezakan antara yang benar dan batil, di samping merenungi hakikat manusia diciptakan dan menyedari setiap amalannya di dunia akan dihisab di akhirat kelak.
“Dan agamalah yang memandu kita, yang memberitahu kita apa yang benar, apa yang batil. Anak muda ni juga perlu diajak berfikir tentang tiga persoalan utama dalam hidup seseorang manusia iaitu dari mana dia diciptakan, untuk apa dia diciptakan di dunia dan ke mana dia selepas mati,” jelasnya.
Namun menurut beliau, pengurusan nafsu dalam skala individu semata tidak akan berjaya kerana selain masalah perilaku individu, fahaman liberalisme juga telah mempengaruhi pemikiran individu sehingga merasa bebas untuk bertingkahlaku.
“Jadi, kalau pengurusan nafsu dalam diri individu tak cukup macam mana kita nak pastikan masalah ni diselesaikan dengan cara yang baik. Ianya dengan memastikan negara sendiri sebagai pengurus rakyat wajib melindungi rakyatnya dari bahaya pemikiran ini dan akibat daripadanya. Negara sebagai penjaga umat wajib menjaga agama setiap individu rakyatnya supaya sentiasa dalam ketakwaan kepada Allah SWT,” jelasnya.
Lanjutnya, ada empat langkah yang perlu diambil negara. Pertama, proses mendidik rakyat memahami syariat Islam dengan benar supaya mereka menjadikan syariat Islam sebagai pegangan hidup.
“Kalau kerajaan boleh menjalankan kempen HIV dengan berkesan sampai masuk ke sekolah-sekolah, universiti-universiti, patutnya mereka juga boleh melakukan kempen-kempen pendidikan tentang syariat Islam, tentang haramnya gay, tentang haramnya lesbian, tentang haramnya biseksual, transgender termasuk zinalah,” katanya.
Kedua, mengatur pergaulan antara lelaki dan perempuan dengan sempurna.
“Negara wajib menutup segala pintu-pintu yang membolehkan lelaki dan perempuan itu bergaul bebas,” tegasnya.
Ketiga, menguasai media dengan menyekat segala media cetak atau elektronik yang memaparkan bahan-bahan yang merosakkan pemikiran dan tingkahlaku.
“Doktor pakar tu kata mengelakkan diri daripada melihat pornografi ni salah satu perkara yang sangat penting dalam menguruskan nafsu. Masalahnya macam mana nak mengelak kalau benda tu sangat mudah didapati (diakses)?,” soalnya.
Keempat, mengenakan hukuman terhadap sesiapa sahaja yang melanggar syariat Allah SWT.
“Negara akan mengenakan hukuman sebagai penebus dosa mereka dan sebagai pencegah kepada orang lain, jadi orang akan takut, kalau buat nanti kena hukuman,” katanya.
Beliau menyimpulkan bahawa sebagai panduan hidup, Islam mampu mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar.
“Islam dijadikan panduan hidup manusia yang mampu mencegah manusia daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar sekaligus mencegah penyakit,” simpulnya.
#HIV #aids