Menginfakkan Seluruh Harta
Oleh: Yahya Abdurrahman
عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ، رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُولُ: أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ ﷺ يَوْمًا أَنْ نَتَصَدَّقَ، فَوَافَقَ ذَلِكَ مَالًا عِنْدِي، فَقُلْتُ: الْيَوْمَ أَسْبِقُ أَبَا بَكْرٍ إِنْ سَبَقْتُهُ يَوْمًا، فَجِئْتُ بِنِصْفِ مَالِي، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: «مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ؟»، قُلْتُ: مِثْلَهُ، قَالَ: وَأَتَى أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ بِكُلِّ مَا عِنْدَهُ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ ﷺ: «مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ؟» قَالَ: أَبْقَيْتُ لَهُمُ اللهَ وَرَسُولَهُ، قُلْتُ: لَا أُسَابِقُكَ إِلَى شَيْءٍ أَبَدًا
Daripada Zaid bin Aslam, dari bapanya: Aku mendengar Umar bin al-Khattab RA berkata: Pada satu hari Rasulullah SAW menyuruh kami bersedekah. Hal itu sesuai harta milikku. Aku berkata, “Hari ini aku dapat menyalib Abu Bakar jika aku berlumba dengan beliau pada suatu hari.” Lalu aku datang dengan membawa separuh hartaku. Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Harta apa yang engkau pertahankan untuk keluargamu?” Aku katakan, “(Jumlahnya) sama dengan ini.” Umar berkata: Kemudian Abu Bakar RA datang dengan membawa semua harta miliknya. Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Harta apa yang engkau pertahankan untuk keluargamu?” Dia berkata, “Aku mempertahankan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.” Aku (Umar) berkata, “Aku tidak akan mampu menyalib engkau (Abu Bakar) dalam hal apapun selama-selamanya.” (HR Abu Dawud no. 1678, at-Tirmidzi no. 3675, ad-Darimi no. 1701 dan al-Hakim no. 1510).
Imam at-Tirmidzi berkata, “Hadis ini hasan-sahîh.” Al-Hakim dalam Al-Mustadrak berkata, “Hadis ini sahîh menurut syarat Muslim, tetapi keduanya tidak men-takhrîj hadis tersebut.”
Dalam hadis ini Rasul SAW bertanya baik kepada Umar bin al-Khattab RA mahupun kepada Abu Bakar RA yang datang membawa harta untuk disedekahkan (diinfakkan di jalan Allah), Beliau bertanya tentang apa harta yang dipertahankan (ditinggalkan) untuk keluarganya. Ini mengisyaratkan pada hadis-hadis yang lain bahawa sedekah terbaik itu berasal dari kelebihan untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga secara normal sebagaimana berlaku umum di tengah-tengah masyarakat, tempat seseorang itu hidup.
Di sini Rasul SAW menerima dan mengizinkan untuk bersedekah dengan seluruh harta dari Abu Bakar RA. Ini juga menunjukkan kebolehan menginfakkan seluruh harta seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar RA.
Dalam hal ini Badruddin al-‘Ayni (w. 855 H) dalam kitabnya, Syarhu Sunan Abiy Dâwud, menjelaskan, “Rasul SAW tidak mengingkari Abu Bakar yang membawa semua hartanya (untuk disedekahkan). Hal itu kerana beliau tahu kebaikan niatnya dan kekuatan jiwanya. Tidak ada kekhuatiran Abu Bakar RA akan terkena fitnah. Abu Bakar RA juga tidak dikhuatirkan akan meminta-minta kepada orang, sebagaimana apa yang Rasul SAW khuatirkan atas orang yang beliau tolak emasnya dan orang yang beliau tolak pakaiannya (untuk disedekahkan).”
Di sisi lain, Rasul SAW pernah menolak sedekah semua harta daripada seorang Sahabat. Jabir bin Abdullah RA menuturkan: Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, datanglah seorang lelaki membawa barang seperti telur dalam bentuk emas yang dia dapatkan dalam suatu peperangan (Ahmad berkata: yang tepat adalah pada sebahagian lombong). Lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, ambillah hartaku ini sebagai sedekah. Demi Allah, aku tidak mempunyai harta yang lain.” Beliau pun menolak. Lalu dia mendatangi beliau dari sisi kiri dan mengatakan hal yang sama. Kemudian dia pun mendatangi beliau dari depan beliau dan mengatakan hal yang sama juga. Kemudian Rasul SAW bersabda, “Bawa ke sini!” dalam keadaan marah. Lalu beliau mencampakkan harta itu, yang seandainya terkena dirinya, nescaya akan mencederakan dirinya. Lalu beliau bersabda:
«يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ إِلَى مَالِهِ لَا يَمْلِكُ غَيْرَهُ فَيَتَصَدَّقُ بِهِ، ثُمَّ يَقْعُدُ يَتَكَفَّفُ النَّاسَ، إِنَّمَا الصَّدَقَةُ عَنْ ظَهْرِ غِنًى، خُذِ الَّذِي لَكَ لَا حَاجَةَ لَنَا بِهِ». فَأَخَذَ الرَّجُلُ مَالَهُ وَذَهَبَ
Salah seorang di antara kalian bertumpu pada (sangat memerlukan) hartanya. Dia tidak mempunyai harta yang lain. Lalu dia sedekahkan harta itu. Kemudian dia duduk-duduk dengan mengharapkan pemberian daripada orang ramai. Sungguh sedekah itu hanyalah daripada orang yang berkecukupan. Ambillah harta milikmu ini. Kami tidak memerlukan harta ini.” Lalu orang itu mengambil kembali hartanya dan pergi.” (HR ad-Darimi no. 1700, Abu Dawud no. 1674, Ibnu Hibban no. 3372, al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubrâ no. 7777 dan al-Hakim di dalam Al-Mustadrak no. 1507 dan dia berkata, “Ini hadis sahih menurut syarat Muslim, tetapi keduanya tidak men-takhrîj hadis tersebut.” Adz-Dzahabi di dalam At-Talkhîsh menyetujui pernyataan ini).
Dalam hadis ini ada hal yang mengisyaratkan sebab penolakan beliau, iaitu kekhuatiran bahawa orang itu, setelah mensedekahkan semua hartanya, lalu dia akan meminta-minta kepada manusia untuk keperluannya. Kekhuatiran seumpama ini tidak ada pada Rasulullah SAW terhadap Abu Bakar dan keluarganya kerana kekuatan imannya, ketawakalannya kepada Allah, kekuatannya menjaga ‘iffah, kesabarannya dan sebagainya.
Kaab bin Malik RA, yang tidak ikut serta dalam Perang Tabuk, bertaubat atas hal demikian. Sebagai bahagian dari taubatnya, dia mensedekahkan semua hartanya. Kaab bin Malik RA berkata kepada Rasul SAW, “Ya Rasulullah, di antara taubatku adalah aku menyerahkan semua hartaku sebagai sedekah kepada Allah dan Rasul-Nya.” Beliau lalu bersabda:
«أَمْسِكْ عَلَيْكَ بَعْضَ مَالِكَ، فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ»، قُلْتُ: فَإِنِّي أُمْسِكُ سَهْمِي الَّذِي بِخَيْبَرَ
“Pertahankanlah sebahagian hartamu. Hal itu lebih baik untuk dirimu.” Aku (Kaab bin Malik) berkata, “Sungguh aku mempertahankan bahagian hartaku yang ada di Khaibar.” (HR al-Bukhari no. 2757, Ahmad no. 15770, Abu Dawud no. 3317, at-Tirmidzi no. 3102 dan an-Nasa’i no. 3826).
Pertemuan semua hadis tersebut dan lainnya dalam topik yang sama adalah seperti yang dikatakan oleh Imam an-Nawawi (w. 676 H) di dalam Syarhu Shahîh Muslim, “Para ulama berbeza pendapat tentang bersedekah dengan semua harta yang dimiliki. Menurut mazhab kami, hal itu mustahab untuk orang yang tidak mempunyai hutang dan tidak memiliki keluarga yang tidak bersabar, dengan syarat dia termasuk orang yang bersabar atas kesempitan dan kefakiran. Jika tidak terpenuhi syarat-syarat ini maka hukumnya makruh.”
Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani (w. 852 H) dalam Fathu al-Bârî Syarhu Shahîh al-Bukhârî menyatakan: “Ath-Thabari dan lainnya berkata, “Jumhur ulama berkata: Siapa saja yang mensedekahkan semua hartanya pada waktu sihat badan dan akalnya, sementara dia tidak mempunyai hutang dan dia boleh bersabar atas kesempitan serta tidak mempunyai keluarga atau memiliki keluarga yang juga mampu bersabar, maka itu boleh. Jika tidak ada sesuatu daripada syarat-syarat ini, maka hal itu tidak disukai (dimakruhkan).”
Apa yang lebih afdhal, seperti dalam hadis Kaab bin Malik RA dan yang lainnya, ketika bersedekah, hendaklah dipertahankan harta yang mencukupi keperluan sendiri dan keluarga secara normal sebagaimana berlaku umum di masyarakat tempat orang itu hidup.
WalLâh a’lam wa ahkam.
#sedekah #syarahhadis #infak