Seruan kepada Perubahan Diri dan Sistem Kehidupan
Oleh:Ummu Fathma
Tahun baharu hijrah bukan hanya suatu simbolik perubahan angka tahun, tetapi merupakan suatu seruan perubahan menyeluruh ke arah memperbaiki diri dan sistem kehidupan umat Islam. Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah menandakan suatu transformasi yang agung iaitu transisi daripada penindasan yang bersifat sadis kepada pemerintahan Islam yang berdaulat. Maka, bulan Muharram sepatutnya disambut dengan persektif semangat hijrah yang meningkatkan lagi amal soleh, memperbanyak taubat, dan memperbaharui tekad untuk mentaati Allah SWT sepenuhnya. Bulan Muharram adalah bulan yang dimuliakan Allah. Banyak amalan sunat yang dianjurkan untuk dilaksanakan pada bulan ini. Rasulullah SAW bersabda, “Puasa yang paling utama setelah Ramadan adalah puasa di bulan Allah, Muharram.” [HR Muslim].
Puasa Asyura (10 Muharram) diiringi Tasu’a (9 Muharram) sangat dianjurkan, yang mampu menghapuskan dosa setahun yang lalu. Di samping itu, amal soleh lain seperti sedekah, menuntut ilmu, dan berdakwah sangat dituntut, sebagaimana firman Allah SWT,
“Dan segeralah kamu (berbuat amal-amal yang baik) untuk mendapatkan keampunan dari Tuhanmu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 133]
Namun, muhasabah ini tidak boleh berhenti setakat memperbaiki ibadah ruhiyah semata. Umat perlu sedar bahawa sistem kehidupan kita kini adalah berpaksikan kepada sistem kapitalisme sekular, iaitu sebuah sistem yang memisahkan fungsi agama daripada kehidupan dimana kita lihat hukum Allah tidak ditegakkan dalam seluruh aspek kehidupan. Ini membuatkan umat terperangkap dalam sistem buatan manusia yang menindas dan seterusnya gagal membawa kepada kesejahteraan.
Sejarah hijrah Rasulullah SAW telah memberikan teladan yang jelas tentang perlunya meninggalkan sistem jahiliah menuju kepada sistem Islam. Berbeza dengan hijrah para sahabat ke Habsyah yang tujuan utamanya adalah untuk mencari perlindungan, hijrah Rasulullah SAW ke Madinah bertujuan untuk menegakkan Islam secara kaffah melalui pembentukan Daulah Islam (Negara Islam). Baginda telah berpindah dari Mekah, iaitu pusat kekufuran ketika itu, bukan kerana putus asa tetapi sebagai satu strategi yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk mendirikan sebuah tatanan dunia yang baharu berasaskan wahyu. Hijrah itulah yang telah mengubah keadaan umat daripada keadaan tertindas di Mekah kepada keadaan bermaruah dan berdaulat di Madinah. Oleh itu, tahun baharu Hijrah harus menjadi titik kebangkitan umat untuk kembali kepada sistem Islam secara kaffah melalui penegakan syariah dan Khilafah iaitu sistem pemerintahan warisan Rasulullah SAW yang menjamin keadilan, keberkatan dan kemuliaan umat. Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 11]
Sudah tiba masanya untuk umat berhijrah bukan sekadar secara individu, tetapi juga secara sistemik dengan meninggalkan ideologi buatan manusia dan kembali berhukum dengan syariat Allah SWT secara kaffah. Hanya dengan ini, umat akan kembali menjadi khairu ummah dan meraih rahmat Allah di dunia dan akhirat. InsyaAllah.
#Muharram #Haji