[Mafahim Islamiyyah] Keperibadian (Bahagian 5/9)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Keperibadian Islam berbeza-beza kekuatannya. Ketika seorang muslim menjadikan akidah Islam sebagai dasar bagi pemikiran dan kecenderungannya, keperibadiannya akan menjadi keperibadian Islam. Keperibadian ini boleh jadi sangat cenderung (tamak, rakus) terhadap pelaksanaan yang sunnah selain yang fardhu, menjauhi yang makruh serta haram, mengerjakan perkara-perkara mubah yang mendekatkan kepаda yang fardhu dan sunnah, serta berpaling daripada melakukan perkara mubah yang boleh mendekatkan dengan yang haram dan makruh.
Apabila seseorang muslim mampu melaksanakannya, bererti keperibadiannya adalah keperibadian Islam yang khas dan luhur. Pemiliknya mampu menyelaraskan pemikiran dan kecenderungannya. Seterusnya dia beraktiviti sesuai dengan pemahaman Islam.
Namun seorang muslim yang mencukupkan diri dengan melaksanakan perkara yang fardhu, mubah, dan sebahagian perkara sunnah, serta tidak melaksanakan perkara yang haram dan sebahagian yang makruh, bererti keperibadiannya adalah keperibadian Islam yang lebih lemah daripada keperibadian luhur terdahulu yang telah kami sebutkan.
Apabila seorang muslim melakukan perkara yang fardhu, mubah, serta berpaling daripada melakukan sesuatu yang haram, tetapi dia melakukan yang makruh dan meninggalkan yang sunnah, bererti keperibadiannya adalah keperibadian Islam yang lemah.
Di antara tiga kriteria di atas, berkembang kriteria yang lain yang tidak sedikit dari keperibadian-keperibadian Islam dipandang dari sudut kuat dan lemahnya. Seorang muslim kadang-kadang melakukan yang haram atau meninggalkan yang fardhu. Meskipun demikian, mereka tetap berkeperibadian Islam selagi dia menjadikan akidah Islam sebagai dasar pemikiran dan kecenderungannya, yakni untuk pola fikir dan pola sikapnya.
Meskipun terdapat cacat-cacat pada tingkah lakunya, cacat tersebut tidak mengeluarkan seorang muslim daripada keperibadian Islamnya. Terkadang ia lupa atau keliru dalam mengikat pemahaman dengan akidah Islamnya. Terkadang ia bodoh tentang kontradiksi antara kecenderungannya dengan akidah Islam. Kemudian, ia menghukumi realiti dengan hukum yang tidak Islami dan cenderung melaksanakan aktiviti yang tidak ditetapkan syarak.
Sungguh, telah terdapat pada sebahagian sahabat RA cacat dalam sebahagian tingkah laku. Dalam perang Hunain, banyak sekali sahabat yang lari meninggalkan Rasulullah SAW yang sedang menghadapi musuh bersama sekelompok kecil sahabat. Setelah kemenangan mereka pada tahun penaklukkan kota Mekah, sahabat Ansar bercerita bahawasanya Rasulullah SAW menemukan keluarganya dalam keadaan berprasangka bahawa Rasulullah SAW tidak mungkin dapat kembali kepada mereka di Madinah.
Pada perang Bani Mushthaliq, para sahabat saling memanggil sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain untuk berperang. Sebab, mereka teringat kembali pemahaman-pemahaman mengakar yang masih ada pada diri mereka dari pemahaman jahiliahnya.
Ketika Hathib bin Abi Balta’ah mendengar bahawa Rasulullah SAW akan memerangi orang Quraisy di Mekah, dia mengirim surat kepada Quraisy tentang berita tersebut. Setelah wahyu mengungkap tindakannya, mereka datang membawa Hathib kepada Rasulullah SAW. Kemudian beliau bersabda kepada Hathib, “Hai Hathib, apakah gerangan yang membawamu bertingkah laku seperti ini?” Hathib menjawab, “Wahai Rasulullah, ingat, demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak pernah mengubah imanku dan tidak pula menggantinya. Akan tetapi sesungguhnya aku hanyalah lelaki Quraisy, aku tidak memiliki ibu bapa dan keluarga. Aku memiliki anak dan isteri di antara orang-orang Quraisy maka aku menyuap mereka. Aku telah melakukan semuanya supaya mereka membalasnya dengan menjaga keluargaku.”
Umar bin Khattab berkata, “Wahai Rasulullah, biarkan aku, nescaya akan kupenggal lehernya kerana lelaki ini benar-benar telah munafik.” Rasulullah SAW lalu bersabda, “Wahai Umar, bagaimana kamu tahu? Sesungguhnya Allah telah melihat orang-orang yang ikut perang Badar, lalu berfirman, “Lakukanlah apa yang kalian kehendaki kerana Aku benar-benar telah mengampuni kalian.”
Kemudian Allah SWT menurunkan ayat tentang Hathib, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil musuh-Ku dan musuh kalian menjadi teman-teman setia yang kalian sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad) kerana rasa kasih sayang. Sedangkan sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepada kalian. Mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kalian kerana kalian beriman kepada Allah, Tuhan kalian. Jika kalian benar-benar keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan mencari redha-Ku, (janganlah kalian berbuat demikian). Kalian memberitahukan secara rahasia (berita-berita Muhammad) kepada mereka kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kalian sembunyikan dan apa yang kalian nyatakan. Siapa saja di antara kalian yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.”
“Jika mereka menangkap kalian, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagi kalian dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepada kalian dengan menyakiti kalian. Mereka ingin supaya kalian (kembali) kafir.”
“Karib kerabat dan anak-anak kalian tidak bermanfaat bagi kalian pada Hari Kiamat. Dia akan memisahkan antara kalian dan Allah Maha Melihat apa yang kalian lakukan.“
“Sesungguhnya telah ada bagi kamu suri tauladan yang baik pada Nabi Ibrahim AS dan pengikut-pengikutnya semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar), “Sesungguhnya kami melepaskan diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (segala penyembahan) kamu dan dengan ini ternyatalah, perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu adalah selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata”, kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya, “Sesungguhnya aku akan memohon keampunan bagi kamu dan aku tidak dapat menolak sesuatupun dari kamu (seksaan) Allah.’ (Ibrahim berkata), ‘Ya Tuhan kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali.’” [TMQ Mumtahanah (60): 4].
Hathib bin Balta’ah tetap muslim dan keperibadiannya juga keperibadian Islam. Hanya saja, dia benar-benar telah melakukan tajassus (mengintip) terhadap kaum muslim dan dia berhak mendapat hukumannya. Dia juga tidak pernah mengingkari akidah Islam. Dia juga tidak melepaskannya sebagai standard dasar dalam pemikiran dan kecenderungannya.
Semuanya ditunjukkan oleh jawapannya kepada Rasulullah SAW, “Sesungguhnya aku benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak pernah mengubah iman itu dan tidak pula menggantinya.”
Namun, dia telah menampakkan tasharruf-nya yang berlawanan (menafikan) terhadap syarak untuk memelihara keluarganya di Mekah. Dengan demikian pada tasharruf ini, dia tidak mengikatkan kecenderungannya dengan pemahaman Islam. Hanya saja, dia telah dihanyutkan oleh naluri seksual (gharizatun nau’) untuk memelihara atau menjaga isteri dan anak-anaknya.
Begitulah, akibat melepaskan kecenderungannya daripada lingkaran akidah Islam, telah menghasilkan tingkah laku yang buruk oleh dorongan naluri seksual (gharizah nau’).
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #KeperibadianMuslim #StandardPerbuatan