[Mafahim Islamiyyah] Keperibadian (Bahagian 6/9)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT berfirman tentang jihad mereka, “Dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya.” [TMQ Al-Hasyr (59): 8]. Juga firman-Nya, “Mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka.” [TMQ At-Taubah (9): 88]
Allah menyifati ibadah mereka dengan firman-Nya, “Perut mereka jauh daripada tempat tidurnya, mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh berharap.” [TMQ As-Sajdah (32): 16].
Juga firman-Nya, “Dan orang-orang yang dalam hartanya disiapkan bahagian tertentu. Bagi orang miskin yang meminta dan yang tidak meminta.” [TMQ Al-Ma’arij (70): 24—25].
Firman-Nya yang lain, “Mereka itulah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh perkara makruf dan mencegah kemungkaran, dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman.” [TMQ At-Taubah (9): 112].
Allah menyifati akhlak mereka dengan firman-Nya, “Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pemurah itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan salam.” [TMQ Al-Furqan (25): 63].
Begitu juga firman-Nya, “Mereka adalah orang-orang yang jujur.” [TMQ Al-Hasyr (59): 8].
Firman Allah SWT lainnya, “Mereka tidak meminta kepada manusia secara mendesak.” [TMQ Al-Baqarah (2): 273].
Juga firman-Nya, “Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan manusia.” [TMQ Ali Imran (3): 134].
Rasulullah SAW juga bersabda, “Sahabat-sahabatku itu laksana bintang-bintang, dengan siapa saja kalian mengikuti, maka kalian akan mendapat petunjuk.”
Jadi, semua sahabat adalah berkeperibadian Islam. Mereka memadukan antara ibadah dan politik, antara kepemimpinan dan kerakyatan, antara belas kasih dan keadilan, juga antara solat malam dan berjihad.
Mereka berusaha mencari tempat tinggal di akhirat, tetapi tidak melupakan bahagiannya di dunia. Mereka selalu mendahulukan kepentingan atau keperluan orang lain, walaupun diri mereka dalam kesusahan. Mereka selalu memuhasabah dan mengkritik para penguasa. Dalam membela agama Allah, mereka tidak takut cercaan orang yang mencerca.
Akal dan kecenderungan mereka selalu mengikuti syariat yang dibawa Rasulullah SAW. Ini kerana mereka telah menemukan dan memahami erti yang tersirat dalam sabdanya, “Tidak sempurna iman salah seorang daripada kalian, sebelum aku menjadi pola fikirnya di mana dia berfikir.”
Juga sabda Rasulullah SAW yang lainnya, “Tidak sempurna iman seseorang daripada kalian, sebelum hawa nafsunya mengikuti syariat yang telah aku bawa.”
Keperibadian Tidak Khas
Firman Allah SWT, “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah membuat kerosakan di bumi’, mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang melakukan kebaikan.’” [TMQ Al-Baqarah (2): 11].
Keperibadian tidak khas adalah pola fikir yang berbeza dengan pola sikapnya. Keperibadian tidak khas ini tumbuh pada seseorang ketika standard yang membangun pemikirannya berbeza dengan standard yang membangun kecenderungannya. Kemudian manusia menghukumi segala sesuatu dan aktiviti perbuatan dianalogikan dengan standard yang dipergunakan untuk memahami realiti.
Ia akan terdorong untuk memenuhi naluri-naluri dan keperluan jasmaninya dengan pemahaman yang diambilnya dari standard yang berbeza dengan standard yang dipergunakannya untuk mengikat pemahaman dengan dorongan-dorongan, iaitu pola sikapnya.
Orang-orang yang berkeperibadian tidak khas, tingkah laku mereka biasanya kelihatan gelisah dan kacau. Ini kerana pemikiran mereka bukanlah kecenderungan mereka. Mereka lalu memberi status hukum-hukum terhadap realiti berbeza dengan kecenderungan dan tasharruf mereka.
Keperibadian-keperibadian tidak khas telah tampak pada masyarakat Madinah al-Munawwarah pada masa Rasulullah SAW. Mereka menampakkan Islam dan menyembunyikan kekufuran mereka. Mereka selalu menghukumi segala sesuatu dan segala aktiviti dari sudut pandang Islam, tetapi kecenderungan mereka tetap tunduk pada pemahaman jahiliah yang bersandar pada kekufuran.
Sesungguhnya Allah SWT telah menyifati mereka dengan mendalam dan terperinci, yakni dengan menjelaskan kontradiksi antara pola fikir dan hukum-hukum mereka dengan kecenderungan dan aktiviti mereka. Allah SWT berfirman,
“Di antara manusia ada yang mengatakan, ‘Kami beriman kepada Allah dan Hari Akhirat’, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanya menipu diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah membuat kerosakan di bumi’, mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang melakukan kebaikan.’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang lain telah beriman’, mereka menjawab, ‘Adakah kami akan beriman seperti orang-orang yang kurang akal itu beriman?’ “Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang kurang akal, tetapi mereka tidak mengetahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang beriman, mereka berkata, ‘Kami telah beriman’, tetapi apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan (para pemimpin) mereka, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya kami bersama kamu. Kami hanya berolok-olok.’” [TMQ Al-Baqarah (2): 8—14].
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #KeperibadianMuslim #PolaFikir #PolaSikap #StandardPerbuatan