[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Impian Tertinggi Keluarga Bahagia adalah Masuk Syurga Bersama-sama
Kebahagiaan paling hakiki dalam hidup sebenarnya bukanlah diukur dari harta atau pangkat dalam kerjaya, melainkan dari satu hal sederhana iaitu, “dapat berkumpul bersama keluarga”. Dalam banyak momen kehidupan, terutama di saat-saat istimewa seperti Hari Raya, kita melihat betapa besarnya usaha manusia untuk berkumpul bersama orang-orang tercinta. Mereka sanggup menempuh perjalanan yang jauh, membeli tiket mahal, meredah kesesakan trafik, hanya demi satu tujuan iaitu bertemu keluarga. Suasana ini selalu kita saksikan terutama di laluan perjalanan ke Pantai Timur , yang mana anak-anak dari kota berpusu-pusu pulang ke kampung halaman sehingga menjadi fenomena menjelang musim perayaan dan musim cuti.
Di sebalik fenomena tradisi berkumpul bersama keluarga ini, pernahkah kita bertanya pada diri sendiri: Apakah kebahagiaan ini akan berakhir hanya di dunia? Adakah kemungkinan untuk kita melanjutkan kebersamaan itu sampai ke akhirat, bahkan ke dalam syurga?
Jawapannya sudah tentu ADA!
Allah SWT telah menyiapkan syurga sebagai tempat berkumpul yang jauh lebih sempurna daripada dunia. Dalam syurga, segala yang diinginkan oleh jiwa akan dikabulkan. Allah SWT berfirman:
“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya”. (TMQ Fussilat [41]:31)
Bahkan, Allah menjanjikan bahawa mereka yang beriman dan soleh tidak hanya masuk syurga sendirian, tapi dapat masuk BERSAMA KELUARGA MEREKA.
“Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.” (TMQ Ar-Ra’d [13]:23)
Menurut penjelasan para ulama seperti Ibnu Katsir, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT akan mengumpulkan orang-orang beriman dari satu keluarga di syurga, walaupun mereka memiliki tahap amal yang berbeza. Bahkan jika salah satu dari mereka berada di tingkat syurga yang lebih tinggi, maka yang lain akan diangkat darjatnya agar dapat berkumpul bersama, tanpa mengurangkan pahala pihak yang lebih tinggi. Ini adalah bentuk kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya yang mencintai keluarganya kerana Allah.
Maka, jelaslah bahawa masuk syurga bersama keluarga adalah mungkin, bahkan merupakan janji yang nyata dari Allah, jika keluarga tersebut dibangun di atas keimanan dan amal soleh.
Sebagaimana kita perjuangkan momen pulang ke kampung, percutian keluarga untuk kebersamaan dunia, begitu juga sepatutnya kita perjuangkan kebersamaan akhirat dengan memperbanyakkan amal soleh bersama keluarga. Saling menggalakkan dan mengajak anggota keluarga untuk sama-sama beribadah melaksanakan ketaatan pada perintah Allah, berdakwah dan meninggalkan larangan Allah. Kerana pada akhirnya, cinta yang paling indah adalah cinta yang merentas dunia, dan bertemu kembali di taman-taman syurga.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat