20 Amalan Birrul Walidain (Berbakti kepada Ibu Bapa)
Berikut adalah beberapa adab dan akhlak mulia terhadap ibu bapa:
- Bertutur dengan sopan dan penuh kelembutan, serta menjauhi kata-kata yang boleh menyakiti hati mereka
Allah Taala berfirman:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka, atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan “ah”, dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka.” [TMQ Al-Israa’ (17): 23]
Ibnu Katsir menjelaskan tentang firman Allah: فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ
“Maksudnya, janganlah kamu perdengarkan kepada ibu bapa kata-kata yang buruk, walaupun hanya perkataan ‘ah’, yang merupakan tahap paling rendah daripada kata-kata buruk.” (Tafsir Ibnu Katsir)
- Bersikap tawadhu’ kepada ibu bapa serta melayani mereka dengan penuh kasih sayang
Allah Taala berfirman:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Dan berbaktilah kepada kedua-duanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil.” [TMQ Al-Israa’ (17): 24]
- Tidak memandang ibu bapa dengan pandangan tajam serta tidak bermuka masam atau menunjukkan wajah yang tidak menyenangkan
- Tidak meninggikan suara ketika berbicara dengan ibu bapa
Dalil bagi kedua adab ini adalah hadis Al-Musawwir bin Makhramah mengenai adab para sahabat terhadap Rasulullah ﷺ. Dalam hadis tersebut disebutkan:
“Apabila para sahabat berbicara dengan Rasulullah ﷺ, mereka merendahkan suara mereka dan tidak memandang tajam kepada baginda sebagai tanda penghormatan terhadapnya.” (HR. al-Bukhari, no. 2731)
Syaikh Musthafa Al-‘Adawi berkata:
“Setiap adab yang disebutkan di atas mempunyai dalil yang menunjukkan bahawa ia adalah bentuk penghormatan yang wajib diberikan.”
- Tidak mendahului ibu bapa dalam bertutur kata
Daripada Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
كنَّا عندَ النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ فأتيَ بِجُمَّارٍ، فقالَ: إنَّ منَ الشَّجرةِ شجَرةً، مثلُها كمَثلِ المسلِمِ ، فأردتُ أن أقولَ: هيَ النَّخلةُ، فإذا أنا أصغرُ القومِ، فسَكتُّ، فقالَ النَّبيُّ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ: هيَ النَّخلةُ
“Kami pernah berada bersama Nabi ﷺ di (sebuah tempat bernama) Jummar, lalu Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya ada sebatang pohon yang perumpamaannya seperti seorang Muslim.’ Aku (Ibnu Umar) ingin mengatakan: ‘Ia adalah pohon kurma,’ namun kerana aku merupakan yang termuda dalam kalangan mereka, maka aku diam. Kemudian Nabi ﷺ pun bersabda: ‘Ia adalah pohon kurma.’” (HR. al-Bukhari no. 82, Muslim no. 2811)
Ibnu Umar berdiam diri kerana menghormati para sahabat lain yang lebih tua walaupun mereka bukan ibu bapanya. Maka lebih-lebih lagilah sikap ini wajar diamalkan terhadap ibu bapa sendiri.
- Mengutamakan ibu bapa melebihi diri sendiri dalam hal duniawi (iitsar)
Kita seharusnya tidak mendahulukan keperluan diri sendiri berbanding ibu bapa dalam urusan dunia seperti makanan, minuman, dan keperluan lain.
Dalilnya adalah hadis dalam Shahihain tentang tiga orang yang bertawassul dengan amalan soleh, di mana salah seorang daripada mereka menjadikan amalan berbakti kepada kedua ibu bapanya sebagai sebab (tawassul) agar doanya dimakbulkan. Dalam kisah itu, disebutkan bahawa beliau mengutamakan ibu bapanya sebelum dirinya sendiri dan ahli keluarganya. Hadis ini telah pun disebutkan dalam perbincangan yang lalu, walhamdulillah.
- Dakwahkan mereka kepada agama yang benar
Allah Taala berfirman:
وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَبِيًّا إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا يَا أَبَتِ إِنِّي قَدْ جَاءَنِي مِنَ الْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَاتَّبِعْنِي أَهْدِكَ صِرَاطًا سَوِيًّا يَا أَبَتِ لَا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلرَّحْمَنِ عَصِيًّا يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِنَ الرَّحْمَنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا
“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam Kitab (Al-Quran); sesungguhnya dia seorang yang sangat mencintai kebenaran, dan seorang Nabi. Ingatlah Ketika dia (Ibrahim) berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak mendengar dan tidak melihat dan tidak dapat menolongmu sedikit pun?”. “Wahai ayahku, sesungguhnya telah sampai kepadaku sebahagian ilmu yang tidak diberikan kepadamu, maka ikutlah aku; nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.” “Wahai ayahku, janganlah engkau menyembah syaitan, sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah.” “Wahai ayahku, aku sesungguhnya bimbang engkau akan ditimpa azab daripada Tuhan Yang Maha Pemurah, sehingga engkau menjadi sahabat bagi syaitan.” [TMQ Maryam (19): 41-45]
- Jagalah kehormatan mereka
Dari Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma, Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا ، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas sesama kalian darah kalian (untuk ditumpahkan) dan harta kalian (untuk dirampas) dan kehormatan (untuk dirosak). Sebagaimana haramnya hari ini, haramnya bulan ini dan haramnya negeri ini” (HR. Bukhari).
- Memberi layanan kepada ibu bapa dan membantu mereka dalam urusan mereka.
Rasulullah ﷺ bersabda:
المسلمُ أخو المسلمِ ، لا يَظْلِمُه ولا يُسْلِمُه ، ومَن كان في حاجةِ أخيه كان اللهُ في حاجتِه ، ومَن فرَّجَ عن مسلمٍ كربةً فرَّجَ اللهُ عنه كربةً مِن كُرُبَاتِ يومِ القيامةِ ، ومَن ستَرَ مسلمًا ستَرَه اللهُ يومَ القيامةِ
“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, tidak boleh membiarkannya dalam bahaya. Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya sesama Muslim, maka Allah akan penuhi keperluannya. Barang siapa yang melepaskan saudaranya sesama Muslim dari satu kesulitan, maka Allah akan melepaskan ia dari satu kesulitan di hari kiamat. Barang siapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di hari kiamat” (HR. Al Bukhari no. 2442)
- Jawablah panggilan mereka dengan segera
Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, Nabi ﷺ bersabda:
فَأَتَتْ أُمُّهُ يَوْمًٍا فَقَالَتْ: يَا جُرَيْجُ! وَهُوَ يُصّلِّى، فَقَالَ فِي نَفْسِهِ – وَهُوَ يُصَلِّي – أُمِّي وَصَلاَتِي؟ فَرَأَى أَنْ يُؤْثِرَ صَلاَتَهُ، ثُمَّ صَرَخَتْ بِهِ الثَّانِيَةَ، فَقَالَ فِي نَفْسِهِ: أُمِّي وَصَلاَتِي؟ فَرَأَى أَنْ يُؤْثِرَ صَلاَتَهُ. ثُمَّ صَرَخَتْ بِهِ الثَالِثَةَ فَقَالَ: أُمِّي وَصَلاَتِي؟ فَرَأَى أَنْ يُؤْثِرَ صَلاَتَهُ. فَلَمَّا لَمْ يُجِبْهَا قَالَتْ: لاَ أَمَاتَكَ اللهُ يَا جُرَيْجُ! حَتىَّ تَنْظُرَ فِي وَجْهِ المُوْمِسَاتِ
Pada suatu hari, datanglah ibu Juraij dan memanggil anaknya ketika dia sedang menunaikan solat. Ibunya berkata, “Wahai Juraij!” Juraij pun berkata di dalam hatinya, “Adakah aku perlu menyahut panggilan ibuku atau meneruskan solatku?” Maka dia memilih untuk mengutamakan solatnya. Ibunya memanggil untuk kali kedua. Juraij kembali berkata di dalam hatinya, “Ibuku atau solatku?” Dan dia tetap mengutamakan solatnya. Ibunya memanggil untuk kali ketiga, dan Juraij sekali lagi bertanya di dalam hati, “Ibuku atau solatku?” Maka dia tetap memilih untuk meneruskan solatnya dan tidak menyahut panggilan ibunya. Setelah tidak dijawab, ibunya pun berkata,
“Semoga Allah tidak mewafatkanmu, wahai Juraij, sehinggalah engkau melihat wajah seorang pelacur.” (HR. Al Bukhari dalam Al Adabul Mufrad, disahihkan Al Albani dalam Sahih Al Adabil Mufrad).
- Jangan berdebat dengan ibu bapa, jangan mudah menyalahkan mereka, sebaliknya jelaskan dengan penuh adab dan hormat
Hal ini dapat dicontohi daripada dialog Nabi Ibrahim ‘alaihissalam bersama ayahnya, yang menunjukkan kelembutan dan adab yang tinggi. Begitu juga kisah yang diceritakan oleh Aisyah Radhiallahu ‘anha:
“Kami keluar bersama Rasulullah ﷺ dalam beberapa perjalanan. Ketika kami sampai di Al-Baidaa atau di kawasan Dzatul Jaisy, rantaiku telah terputus. Rasulullah ﷺ pun berhenti untuk mencarinya. Orang-orang yang turut serta bersama baginda juga berhenti untuk membantu mencari rantai tersebut. Sedangkan mereka ketika itu tidak berada dalam keadaan bersuci (berwuduk) dan tidak membawa air bersama mereka.
Maka orang-orang pun mendatangi Abu Bakar As-Siddiq dan berkata, “Tidakkah engkau lihat apa yang telah dilakukan oleh Aisyah? Dia menyebabkan Rasulullah ﷺ dan para sahabat berhenti sedangkan mereka tidak dalam keadaan bersuci dan tidak mempunyai air.”
Lalu Abu Bakar datang kepadaku dan berkata sebagaimana yang dikatakan oleh mereka, lalu beliau menepuk pinggangku dengan tangannya. Aku tidak mengelak hanya kerana Rasulullah ﷺ sedang tidur di atas pahaku. Baginda tetap tertidur sehingga masuk waktu subuh dalam keadaan tidak bersuci.
Lalu Allah menurunkan ayat berkenaan tayammum. Usaid bin Hudhair pun berkata, “Ini bukanlah keberkatan pertama kalian, wahai keluarga Abu Bakar.” Kemudian kami pun menyiapkan unta yang aku tunggangi, dan ternyata rantai itu berada di bawah unta tersebut.” (HR. An-Nasa’i no. 309; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan An-Nasa’i)
- Segera bangun menyambut mereka ketika mereka masuk rumah, dan ciumlah tangan mereka
Dari Aisyah radhiallahu’anha, dia berkata:
وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَآهَا قَدْ أَقْبَلَتْ رَحَّبَ بِهَا ثُمَّ قَامَ إِلَيْهَا فَقَبَّلَهَا ثُمَّ أَخَذَ بِيَدِهَا فَجَاءَ بِهَا حَتَّى يُجْلِسَهَا فِي مَكَانِهِ. وَكَانَتْ إِذَا أَتَاهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَحَّبَتْ بِهِ ثُمَّ قَامَتْ إِلَيْهِ فَقَبَّلَتْهُ
“Nabi ﷺ, apabila melihat puteri Baginda ﷺ (Fatimah) datang ke rumahnya, Baginda akan menyambut kedatangan puterinya itu. Baginda ﷺ bangun berdiri, berjalan menghampirinya, lalu menciumnya, menggenggam tangannya, dan mendudukkannya di tempat duduk baginda. Dan apabila Nabi ﷺ datang ke rumah Fatimah radhiyallahu ‘anhuma, maka Fatimah juga akan menyambut kedatangan baginda ﷺ. Beliau akan bangkit dan berjalan menghampiri Nabi ﷺ, kemudian mencium (kening) baginda.” (HR. al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad; Ibnu Qathan dalam Ahkamun Nazhar [296] berkata: “Semua perawinya adalah tsiqah – dipercayai”)
- Jangan menganggu mereka di waktu mereka beristirehat
Sebagaimana firman Allah dalam surat An Nuur ayat 58 (yang bermaksud):
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba sahaya (lelaki dan perempuan) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh (dewasa), meminta izin kepada kamu sebanyak tiga kali; (iaitu) sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian untuk berehat di tengah hari, dan setelah solat Isyak; itulah tiga aurat waktu bagi kamu. Tidak ada dosa bagimu dan tidak pula bagi mereka selain daripada tiga waktu itu, mereka keluar masuk melayani kamu, sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat itu kepadamu. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” [TMQ An-Nuur (24): 58]
- Jangan berbohong kepada mereka
Kerana Nabi ﷺ bersabda:
عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ؛ فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ، وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ يَصْدُقُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ صِدِّيقًا، وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَالْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكتب عند الله كذاباً
“Wajib ke atas kamu untuk berlaku jujur. Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan, dan kebaikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa berkata benar akan dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang shiddiq (amat jujur). Dan jauhilah dusta, kerana dusta itu membawa kepada kefajiran (kemaksiatan), dan kefajiran itu membawa ke neraka. Seseorang yang sering berdusta akan dicatat di sisi Allah sebagai seorang kazzab (amat pendusta).” (HR. Muslim no. 2607).
Berbohong adalah dosa besar. Lebih-lebih lagi jika dilakukan kepada ibu bapa, lebih besar lagi dosanya.
- Jangan kedekut untuk menafkahi mereka
Rasulullah ﷺ bersabda:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ
“Mulakanlah dengan dirimu sendiri; berilah nafkah kepada dirimu terlebih dahulu. Jika ada lebihan, maka berilah kepada keluargamu. Dan jika masih ada lebihan, maka berilah kepada kaum kerabatmu.” (HR. Muslim no.997).
Maka, ibu bapa adalah orang yang paling berhak dinafkahi setelah diri sendiri dan keluarga.
Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin menjelaskan bahawa seorang anak wajib menafkahi ibu bapanya jika memenuhi dua syarat:
- Ibu bapa dalam keadaan miskin
- Anak dalam keadaan mampu menafkahi
Jika dua keadaan ini tidak terpenuhi, maka hukumnya tidak wajib.
- Selalu mengunjungi mereka
Rasulullah ﷺ bersabda:
أنَّ رجلًا زارَ أخًا لَهُ في قريةٍ أخرى ، فأرصدَ اللَّهُ لَهُ على مَدرجَتِهِ ملَكًا فلمَّا أتى عليهِ ، قالَ : أينَ تريدُ ؟ قالَ : أريدُ أخًا لي في هذِهِ القريةِ ، قالَ : هل لَكَ عليهِ من نعمةٍ تربُّها ؟ قالَ : لا ، غيرَ أنِّي أحببتُهُ في اللَّهِ عزَّ وجلَّ ، قالَ : فإنِّي رسولُ اللَّهِ إليكَ ، بأنَّ اللَّهَ قد أحبَّكَ كما أحببتَهُ فيهِ
“Pernah suatu ketika, seorang lelaki pergi mengunjungi saudaranya di suatu daerah yang lain. Lalu Allah mengutus seorang malaikat kepadanya di tengah perjalanannya. Ketika malaikat itu menemuinya, dia bertanya: “Ke mana engkau hendak pergi?” Lelaki itu menjawab: “Aku ingin mengunjungi saudaraku di daerah ini.” Maka malaikat bertanya lagi: “Adakah sebarang keuntungan dunia yang engkau harapkan daripadanya?” Lelaki itu menjawab: “Tiada, melainkan kerana aku mencintainya kerana Allah ‘Azza wa Jalla.” Maka malaikat itu pun berkata: “Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepadamu untuk memberitahu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu kerana-Nya.” (HR. Muslim no. 2567)
Saling mengunjungi antara sesama Muslim sangatlah besar keutamaannya, apatah lagi jika yang dikunjungi itu adalah kedua ibu bapa kita.
- Jika ingin meminta sesuatu kepada mereka, mintalah dengan lemah lembut
Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا تُلْحِفُوا فِي الْمَسْأَلَةِ، فَوَاللهِ، لَا يَسْأَلُنِي أَحَدٌ مِنْكُمْ شَيْئًا، فَتُخْرِجَ لَهُ مَسْأَلَتُهُ مِنِّي شَيْئًا، وَأَنَا لَهُ كَارِهٌ، فَيُبَارَكَ لَهُ فِيمَا أَعْطَيْتُهُ
“Janganlah kamu memaksa apabila meminta sesuatu. Demi Allah, sekiranya seseorang meminta sesuatu daripadaku lalu aku memberikannya dengan hati yang tidak rela, maka tidak ada keberkatan pada dirinya dan juga pada apa yang dimintanya itu.” (HR. Muslim no. 1038)
Meminta kepada orang lain dengan cara memaksa adalah akhlak yang tercela, apatah lagi jika yang diminta itu adalah ibu bapa sendiri.
- Jika ibu bapa dan isteri bertelagah maka berlaku adillah
Allah Taala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” [TMQ Al-Maaidah (5): 8]
- Bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan-urusanmu
Libatkanlah ibu bapa dalam perbincangan dan pertimbangan berkenaan urusan-urusan penting dalam hidupmu.
Allah Taala berfirman:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu…” [TMQ. Al Imraan (3): 159]
- Berziarah ke kubur mereka dan sentiasalah mendoakan mereka
Rasulullah ﷺ bersabda:
كنت نهيتكم عن زيارة القبور ألا فزوروها فإنها ترق القلب ، وتدمع العين ، وتذكر الآخرة ، ولا تقولوا هجرا
“Dahulu aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur. Ketahuilah sekarang, ziarahlah kubur, kerana ia dapat melembutkan hati, mengalirkan air mata, dan mengingatkan kamu akan akhirat. Namun janganlah kamu mengucapkan perkataan yang tidak baik (qaulul hujr) ketika menziarahinya.” (HR. Al-Hakim no. 1393, disahihkan oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Jaami’, 7584)
Semoga sedikit perkongsian ini memberi manfaat. Wabillāhi at-taufīq wa as-sadād.
Sumber: Muslimah Pengukir Peradaban
#KeluargaMuslimIdeal #KeluargaTarbiyah #DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat #AnakSoleh