[Mafahim Islamiyyah] Keperibadian (Bahagian 9/9)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT berfirman, “Qaaf. Demi Al-Quran yang mulia. (Mereka tidak menerimanya). Bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan daripada kalangan mereka sendiri.” [TMQ Al-Qaf (50): 1—2].
Firman-Nya, “Haa Miim. (Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan, bacaan di dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui.” [TMQ Fushshilat (41): 1—3].
Juga firman-Nya, “Kami menjadikan Al-Quran dalam bahasa Arab agar kamu mengerti.” [TMQ Az-Zukhruf (43): 3].
Allah juga telah mencabar mereka agar membuat satu surah yang menyamai Al-Quran. “Katakanlah, “Buatlah sebuah surah semisal dengan surah (Al-Quran)…” [TMQ Yunus (10): 38].
Hal pertama yang ditancapkan oleh Islam dalam membangun keperibadian-keperibadian ini adalah akidah Islam yang dibangun melalui proses berfikir. Selanjutnya ayat-ayat yang mulia mengalihkan manusia dari segala sesuatu yang terindera dan meliputinya, yakni alam semesta, manusia, dan kehidupan kepada menetapkan eksistensi Sang Pencipta. Dengan demikian sampai kepada penetapan bahawa Al-Quran ini kalam Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah Taala.
Kedua, menjelaskan hubungan kehidupan manusia di dunia dengan kehidupannya di akhirat. Hal ini terdapat banyak sekali pada surah-surah yang turun di Mekah. Allah SWT berfirman, “Bagi orang yang berat timbangan kebaikannya. Maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan (senang). Bagi orang yang ringan timbangan kebaikannya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Dan tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? Ia adalah api yang sangat panas.” [TMQ Al-Qari’ah (101): 6—11].
Dalam firman-Nya yang lain, “Bagi orang yang melampaui batas. Dan mengutamakan kehidupan dunia. Maka, nerakalah tempat tinggalnya. Bagi orang-orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya. Maka, syurgalah tempat tinggalnya. Mereka (orang-orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Hari Kiamat, bilakah terjadinya?” [TMQ An-Nâzi’at (79): 37—42].
Firman-Nya juga, “Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Dan sesungguhnya orang-orang yang derhaka benar-benar berada di dalam neraka. Mereka masuk ke dalamnya pada hari pembalasan.” [TMQ Al-Infithâr (82): 13—15].
Allah SWT juga berfirman, “Sesungguhnya neraka Jahanam telah disediakan untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.” [TMQ An-Naba’ (78): 21—22].
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. Mereka diberi taman-taman bunga dan kebun-kebun buah terutama anggur.” [TMQ An-Naba’ (78): 31—32].
Hubungan antara dunia dan akhirat tecermin dengan adanya pahala atas iman dan perbuatan yang soleh, serta dengan adanya seksa atas kekufuran dan perbuatan buruk tersebut. Hal ini menjadikan orang yang berkeperibadian Islam berfikir sebelum beraktiviti dengan menggambarkan nikmat yang abadi itu dan azab yang sangat menyakitkan itu. Dia sangat berharap pada rahmat Allah dan syurga-Nya. Sebaliknya, mereka takut akan azab dan neraka-Nya. Kemudian dia bertanya tentang sesuatu yang diredhai Allah agar boleh dilakukannya dan sesuatu yang dimurkai Allah untuk dijauhinya.
Ketiga, menyeru kaum muslim agar menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi dengan menggunakan asas Islam. Oleh kerana itu, mereka wajib memahami hukum syarak sebelum melaksanakan suatu aktiviti atau perbuatan. Jika mereka tidak memahami, mereka perlu bertanya. Allah SWT berfirman, “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.” [TMQ An-Nahl (16): 43].
Mereka tidak mahu melaksanakan suatu aktiviti, kecuali setelah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hukum aktiviti tersebut. Telah turun firman Allah SWT terkait Khaulah binti Tsa’labah, “Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan Perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa dan merayu kepada Allah (perkara menyusahkannya), sementara Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [TMQ Al-Mujadalah (58): 1].
Dia bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hubungan antara dirinya dan suaminya. Al-Quran telah turun tentang keperibadian Islam tersebut bahawa dia bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hukum-hukum terkait permasalahan yang mereka hadapi.
Allah SWT berfirman, “Mereka bertanya kepadamu (Muahmmad) tentang pembahagian harta rampasan perang. Katakanlah, ‘Harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul.‘ (menurut ketentuan Allah dan Rasul-Nya”. [TMQ Al-Anfâl (8): 1].
Juga firman-Nya, “Dan mereka bertanyakan kepadamu (Muahammad), tentang apa yang harus mereka sedekahkan. Katakanlah, ‘Kelebihan (daripada apa yang diperlukan).‘” [TMQ Al-Baqarah (2): 219].
Dalam firman-Nya yang lain, “Mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) tentang haid, katakanlah, ‘Itu adalah sesuatu yang kotor‘. Oleh kerana itu, jauhilah isteri kamu pada waktu haid dan jangan kamu mendekati mereka sebelum mereka suci.” [TMQ Al-Baqarah (2): 222].
Allah SWT juga berfirman, “Dan mereka meminta fatwa kepadamu tentang perempuan. Katakanlah, ‘Allah memberi fatwa kepadamu tentang mereka.‘” [TMQ An-Nisa’ (4): 127].
Rasulullah SAW selalu berada di antara para sahabatnya. Mereka bertanya kepada Rasulullah, lalu beliau menjawab mereka dengan apa yang diwahyukan Allah kepadanya. Beliau selalu menyediakan kepada mereka suasana iman yang dapat menambah ketenangan dan kedamaian perasaan mereka kerana hubungan mereka dengan Allah Taala.
Keberadaan beliau di antara para sahabat dapat menjadikan Rasulullah SAW selalu hadir untuk meluruskan kesalahan tingkah laku mereka. Oleh kerana itu, mereka semua berpola fikir Islami dan berpola sikap Islami. Mereka juga selalu mengutamakan kepentingan orang lain. Hasilnya, salah seorang daripada mereka yang dibina Rasulullah SAW, iaitu Mush’ab bin Umair, dia berkeperibadian Islam. Dia mampu mempersiapkan masyarakat Madinah al-Munawwarah untuk membentuk masyarakat Islam dan pemerintahan Islam yang pertama.
Keperibadian-keperibadian Islam yang luhur dan berjaya diwujudkan Rasulullah SAW menjadi penolong baginya dalam memelihara negara dan mengemban dakwah dalam kehidupannya. Sebahagian mereka ada yang menjadi khalifah-khalifah setelah beliau wafat. Ini kerana mereka telah melestarikan aktiviti pembentukan keperibadian-keperibadian generasi sesudahnya atas dasar Islam. Mereka juga mengatur kesinambungan adanya keperibadian-keperibadian khas (mutamayyizah) melewati beberapa period di kota-kota dan di seluruh penjuru Negara Islam.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #KeperibadianIslam #PolaFikir #PolaSikap