[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 1/7)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT berfirman, “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 1]
Juga firman-Nya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” [TMQ Al-Hujuurât (49): 13]
Allah telah menciptakan manusia dan menciptakan pelbagai potensi dalam diri mereka, termasuk naluri, keperluan jasmani, serta kemampuan berfikir (idrak). Antara naluri yang wujud dalam diri manusia ialah naluri seksual (gharizah an-nau), yang antaranya dapat dilihat melalui kecenderungan seksual, kasih sayang terhadap anak-anak, serta memuliakan ibu bapa. Manifestasi naluri ini menggambarkan hubungan antara lelaki dan perempuan, serta antara ibu bapa dan anak-anak.
Adapun naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’), yang dizahirkan melalui rasa cinta kepada kaum sendiri, cinta kepada tanah air (patriotisme), dan keinginan terhadap kuasa dan kedaulatan. Manifestasi naluri ini mencerminkan hubungan antara ahli-ahli kabilah, kelompok keluarga, serta tempat asal. Naluri mempertahankan diri ini mendorong manusia untuk saling membantu dalam menghadapi pelbagai ancaman dan bahaya. Mereka mungkin berdepan ancaman seperti serangan binatang buas atau sungai-sungai yang banjir. Disebabkan itu, manusia membina rumah dan empangan-empangan.
Selain itu, manusia juga bekerjasama untuk menghadapi ancaman daripada kelompok manusia lain. Ini kerana setiap individu tidak mampu untuk melaksanakan sendiri aktiviti-aktiviti besar yang penting bagi kelangsungan hidupnya. Justeru, keperluan ini mendorong manusia untuk menjalin hubungan dengan orang lain dalam melaksanakan pelbagai aktiviti penting yang diperlukan dalam kehidupan.
Seterusnya ialah naluri beragama (gharizah at-tadayyun). Naluri ini lahir daripada perasaan kekurangan, kelemahan dan keperluan. Naluri beragama mendorong seseorang untuk mencari dan membahaskan sesuatu yang dapat menutupi kelemahan, kekurangan dan keperluan tersebut. Kadangkala, ia juga mendorong terjalinnya hubungan antara individu-individu bagi memenuhi keperluan naluri ini.
Apabila seseorang melihat sesuatu yang boleh menutupi kelemahannya pada orang lain, mereka akan menyucikannya. Hal ini pernah berlaku dalam kalangan masyarakat Mesir purba, di mana selain menyembah Allah SWT, mereka turut menyembah Firaun.
Manusia, disebabkan oleh naluri dan keperluan jasmaninya, sentiasa terdorong untuk hidup bersama dengan orang lain. Oleh kerana itu, pelbagai bentuk hubungan akan terbentuk antara sesama manusia demi mempersiapkan diri dalam memenuhi pelbagai naluri dan keperluan tersebut.
Justeru, manusia secara semula jadi adalah makhluk sosial. Naluri-naluri dan keperluan jasmani mendorongnya untuk hidup bersama dan menjalin interaksi bersama orang lain. Sesungguhnya, masyarakat terbentuk daripada individu-individu, dan antara mereka akan lahir interaksi secara semula jadi hasil daripada dorongan untuk memenuhi keperluan masing-masing.
Apabila hubungan sesama individu dalam masyarakat diabaikan tanpa panduan yang tepat, ia akan menimbulkan kekacauan serta perebutan terhadap segala perkara yang bersifat material dan aktiviti yang penting untuk kelangsungan hidup manusia. Kisah pertikaian pertama yang membawa kepada pertumpahan darah di antara Bani Adam adalah kisah Habil dan Qabil.
Allah SWT berfirman, “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!” [TMQ Al-Maidah (5): 27]
Sehingga firman-Nya, “Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Maka jadilah dia termasuk orang-orang yang rugi.” [TMQ Al-Maidah (5): 30]
Akibat daripada ketiadaan sistem yang teratur, golongan kaya menindas golongan miskin dengan menghalang mereka daripada memperoleh harta dan makanan. Allah SWT berfirman:
“Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang dia berhak menerimanya). Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin; Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya), Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!” [TMQ Al-Fajr (89): 17—20]
Ketiadaan sistem yang mengatur juga membawa kepada akibat yang lain, iaitu golongan yang kuat membunuh golongan yang lemah. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang melakukan kezaliman di bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dia menindas segolongan daripada mereka (Bani Israil), dia menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak Perempuan mereka. Sesungguhnya dia (Firaun) termasuk orang yang membuat kerosakan.” [TMQ Al-Qasas (28): 4]
Hubungan antara individu-individu melahirkan pemikiran tentang sesuatu (asyya’), serta perbuatan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan. Mereka akan menilai bahawa sesuatu itu baik dan sesuatu yang lain adalah buruk. Begitu juga dengan perbuatan, mereka menilainya berdasarkan sama ada ia sesuai atau tidak untuk memenuhi keperluan tersebut.
Setelah mereka mengindera sesuatu (objek) dan aktiviti dan setelah melaluinya, mereka memperoleh maklumat tentang objek dan perbuatan itu serta mengetahui sejauh mana ia mampu memenuhi keperluan mereka. Namun begitu, penilaian naluriah ini berbeza antara individu dan juga antara kumpulan yang berlainan.
Pemikiran-pemikiran terhadap sesuatu dan perbuatan yang berkait rapat dengan pemenuhan keperluan ini akhirnya membentuk perasaan (masya’ir) pada manusia. Maka manusia akan cenderung kepada sesuatu yang dapat memenuhi keperluannya dan menjauhkan diri daripada sesuatu yang tidak dapat memenuhinya.
Apabila pelbagai pemikiran dan perasaan ini wujud dalam lebih daripada seorang individu atau dalam suatu kelompok masyarakat, maka mereka berupaya untuk mengatur hubungan sesama mereka berdasarkan pemikiran dan perasaan tersebut. Dengan cara ini, sistem dalam masyarakat akan mula terbentuk.
Sumber: Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #masyarakat #keperluanmanusia #nalurimanusia