Anak dan Idolanya
Oleh: Zulia Ilmawati, P.Si
Setiap orang memiliki kecenderungan untuk mencari tokoh yang boleh dijadikan idola kepada dirinya. Sekurang-kurangnya dapat mewakili perasaan, pendapat, keinginan dan cita-citanya. Idola juga akan menjadi inspirasi kepada orang yang mengidolakannya. Jika kita memperhatikan secara cermat tumbesaran anak, anak merupakan peniru yang terbaik. Dia belajar daripada apa yang dia lihat dan dia dengar. Apabila anak memasuki usia remaja, tokoh idola bukan sahaja dikagumi; anak juga akan meniru gaya, penampilan, dan juga tingkah lakunya. Mereka boleh meniru dan bertindak seolah-olah mempunyai kehebatan sama seperti apa yang dimiliki oleh tokoh yang mereka kagumi. Sehingga anak boleh tunduk dan mengikuti apa sahaja yang diperintahkan oleh idolanya.
Mengidolakan tokoh tertentu dalam kehidupan adalah sesuatu yang lumrah. Baik tokoh di dunia nyata seperti ibu bapa, guru, ulama, artis hingga tokoh fiksyen seperti watak dalam filem dan cerita fiksyen. Idola pertama anak biasanya adalah figura yang paling rapat, ibu bapa atau penjaganya. Apabila usia anak meningkat, tokoh idola juga mula beralih kepada figura yang berada di luar lingkungan keluarga. Di antaranya tokoh-tokoh fiksyen seperti superhero.
Bagi seorang anak, idola memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan mereka.
Mempunyai idola boleh menggalakkan anak berkembang secara positif. Jika idola itu contohnya, adalah seorang yang suka menolong. Anak yang mengidolakan dapat menggalakkannya untuk melakukan tingkah laku yang serupa. Masalahnya, tidak semua tokoh idola adalah tokoh yang ideal. Bagi mereka yang berada pada usia remaja, pemilihan idola selalunya tidak menggunakan pertimbangan yang sesuai secara sosial ataupun nilai-nilai agama.
Ramai remaja yang mengidolakan tokoh-tokoh yang di mata masyarakat sebenarnya merupakan tokoh dimana pandangan dan tingkah lakunya dianggap negatif. Contohnya, penagih dadah, penjenayah, mereka yang sering melakukan maksiat dan sebagainya. Ini sudah tentu berpotensi mempengaruhi remaja tersebut untuk bertingkah laku secara tidak sesuai juga.
Bimbing Anak Memilih Idolanya
Ibu bapa berperanan penting dalam membimbing anak-anak dalam mencari dan memilih idola mereka agar mereka dapat mencontohi idolanya secara benar. Tokoh ini boleh dijadikan rujukan dalam kebaikan atau memberi inspirasi kepada kebaikan. Perlu diingat, selain dapat memberi dorongan positif, tokoh idola juga boleh memberikan dorongan negatif. Tokoh-tokoh rekaan wira seperti dalam filem yang disukai oleh anak-anak hampir semuanya mempunyai unsur keganasan. Disyaki rancangan seperti ini boleh mempengaruhi tingkah laku anak-anak. Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa cerita dan rancangan yang berunsur ganas boleh mendorong anak yang tidak mempunyai kecenderungan bersifat anarkis untuk mencuba dan menirunya, juga boleh meningkatkan kenakalan pada anak yang memiliki kecenderungan sikap anarkis. Kecenderungan anak yang kerap didedahkan dengan filem yang mengandungi unsur aksi anarkis untuk bertindak “nakal” adalah lebih tinggi berbanding anak yang tidak menontonnya.
Siapa pun idola yang anak pilih, ibu bapa perlu memberikan pertimbangan yang difikirkan baik untuk anak. Sama ada anak akan mendengar atau tidak pertimbangan yang diberikan oleh ibu bapa mereka bergantung kepada sejauh mana hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak mereka. Dengan perkembangan teknologi masa kini, ibu bapa boleh mempamerkan pelbagai figura yang layak dijadikan idola yang dianggap baik. Perkara yang paling penting dalam menggunakan media, apa jua bentuknya, adalah membincangkan kandungan dan mesej yang disampaikan oleh media. Contohnya, selepas menonton filem tentang perjuangan seorang tokoh, ibu bapa dapat berkongsi dengan anak tentang pentingnya menjadi tokoh yang tidak pernah berputus asa walaupun sering gagal. Seperti kisah tokoh yang diceritakan dalam filem yang ditonton.
Sesekali ibu bapa perlu mengajak anak-anak melihat kesan akibat daripada sikap dan tingkah laku tokoh yang hendak dipilih menjadi idola. Supaya anak bukan sahaja melihat apa yang dia nampak dari luar, tetapi juga latar belakang dan siapa sebenarnya tokoh yang diidolakan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menunjukkan bahawa ada tokoh yang kelihatan berjaya dalam kerjaya mereka, contohnya, tetapi mengabaikan kewajipan mereka sebagai muslim, atau mengabaikan keluarga mereka. Sudah tentu ini tidak layak untuk dijadikan idola. Hal ini akan mendorong anak-anak untuk melihat lebih mendalam dalam memilih idola daripada hanya sekadar penampakan, penampilan dari luaran sahaja.
Kewujudan idola boleh menjadi pendorong kepada anak. Tugas ibu bapa untuk “memancing” anak-anak mereka untuk mencari kelebihan yang dimiliki oleh idola mereka. Jelaslah bahawa peranan ibu bapa dalam memberi tunjuk ajar yang layak menjadi idola kepada anak adalah sangat penting. Idola akan mempengaruhi arah dan cita-citanya.
Jadikan Rasulullah SAW dan Para Sahabat Sebagai Idola
Siapa yang menjadi idola anak sangat bergantung pada promosi sekeliling yang diterima oleh anak-anak. Dalam hal ini, ibu bapa dan media mempunyai peranan yang sangat penting kerana dari situlah biasanya anak-anak mengenali idola mereka. Oleh kerana itu, di samping meminimumkan pengaruh negatif media, ibu bapa juga hendaklah memperkenalkan tokoh-tokoh yang sangat layak diidolakan seperti Rasulullah SAW, para sahabat dan pejuang Islam sejak dari anak masih kecil.
Apabila anak-anak meningkat dewasa, mereka akan dapat belajar membuat pilihan melalui penemuan mereka sendiri, seperti membaca, melihat atau mendengar. Seorang anak boleh mengidolakan Rasulullah SAW daripada pembacaan. Apatah lagi jika diperkuat lagi dengan penceritaan kisah hidup Rasulullah SAW melalui ibu bapa atau guru. Anak-anak perlu mengenali Rasulullah SAW, para sahabat dan pejuang Islam yang lain. Merekalah yang sepatutnya menjadi inspirasi dan idola sebenar kepada anak-anak muslim.
Rasulullah SAW telah lama menjadi magnet yang kuat bagi manusia yang mencintai kebenaran. Rasulullah SAW adalah salah satu tarikan. Para sahabat menjadikan beliau guru, sahabat sekaligus teladan dalam kehidupan mereka. Allah SWT menegaskan dengan sangat jelas dalam firmanNya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian, iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. [TMQ Al-Ahzab (33): 21]
Rasulullah SAW telah menginspirasi banyak manusia. Islam yang dibawa oleh beliau mampu menjadi sumber keberanian dan motivasi dalam hidup. Oleh sebab itu, banyak pengikut Rasulullah SAW yang layak dan patut kita jadikan idola dalam kehidupan kita. Rasulullah SAW bersabda: “Didiklah anak-anak kalian dalam 3 perkara: mencintai nabi kalian, mencintai Ahlul Baitnya dan membaca al-Quran. Sebab, orang-orang yang memelihara al-Quran itu berada di bawah lindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya beserta para nabi-Nya dan orang-orang yang suci.” (HR. At-Thabrani)
Belajar daripada Generasi Awal
Para sahabat dan ulama salaf sangat suka menceritakan sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW kepada anak-anak mereka, diselang-seli dengan bahan pelajaran Al-Quran. Mereka yakin, dengan memahami sejarah kehidupan Nabi SAW akan memberi pengaruh kepada pendidikan dan perkembangan mental anak-anak. Pemahaman yang baik tentang keperibadian Nabi SAW akan memupuk rasa cinta dalam diri anak-anak terhadap peribadi beliau. Kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah bentuk kesaksian kedua, selepas kecintaan kepada Allah SWT.
Terdapat beberapa kisah pahlawan yang boleh kita perkenalkan kepada anak-anak. Antaranya ialah Khalid bin Walid. Beliau adalah bekas panglima perang kafir Quraisy ketika mengalahkan tentera Islam dalam Perang Uhud. Ternyata kemudian dia terpesona dengan Islam. Islam kemudian mengubah dirinya yang sebelumnya merupakan seorang tokoh yang jahat menjadi seorang tokoh yang baik di atas landasan kebenaran Islam.
Selain itu, Usamah bin Zaid, seorang pemuda, anak kepada Zaid bin Haritsah (anak angkat Rasulullah SAW). Pada usianya yang baru 18 tahun sudah menjadi jeneral dalam barisan tentera Rasulullah SAW. Dia berjaya menakluk tentera Rom. Ketika itu, antara yang dipimpin ialah para sahabat senior seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar dan sebagainya. Usamah bin Zaid adalah seorang yang berani. Akhlaknya sungguh mulia dan lemah lembut. Pada siang hari, beliau bagaikan singa yang berjuang. Pada malam hari, beliau menangis di hadapan Tuhannya.
Pahlawan seterusnya, Muhammad al-fatih. Pada usianya 21 tahun, beliau berjaya memimpin pasukan dan menakluki kota Konstantinopel. Kemenangan ini seolah-olah menjadi bukti ucapan Rasulullah SAW 600 tahun dahulu. “Konstantinopel pasti akan ditakluki. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin yang menakluki Konstantinopel dan sebaik-baik pasukan adalah pasukan itu”.
Pahlawan seterusnya, Thariq Bin Ziyad. Seorang pahlawan Islam yang menakluk tanah besar Sepanyol. Dengan keyakinannya terhadap pertolongan Allah dan semangat jihad yang membara, dia membakar kapal-kapal yang telah membawa tenteranya dari tanah besar Afrika supaya mereka tidak terfikir untuk melarikan diri. Dia berkata “Wahai pasukanku, di belakang kita ada lautan. Tiada jalan lagi untuk lari. Di hadapan kita kemenangan atau syahid menanti.
Masih ramai lagi tokoh-tokoh lain dalam sejarah peradaban Islam yang layak untuk dijadikan teladan dan idola. Dengan memperkenalkan tokoh, kehidupan dan perjuangan mereka kepada anak-anak, insya-Allah mereka akan menjadi idolanya. Suatu hari nanti, cepat atau lambat, anak-anak kita juga akan berusaha menjadi seperti mereka. Inilah tokoh idola yang sebenar, malah boleh dikatakan mereka adalah wira-wira sebenar, kerana mereka semua adalah tokoh yang sebenar. Bukan rekaan atau fantasi.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kita di akhirat akan berada bersama dengan orang yang kita cintai”. Wallahu a’lam
Sumber: Majalah Al Wa’ie edisi Februari
#KeluargaMuslimIdeal #KeluargaTarbiyah #DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat #IsalmicParenting #TokohTeladan #IdolaAnak