[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 3/7)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Masyarakat tidak akan dapat menjadi khas melainkan apabila akidah yang dianuti oleh setiap individunya merupakan pemikiran sejagat mengenai alam semesta, manusia dan kehidupan. Akidah ini melahirkan pelbagai pemikiran yang mengatur segala interaksi dalaman bagi semua individu serta mengatur interaksi masyarakat tersebut dengan masyarakat yang lain.
Akidah yang mendasar seperti ini tidak akan ada, kecuali pada ideologi. Ini kerana ideologi merupakan akidah aqliyah yang memancarkan sistem.
Realitinya, ideologi-ideologi di dunia yang menepati definisi tersebut hanya ada tiga sahaja, iaitu ideologi Islam, ideologi kapitalisme dan ideologi sosialisme-komunis. Justeru itu, masyarakat khas di dunia ini juga terbahagi kepada tiga bentuk masyarakat iaitu masyarakat komunis (sosialis), masyarakat kapitalis dan masyarakat Islam.
Pada masa kini, masyarakat Islam wujud kerana negeri-negeri umat Islam yang ada melaksanakan sistem selain daripada sistem Islam. Ini bermakna bahawa mereka (bangsa-bangsa) itu tidak boleh dianggap sebagai masyarakat Islam. Walaupun individu dalam masyarakat itu terdiri daripada orang-orang Islam yang menganut akidah Islam, serta pemikiran dan perasaan mereka juga bersumberkan Islam, namun sistem yang digunakan untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan hidup mereka adalah sistem kufur (bukan Islam). Hal ini jelas kelihatan dalam sistem pemerintahan, sistem ekonomi, serta sistem yang mengatur undang-undang dan muamalat mereka.
Masyarakat kapitalis pula merupakan masyarakat yang khas. Ini kerana individu-individu dalam masyarakat tersebut menganut akidah kapitalisme, iaitu akidah yang memisahkan agama daripada urusan kehidupan. Segala pemikiran mereka lahir daripada akidah tersebut. Perasaan mereka terhadap sesuatu perkara dan tindakan mereka bersatu dan terpancar daripada pemikiran-pemikiran tersebut. Begitu juga dengan sistem-sistem yang mereka gunakan dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan hidup mereka.
Mereka berinteraksi dengan masyarakat lain dari negara-negara dan bangsa-bangsa yang turut memancarkan akidah kapitalisme tersebut. Masyarakat khas ini, majoriti individu-individunya beriman kepada ideologi yang diterapkan dalam kehidupan mereka, dan mereka juga menyebarkan ideologi itu kepada masyarakat lain.
Masyarakat Tidak Khas
Dalam diri individu-individu terdapat keperibadian khas dan keperibadian tidak khas. Begitu juga dalam sesebuah masyarakat, terdapat masyarakat khas dan masyarakat tidak khas.
Masyarakat khas, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, ialah masyarakat yang berideologi. Masyarakat ini terdiri daripada empat elemen iaitu individu-individu, pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan, dan sistem-sistem. Semuanya berasal dari satu jenis, iaitu ideologi di atas.
Adapun masyarakat tidak khas adalah masyarakat yang mana keempat-empat elemennya (individu-individu, pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan, dan sistem-sistem) tidak berasal daripada satu jenis yang sama. Sekiranya salah satu elemen atau lebih berbeza dengan elemen-elemen yang lain, maka masyarakat tersebut bukanlah masyarakat khas dan tidak boleh disandarkan kepada mana-mana ideologi yang disebutkan.
Namun begitu, masyarakat seperti ini boleh disandarkan kepada perkara lain, seperti tanah air atau bangsa mereka. Maka dengan itu, mereka dinamakan masyarakat Mesir atau masyarakat Arab. Kedua-duanya tidak boleh dinamakan sebagai masyarakat kapitalis ataupun masyarakat komunis. Sebaliknya, masyarakat Amerika boleh dinamakan masyarakat kapitalis dan masyarakat China sebagai masyarakat komunis.
Sebagai contoh, masyarakat India merupakan masyarakat yang tidak khas. Mereka tidak boleh dinamakan sebagai masyarakat kapitalis atau masyarakat komunis, dan juga tidak boleh disebut sebagai masyarakat Hindu atau masyarakat Buddha. Ini kerana individu-individu dalam masyarakat tersebut menganut pelbagai akidah yang tidak memancarkan pemikiran-pemikiran atau sistem yang mampu menyelesaikan segala permasalahan manusia.
Pada mereka juga diterapkan sistem yang tidak berhubungan dengan akidah, pemikiran dan perasaan individu-individu tersebut. Unsur-unsur yang membentuk masyarakat India, iaitu individu-individu, pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan dan sistem-sistem tidak berasal daripada satu jenis yang sama. Ada antara mereka yang beragama Islam, Buddha, ada yang menyembah lembu, dan ada yang beragama Nasrani.
Pemikiran-pemikiran mereka terhadap sesuatu dan tindakan mereka berbeza dengan pemikiran-pemikiran yang lahir daripada akidah-akidah mereka. Di samping itu, sistem kapitalisme diterapkan ke atas mereka sejak penjajahan British, yang menjadikan masyarakat mereka tidak terdiri daripada satu jenis atau satu bentuk yang tertentu.
Oleh itu, masyarakat mereka dinamakan sebagai masyarakat India dan tergolong dalam masyarakat yang tidak khas. Mereka tidak dapat disandarkan kepada salah satu daripada tiga ideologi utama yang wujud di dunia pada masa kini.
Hubungan Elemen-Elemen yang Membentuk Masyarakat
Sesungguhnya, apabila pemikiran-pemikiran dalam sesebuah masyarakat telah menjadi suatu pemahaman, maka ia akan melahirkan perasaan para penganutnya yang selaras dengan jenis pemikiran tersebut. Sebagai contoh, masyarakat Islam adalah masyarakat yang individu-individunya memahami bahawa hukum solat adalah fardhu. Dalam diri mereka, terbit perasaan marah dan benci terhadap sesiapa sahaja yang mengabaikan atau memperlekehkan hukum tersebut. Mereka juga merasa gembira dan redha apabila mendengar laungan azan yang menyeru kepada solat. Hal ini kerana pemikiran mereka mengenai solat telah menjadi satu pemahaman. Maka, kecenderungan dan dorongan mereka juga terpancar daripada pemahaman tersebut.
Justeru, mereka menuntut pihak berkuasa mengenakan sekatan pencegahan kepada orang yang meninggalkan solat. Mereka juga mendesak agar pemerintah memberi perhatian terhadap keadaan masjid-masjid. Ini kerana masyarakat yang diterapkan sistem-sistem yang selaras dengan pemikiran dan pemahaman yang dianuti dan dipegang oleh individu-individunya sangat berkeinginan untuk melaksanakan dan memelihara sistem-sistem tersebut. Mereka juga sentiasa berwaspada untuk menjaga kesinambungannya.
Sebaliknya, individu-individu dalam masyarakat yang diterapkan sistem yang tidak selaras dengan pemikiran dan pemahaman mereka, serta tidak seiring dengan perasaan mereka, maka sebenarnya mereka tidak akan memberi perhatian mahupun mementingkan pelaksanaan sistem-sistem tersebut. Bahkan, mereka akan berusaha untuk meruntuhkan dan mengubah sistem-sistem itu supaya selari dengan pemahaman dan perasaan mereka.
Ada kalanya masyarakat menerima pemikiran-pemikiran yang tidak bersumber dan tidak terpancar daripada akidah mereka. Pemikiran-pemikiran tersebut sekadar menjadi maklumat bagi individu-individu yang sentiasa diulang-ulang dan ditonjolkan sehingga akhirnya, daripada maklumat tersebut, mereka mengeluarkan hukum terhadap sesuatu perkara atau perbuatan.
Namun begitu, pemikiran-pemikiran tersebut tidak mampu naik menjadi suatu pemahaman bagi mereka, dan perasaan mereka juga tidak sesuai dengannya. Walaupun sistem yang diterapkan ke atas mereka dan pihak-pihak yang berpegang kepada pemikiran-pemikiran itu berjaya memaksa mereka untuk bertindak berdasarkan pemikiran tersebut.
Sumber: Mafahim Islamiyyah
#MafahimIslamiyyah #masyarakat