[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 4/7)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Dalam keadaan seperti ini, berlakulah gangguan pada keperibadian masyarakat tersebut. Individu-individunya mula menyukai dan cenderung kepada perkara-perkara tertentu, namun mereka melakukan perkara-perkara yang tidak selaras dengan kecenderungan tersebut. Semua ini berlaku kerana tiadanya ikatan yang kukuh antara pemikiran-pemikiran yang telah diajarkan kepada mereka dengan perasaan mereka yang bersandar kepada akidah yang mereka anuti.
Akibatnya, seorang muslim dalam masyarakat seperti ini berani melakukan perbuatan yang haram, seperti terlibat dalam riba dan meminum arak. Pada masa yang sama, dia tetap menyedari dan menjelaskan bahawa apa yang dilakukannya adalah haram. Malah, dia berusaha untuk menghalalkan pelbagai aktiviti tersebut.
Dia juga berasa gembira saat mendengar azan dan bacaan Al-Quran. Dia merasai perasaan spiritual dalam dirinya, namun dia tetap tidak mahu mendirikan solat dan tidak pula membaca Al-Quran.
Gangguan pada keperibadian masyarakat seperti ini merupakan suatu penyakit kronik yang menghalang jalan kebangkitan dan kemuliaannya. Ia juga menjadi satu halangan besar bagi sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mengubah masyarakat tersebut menjadi masyarakat yang khas.
Pengubahan Masyarakat
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 11]
Sesungguhnya, pemahaman merupakan penentu kepada tingkah laku individu. Oleh itu, apabila kita berhasrat untuk mengubah tingkah laku individu, kita mesti mengubah pemahamannya terhadap kehidupan. Caranya ialah dengan membentuk masyarakat yang terdiri daripada individu-individu yang memiliki keperibadian khas. Dengan demikian, pemikiran dan kecenderungan mereka akan bersandar kepada kaedah pemikiran asas yang memancarkan sistem bagi memenuhi pelbagai naluri dan keperluan jasmani mereka.
Mengubah masyarakat memerlukan perubahan terhadap elemen-elemen yang membentuknya, iaitu individu-individu, pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan dan sistem-sistem.
Adapun individu-individu serta potensi semula jadi yang ada pada mereka, manusia tidak berkuasa untuk mengubah atau menghancurkannya. Namun begitu, manusia berkuasa untuk mengubah akidah individu-individu serta potensi-potensi tersebut kerana ia termasuk dalam aktivtiti manusia.
Adapun pemikiran-pemikiran masyarakat yang digunakan untuk menilai perbuatan dan sesuatu perkara, ia boleh diubah. Caranya adalah dengan menyeru masyarakat tersebut kepada pemikiran-pemikiran tersebut, sebagai sebuah komuniti, bukan hanya kepada individu-individu. Hal ini hanya dapat dilakukan setelah individu-individu dalam masyarakat itu menerima akidah yang memancarkan pemikiran-pemikiran tersebut. Setelah perubahan pada individu-individu berlaku, barulah perubahan terhadap perasaan-perasaan dan sistem-sistemnya dapat dilaksanakan.
Aktiviti perubahan ini boleh mencapai hasil yang terbaik. Justeru itu, para aktivis perubahan perlu berusaha keras untuk mengubah masyarakat yang masih belum bangkit, iaitu masyarakat khas, kepada masyarakat yang bangkit serta khas.
Di dunia saat ini tidak ada lagi masyarakat yang benar-benar khas dan bangkit melainkan hanya dua masyarakat, iaitu masyarakat kapitalis dan masyarakat komunis (sosialis). Masyarakat lain adalah masyarakat yang belum bangkit dan tidak mempunyai ciri khas.
Adalah sangat sukar untuk mengubah masyarakat agar menjadi masyarakat yang bangkit dan khas secara internal. Begitu juga untuk mengubahnya kepada masyarakat khas daripada jenis yang lain, seperti mengubah masyarakat kapitalis menjadi masyarakat komunis, atau mengubah masyarakat kapitalis menjadi masyarakat yang tidak khas. Namun demikian, perubahan seperti ini bukanlah sesuatu yang mustahil.
Ada kalanya, perubahan terhadap mana-mana masyarakat, sama ada masyarakat khas atau masyarakat tidak khas, boleh dilakukan secara menyeluruh dari luar melalui revolusi ketenteraan dan kepimpinan berideologi. Walau bagaimanapun, mengubah masyarakat tidak khas dari dalam (internal) adalah cara yang bersifat semula jadi dan hanya mungkin dicapai melalui kepimpinan berideologi. Ini kerana potensi-potensi masyarakat tidak khas adalah mereka tidak mempunyai pendirian yang tetap dan mudah menyesali diri mereka akibat keterpurukannya. Mereka juga tidak mempunyai peluang untuk memenuhi pelbagai naluri dan keperluan jasmani mereka dengan cara yang betul.
Kesemua faktor ini mendorong individu-individu dalam masyarakat tersebut untuk bersatu dan bersegera dalam melakukan perubahan.
Kaedah Perubahan
Sesungguhnya, masyarakat dengan keempat-empat elemennya menyerupai sebuah gelas kaca yang dipenuhi dengan cecair. Individu-individunya diumpamakan seperti gelas kaca, manakala pemikiran, perasaan dan sistemnya diibaratkan sebagai cecair yang berada di dalam gelas tersebut. Mengubah masyarakat bukanlah sekadar menukar warna cecair itu dengan memasukkan pewarna tertentu ke dalamnya.
Mengubah masyarakat hanya boleh dilakukan dengan menumpahkan keseluruhan cecair tersebut dan menggantikannya dengan cecair yang baharu. Dengan cara ini, masyarakat boleh berubah dari akar umbinya dan berubah juga warnanya. Ini kerana pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan dan sistem-sistem yang ada dalam himpunan individu-individu itulah yang menentukan corak dan warna masyarakat tersebut.
Oleh itu, jika kita berhasrat untuk mengubah masyarakat tidak khas menjadi masyarakat yang khas dan bangkit, kita mesti memulakan usaha dengan menumpahkan cecair yang memenuhi gelas tersebut. Ini dilakukan dengan menanamkan kesedaran kepada individu-individu bahawa pemikiran, perasaan dan sistem yang ada pada mereka selama ini adalah batil dan tidak layak dipertahankan. Dengan kesedaran ini, mereka sendiri akan bersedia untuk menerima ‘cecair’ yang baharu, iaitu pemikiran, perasaan dan sistem baharu yang kita kehendaki. Atas dasar inilah masyarakat dapat diubah.
Setiap ideologi mempunyai kaedah untuk mengubah masyarakat. Kaedah kapitalisme ialah menjajah bangsa yang ingin diubah dengan ideologinya. Kaedah komunisme ialah mewujudkan pelbagai konflik dan pemberontakan dalam masyarakat yang ingin diubah. Manakala kaedah Islam adalah jihad, iaitu membawa akidah Islam kepada manusia dengan cara yang menarik, dan memusnahkan pelbagai halangan fizikal yang menghalang aktiviti ini.
Rasulullah SAW bersabda, “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan ‘Laa ilaaha illallah Muhammadur Rasulullah’. Maka apabila mereka telah mengucapkannya, terpeliharalah darah dan harta benda mereka daripadaku, kecuali dengan haknya.”
Sumber: Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Masyarakat