Al-Bayân dan al-Mubayyan
اَلْبَيَانُ وَالْمُبَيَّنُ
Badruddin az-Zarkasyi (w. 794 H) menyatakan di Bahru al-Muhîth fî Ushûl al-Fiqhi: Al-bayân secara bahasa merupakan isim mashdar dari bayyana jika uzhhira (ditampakkan). Dikatakan bayyana bayânan wa tibyânan seperti kallama yukallimu kalâman wa taklîman. Ibnu al-Furak mengatakan di kitabnya: al-bayân adalah musytaq (turunan) dari al-baynu dan itu adalah al-firâq (perpisahan). Al-bayân disamakan dengannya sebab al-bayân menjelaskan sesuatu dan menghilangkan ketidakjelasannya. Abu Bakar ar-Razi berkata: disebut bayânan kerana terpisahnya daripada makna-makna yang samar/kabur dan tidak jelas kerananya.
Adapun secara istilah, para ulama khususnya ulama ushul berbeza pendapat tentang batasan atau pengertian al-bayân. Imam al-Ghazali (w. 505 H) di dalam al-Mustashfâ fî ‘Ilmi al-Ushûl menjelaskan: “Ketahuilah bahawa al-bayân adalah ungkapan tentang perkara yang berkaitan dengan at-ta’rîf (pengenalan) dan al-i’lâm (pemberitahuan), dan melainkan al-i’lâm itu terjadi dengan dalil, dan dalil itu menghasilkan ilmu (pengetahuan). Jadi di sini ada tiga hal: i’lâmun (pemberitahuan), dalil yang dengannya terjadi pemberitahuan dan pengetahuan yang diperoleh daripada dalil. Ada pihak yang menjadikannya ungkapan tentang pengenalan (at-ta’rîf), dia berkata tentang batasannya: bahawa al-bayân adalah ikhrâju asy-syay`i min hayyizi al-isykâl ilâ hayyizi at-tajalliy -mengeluarkan sesuatu dari daerah samar (tidak jelas) ke daerah jelas-. Selain itu ada juga yang menjadikannya ungkapan tentang apa yang dengannya tercapai pengetahuan dalam apa yang memerlukan pengetahuan, yang saya maksudkan adalah perkara yang bukan dharûriy, dan itu adalah ad-dalîl. Dia berkata tentang batasannya: bahawa al-bayân adalah dalil, yang dengan sahihnya penalaran padanya mengantarkan kepada pengetahuan dengan apa yang didalilinya, dan itu adalah pilihan al-Qadhi (Abu Bakar al-Baqilani). Dan dari kalangan mereka ada yang menjadikannya ungkapan tentang pengetahuan itu sendiri dan itu adalah kejelasan sesuatu, seolah menurutnya al-bayân dan at-tabayyun adalah sama”.
Imam al-Amidi (w. 631 H) di al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm setelah memaparkan seperti pemaparan imam al-Ghazali kemudian menyatakan: Abu Bakar ash-Shayrafiy —termasuk ashhab asy-syafi’iy— dan lainnya mengatakan: al-bayân adalah at-ta’rîf (pengenalan), dan diungkapkan bahawa al-bayân huwa ikhrâju asy-syay‘i ‘an hayyizi al-isykâli ilâ hayyizi al-wudhûh wa at-tajalliy (al-bayân adalah mengeluarkan sesuatu dari daerah kesamaran ke daerah kejelasan dan keterangan). Abu Abdillah al-Bashriy dan yang lainnya berpendapat bahawa al-bayân adalah pengetahuan yang diperoleh daripada dalil. Al-Qadhi Abu Bakar (al-Baqilaniy), al-Ghazali, dan majoriti ashhab kami dan majoriti muktazilah seperti al-Juba‘iy, Abu Hasyim dan Abu al-Husain al-Bashriy dan selain mereka berpendapat bahawa al-bayân adalah ad-dalîl, dan itu yang terpilih.
Ibnu Qudamah al-Maqdisi (w. 620 H) menyatakan di Rawdhah an-Nâzhir wa Jannah al-Munâzhir, “dan diperselisihkan tentang al-bayân. Dikatakan (pertama): al-bayân adalah dalil, dan itu adalah apa yang dengan sahihnya penalaran padanya sampai kepada ilmu (keyakinan) atau zhann (dugaan kuat). Dan dikatakan (kedua): al-bayân adalah mengeluarkan sesuatu dari daerah kesamaran ke daerah kejelasan. Juga dikatakan (ketiga): al-bayân adalah apa yang menunjukkan yang diinginkan dengan apa yang independent dalam dalâlah atas yang diinginkan tersebut. Dan dikatakan, dua batasan ini (kedua dan ketiga) khusus dengan al-mujmal”.
Ketiga batasan itu belum menyeluruh dan masih kurang. Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa, “batasan al-bayân adalah mengeluarkan sesuatu dari daerah ketidakjelasan ke daerah kejelasan, itu adalah satu bentuk daripada al-bayân dan itu bayân al-mujmal saja…. Betul semua yang tidak memberi faedah ilmu atau zhann yang zhâhir maka itu adalah mujmal dan bukan bayân, melainkan dia memerlukan al-bayân”.
Sementara dalil sendiri ada yang mujmal, dan itu jelas bukan al-bayân. Sedangkan pengetahuan yang diperoleh daripada penjelasan dalil baik al-‘ilmu (yakin) atau azh-zhann (dugaan kuat) maka itu adalah hasilnya.
Jadi seperti dikatakan oleh al-‘Abdari yang dikutip oleh az-Zarkasyi, bahawa yang shawâb bahawa al-bayân merupakan gabungan daripada ketiga batasan itu. Hanya saja, yang menjadi keutamaannya adalah dalil, yakni dalil yang telah jelas dalâlah atau maknanya, sehingga dapat memberi penjelasan atas kesamaran atau ketidakjelasan dalil lainnya dan menghasilkan al-‘ilmu (keyakinan) atau dugaan kuat atas dalâlah atau maknanya.
Hanya saja yang menjadi keutamaan dalam pembahasan ini adalah tentang dalil yang al-mujmal dan penjelasan untuk al-mujmal. Pembahasan ini sangat diperlukan sebab dalil al-mujmal itu, kerana ketidakjelasan dalâlah-nya atau kerana terdapat lebih daripada satu dalâlah atau makna dan tidak ada keistimewaan yang satu atas yang lain, maka beramal dengan dalil yang al-mujmal itu tidak dapat dilakukan. Padahal asal pada dalil itu adalah diamalkan, bukan diabaikan. Di situlah perlu pembahasan tentang batasan dalil-dalil yang menjelaskan dalil-dalil yang al-mujmal. Dan dalil-dalil seperti itu dalam istilah para ulama ushul disebut sebagai al-bayân.
Dalam hal ini al-‘allamah asy-Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah menjelaskan di dalam asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyah juz 3: Firman Allah SWT [ وَأَقِيْمُوْا الصَّلَاةَ ] “dan dirikanlah solat” – adalah mujmal. Dan apa yang diriwayatkan daripada Rasul SAW bahawa beliau mengenalkan solat dengan perbuatan beliau yang mana beliau bersabda: « صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوءنِيْ أُصَلِّيْ » – “Solatlah kalian sebagaimana kalian lihat aku solat” – (HR al-Bukhari) merupakan penjelasan (bayân) untuk mujmal ini. Dan firman Allah SWT [ وَءَاتُوْا الزَّكَاةَ ] “Dan tunaikanlah zakat” – adalah mujmal. Dan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW seputar jenis-jenis zakat yang dizakati adalah penjelasan untuk mujmal tersebut. Rasulullah SAW bersabda:
«مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ وَلَا فِضَّةٍ لَا يُؤَدِيْ مِنْهَا حَقَّهَا إِلَّا إِذَا كَانَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صُفِحَتْ لَعُ صَفَائِحٌ مِنْ نَارٍ»
“Tidaklah pemilik emas dan tidak pula pemilik perak yang tidak menunaikan haknya kecuali jika Hari Kiamat dilapisi dengan lapisan dari api neraka” (HR Muslim).
Dan surat yang ditulis oleh Abu Bakar ra. untuk Anas ra. ketika mengutusnya ke Bahrain:
«هَذِهِ فَرِيْضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِيْ فَرَضَ رَسُوْلُ اللهِ ﷺ عَلَى الْمُسْلِمِيْنَ وَالَّتِيْ أَمَرَ اللهُ بِهَا رَسُوْلَ اللهِ ……. ثم بين زكاة الإبل»
“Ini adalah kefardhuan zakat yang difardhukan oleh Rasulullah SAW terhadap kaum Muslim dan yang diperintahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW … -kemudian dia menjelaskan zakat unta-“ (HR al-Bukhari)…..
Dan apa yang ada dalam hadis Abu Burdah daripada Abu Musa ra. dan Mu’adz bin Jabal ra.:
«أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ ﷺ بَعَثَهُمَا إِلَى الْيَمَنِ يُعَلِّمَانِ النَّاسَ أَمْرَ دِيْنِهِمْ فَأَمَرَهُمْ أَنْ لَّا يَأْخُذُوْا الصَّدَقَةَ إِلَّا مِنْ هَذِهِ الْأَرْبَعَةِ: اَلْخِنْطَةِ وَالشَّعِيْرِ وَالتَّمْرِ وَالزَّبِيْبِ»
“Rasulullah SAW mengutus keduanya ke Yaman untuk mengajarkan manusia perkara agama mereka, maka beliau memerintahkan mereka agar mereka tidak mengambil zakat kecuali daripada empat jenis ini: gandum, barli, kurma dan kismis”. (HR al-Hakim dan dia mensahihkannya).
Semua ini merupakan penjelasan untuk mujmal tersebut. Atas dasar itu al-bayân adalah dalil yang menjelaskan al-mujmal”, demikian penjelasan al-‘allamah asy-Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani.
Dengan demikian, al-bayân adalah dalil yang telah jelas dalâlah atau maknanya, yang menjelaskan dalil yang al-mujmal.
Al-Mubayyan
Imam al-Amidi (w. 631 H) di al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm dan al-‘allamah asy-Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyah juz 3 menyatakan: “Adapun al-Mubayyan, maka yang dimaksudkan adalah seruan sejak awal yang sudah mencukupi dengan dirinya sendiri tidak memerlukan penjelasan. Dan kadang-kadang yang dimaksudkan adalah apa yang memerlukan penjelasan dan penjelasannya telah dinyatakan atasnya. Hal itu seperti lafaz al-mujmal jika telah dijelaskan yang diinginkan daripadanya, lafaz umum setelah takhshîsh, lafaz mutlak setelah taqyîd dan fi’il jika dikaitkan dengannya apa yang menunjukkan arah yang dimaksudkan, dan lainnya”.
Badruddin az-Zarkasyi (w. 794 H) menjelaskan di Bahru al-Muhîth fî Ushûl al-Fiqhi: Al-mubayyan disebutkan atas seruan yang memerlukan penjelasan dan penjelasannya telah dinyatakan atasnya. Juga disebutkan untuk seruan sejak awal yang mencukupi tidak memerlukan penjelasan. Kadang-kadang ia menunjukkan menurut ketetapan bahasa dan itu adalah an-nashshu dan azh-zhâhir atau menurut makna seperti al-mafhûm dan apa yang ditunjukkan oleh nas melalui penetapan ‘illat semisal « إِنَّهَا مِنَ الطَّوَافِيْنَ » atau melalui akal semisal: perintah dengan sesuatu merupakan perintah dengan apa yang perintah itu tidak sempurna kecuali dengannya. Dan dalil yang dengannya tercapai penjelasan disebut mutsbitun.
Daripada penjelasan tersebut, dapat disimpulkan al-mubayyan adalah dalil yang sudah mubayyan (dijelaskan) sejak awal, yakni sejak awal sudah jelas dalâlah atau maknanya, sehingga tidak perlu penjelasan dan dalil demikian adalah al-bayân. Al-mubayyan juga adalah dalil yang al-mujmal yang dijelaskan oleh dalil yang al-bayân.
Wallâh a’lam wa ahkam.
Sumber: https://alwaie.net/takrifat/al-bayan-dan-al-mubayyan/
#takrifat #albayan #almubayyan #dalil #hadis