[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 6/7)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Keteguhan pendirian Rasulullah SAW telah mendorong bapa saudaranya, Abu Talib, untuk berkata kepada anak saudaranya itu, “Pergilah, wahai anak saudaraku. Katakanlah apa yang engkau suka. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkanmu kerana sesuatu, selama-lamanya.”
Kaum Quraisy menggunakan pelbagai cara dan usaha untuk menghalang serta menghentikan dakwah baru yang dibawa oleh baginda. Mereka cuba menggunakan pendekatan politik. Walid bin al-Mughirah ditugaskan menyebarkan berita palsu bahawa Muhammad adalah seorang ahli sihir yang mampu memisahkan antara seseorang dengan saudaranya, antara suami dan isteri, serta antara seorang lelaki dengan keluarganya.
Berita palsu ini menyebabkan orang-orang yang duduk di sepanjang jalan mula membicarakannya kepada orang-orang yang datang semasa musim haji. Akhirnya, nama dan berita tentang Rasulullah SAW tersebar ke seluruh Jazirah Arab. Namun, Nabi SAW tetap teguh dan terus berdakwah tanpa gentar, meskipun berdepan dengan ancaman, ugutan, dan ketakutan yang ditimbulkan oleh kaum Quraisy. Mereka turut menghasut orang-orang jahil dan kanak-kanak. Malah, mereka mendustakannya, menyakitinya, dan menuduhnya sebagai seorang penyair, ahli sihir, bomoh, dan orang gila.
Pernah satu ketika, mereka mengepung Nabi SAW dan berkata, “Adakah engkau orangnya yang berkata begini dan begitu terhadap Tuhan-tuhan serta agama kami?” Nabi SAW menjawab dengan tenang, “Ya, akulah orangnya yang berkata demikian.” Lalu, seorang lelaki bangkit dan menggenggam kain selendangnya dengan niat untuk mencekik Nabi SAW. Ketika itu, Abu Bakar RA segera berdiri mempertahankan Rasulullah dan berkata, “Adakah kalian mahu membunuh seorang lelaki hanya kerana dia berkata, ‘Tuhanku adalah Allah’?”
Selepas itu, kaum Quraisy mula menawarkan kepada Rasulullah SAW kemuliaan, termasuk kerajaan dan harta. Mereka menuntut agar Rasulullah SAW meminta kepada Allah untuk mengalirkan sungai-sungai seperti sungai Syam dan Iraq bagi mereka. Mereka juga menuntut agar Allah membangkitkan nenek moyang mereka yang telah mati, membina kebun-kebun serta istana untuk mereka, dan memberikan rezeki berupa harta karun berupa emas dan perak. Mereka turut menuntut supaya Rasulullah SAW memohon kepada Allah agar menjatuhkan gumpalan-gumpalan dari langit.
Rasulullah SAW kemudian bersabda kepada mereka, “Bukan untuk itu aku diutus kepada kalian. Aku datang kepada kalian hanya membawa sesuatu yang Allah telah utuskan aku dengannya. Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kalian apa yang aku diutuskan dengannya. Jika kalian menerimanya, maka itu menjadi kebaikan bagi kalian di dunia dan di akhirat. Namun jika kalian menolaknya, aku akan bersabar dan menunggu perintah Allah sehingga Dia menetapkan hukum antara aku dan kalian.”
Setelah itu, kaum musyrikin mencuba pelbagai cara untuk memalingkan manusia daripada Islam dan daripada mendengar bacaan Al-Quran. Mereka berusaha mengalihkan perhatian dengan memperdengarkan kisah-kisah Nadhar bin al-Harits mengenai raja-raja Parsi dan Rustam. Namun begitu, semua kaedah, serangan, dan tekanan yang digunakan tidak mampu menggoyahkan Rasulullah SAW atau memalingkannya daripada tujuan dan kehendaknya untuk menyampaikan Islam.
Ketika itu, semua kabilah di Mekah menghormati Abu Talib, Bani Hasyim dan Bani ‘Abdu Manaf sehingga mereka tidak berani menyakiti Rasulullah SAW secara berlebihan dan keterlaluan. Sebaliknya, mereka menumpukan perhatikan kepada tekanan dan penyeksaan kepada golongan Muslim yang lemah yang berada di kabilah tersebut.
Setiap kabilah akan menahan dan menyeksa mereka dengan memukul, serta tidak memberi makanan dan minuman. Tujuannya adalah untuk memaksa mereka meninggalkan agama Islam yang baru mereka anuti. Akibatnya, sebahagian daripada mereka ada yang terfitnah lalu meninggalkan agamanya kerana tidak tahan menghadapi penyeksaan yang begitu berat. Namun, terdapat juga dalam kalangan mereka yang tetap teguh dan bersabar mempertahankan keimanan sehingga nyawa mereka terpisah dari tubuh.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Sekiranya kalian keluar berhijrah ke tanah Habsyah, sesungguhnya di sana terdapat seorang raja yang tidak ada seorang pun yang dizalimi di sisinya. Tanah itu adalah tanah kejujuran, sehingga Allah memberikan kelapangan kepada kalian daripada ujian yang sedang menimpa kalian.”
Demikianlah, hijrah pertama umat Islam adalah ke Habsyah. Kaum Quraisy kemudiannya menghantar wakil-wakil mereka untuk mencari mereka, namun Raja Najasyi menolak dengan tegas untuk menyerahkan mereka kepada Quraisy.
Apabila kaum Quraisy melihat bahawa umat Islam hidup dengan aman di sisi Raja Najasyi, serta melihat bahawa dua tokoh utama Quraisy yang gagah berani iaitu Umar dan Hamzah telah memeluk Islam, dan Islam pula telah mula tersebar ke dalam setiap kabilah.
Lalu para pemimpin Quraisy berkumpul dan bermusyawarah. Mereka mencapai kata sepakat untuk menulis surat perjanjian bahawa mereka tidak akan menikahkan wanita-wanita mereka dengan anggota Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib yang menjadi penyokong Rasulullah SAW. Mereka (orang Quraisy) juga bersepakat untuk memboikot urusan jual beli dengan kedua-dua kabilah tersebut, dengan tujuan untuk memaksa mereka menarik sokongan daripada Rasulullah SAW.
Selanjutnya kaum Quraisy menawarkan kepada Rasulullah SAW akan kebersamaan dalam beribadah sehingga turun firman Allah SWT melalui Surah al-Kafirun:
Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.” [TMQ al-Kafirun (109): 1–6]
Namun demikian, Rasulullah SAW dan para sahabat tetap teguh meneruskan perjuangan politik untuk perubahan. Mereka tidak berpaling kepada tawaran material dan berbagai serangan dari pihak lawan. Hati mereka tidak goyah walaupun berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan ujian.
Seterusnya adalah peringkat ketiga, iaitu fasa pembangunan negara dan pengambilalihan pemerintahan.
Rasulullah SAW meneruskan perjuangan politik menentang kaum Quraisy tanpa menghiraukan tawaran duniawi dan ancaman bahaya yang ditujukan kepadanya. Baginda menyingkap kebatilan akidah dan amalan buruk mereka dengan menjelaskan kebenaran melalui wahyu Allah SWT dalam bentuk Al-Quran, sebagai mukjizat.
Namun, masyarakat Mekah tetap berpegang teguh kepada pemikiran kufur, akibat keingkaran dan kesombongan para pembesar mereka. Justeru, Rasulullah SAW mula mencari sokongan daripada kabilah-kabilah yang mengunjungi Mekah pada musim haji. Tujuannya adalah untuk mendapatkan perlindungan bagi dakwah dan mewujudkan sebuah negara.
Akhirnya, Allah SWT menyiapkan Madinah al-Munawwarah untuk dakwah tersebut. Penduduk Madinah menerima dakwah Islam. Mereka memberikan pertolongan kepada Rasulullah SAW dalam peristiwa Baiat Aqabah Kedua. Setelah itu, Nabi SAW bersama para sahabat berhijrah ke Madinah dan membina sebuah negara Islam di sana.
Sumber: Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Masyarakat