[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 7/7)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Tiga tahap dakwah Islam telah dijelaskan bagi membentuk sebuah masyarakat Islam yang khas. Ini merupakan suatu kaedah syarie yang praktikal dalam melaksanakan kehidupan Islam, dan tidak dibenarkan untuk menyelisihinya. Oleh itu, individu-individu yang selalu beraktiviti dalam usaha melakukan perubahan berasaskan Islam hendaklah terikat dengan semua tahap dakwah tersebut.
Rasulullah SAW merupakan seorang individu dalam masyarakat Mekah. Allah SWT telah menyatukan Islam dalam dirinya, baik dari segi pemikiran mahupun kaedah (thariqah). Dengan itu, Rasulullah SAW menjadi seorang insan yang berpemikiran jernih dan bersih, serta memiliki kaedah yang jelas dan lurus. Manusia yang berkeperibadian khas ini tidak berdiam, sebaliknya sentiasa mempengaruhi bahagian-bahagian lain dalam masyarakat di sekelilingnya.
Seterusnya, Rasulullah SAW membentuk keperibadian khas dalam kalangan mereka sehingga mereka menjadi sebuah kelompok (kutlah) yang tersusun, dengan tiangnya terdiri daripada manusia, pemikiran dan metode. Mereka bergerak dalam masyarakat yang sedang sakit untuk mengenal pasti punca penyakitnya. Mereka mula melakukan rawatan yang berkesan dan mujarab berdasarkan ‘resepi’ yang telah diberikan oleh Tuhan Sekalian Alam.
Masyarakat itu mula dibius dan disuntik, sehingga berlakulah interaksi di dalam jaringan-jaringan dan sel-selnya, antara ubat dengan kuman-kuman penyakit tersebut. Dengan terus menyuntik ubat yang berkesan dan mujarab, kuman-kuman itu akan menjadi lemah sehingga akhirnya dapat dihapuskan. Hasilnya, tubuh masyarakat itu menjadi sihat semula. Aliran darah kehidupan kembali mengalir dalam tubuhnya.
Kemudian berlakulah keselarasan, keserasian, dan keharmonian dalam kalangan anggotanya yang berusaha untuk melakukan perubahan dan antara semua anggota yang lain. Mereka menerapkan sistem dari ideologi yang terpancar daripada akidah Islam pada tempat penerapannya sehingga terbentuk sebuah masyarakat yang bersifat khas dan bangkit.
Orang-orang yang beraktiviti untuk perubahan ini terus beraktiviti dalam masyarakat lain di sekitarnya. Usaha ini dilakukan untuk mewujudkan keselarasan antara mereka dan masyarakat, di samping memindahkan ‘kesihatan’ kepada masyarakat tersebut. Ini kerana interaksi dan pergaulan mereka dengan masyarakat yang telah menjadi khas dan bangkit itu. Dengan cara ini, kesihatan yang hakiki tersebar ke seluruh pelosok dunia. Penyakit-penyakit masyarakat terhapus, dan kuman-kuman musnah dan gugur dalam salur-salur darah yang panas, sehingga tubuh masyarakat tersebut selamat daripada ancaman kuman-kuman.
Individu-individu yang beraktiviti dalam kelompok (kutlah) tersebut hendaklah mampu menggambarkan dan mengenal pasti penyakit-penyakit masyarakat dengan gambaran yang terperinci. Dengan demikian, segala aspek yang terdapat dalam masyarakat tersebut dapat diketahui, termasuklah individu-individunya, pemikiran-pemikirannya, perasaan-perasaannya, serta sistemnya. Selain itu, hendaklah juga difahami segala unsur dalamannya, seperti pergerakan-pergerakan internal dan pengaruh-pengaruh eksternalnya.
Seterusnya, mereka perlu mengkaji ideologi yang diterapkan (tabanni) untuk tujuan perubahan (taghyīr) dengan cermat dan mendalam. Mereka menerapkan segala perkara yang diperlukan oleh kutlah untuk melakukan perubahan. Mereka tidak melakukan tabanni terhadap perkara yang tidak diperlukan untuk perubahan, walaupun masyarakat menuntut hukum-hukum tertentu yang mereka perlukan dalam kehidupan seharian sebagai individu.
Mereka yang beraktiviti dalam kelompok ini juga mesti beriman terhadap kelayakan metode dan pemikiran yang mereka bawa, tanpa sebarang keraguan atau sangkaan. Mereka tidak sepatutnya gentar menghadapi segala bentuk kesulitan yang mungkin menghalangi cita-cita mereka. Mereka juga jangan sampai hilang kesabaran disebabkan panjangnya perjalanan dakwah ini, sehingga mereka menjadi seperti golongan yang difirmankan oleh Allah SWT, “Di antara orang-orang mukmin itu, ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janji).” [TMQ Al-Ahzaab (33): 23]
Mereka akan menjadi orang-orang yang layak bagi janji Allah yang tertera dalam firman-Nya, “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa; dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan mereka dengan agama yang telah Dia redhai. Dan Dia benar-benar mengubah keadaan mereka, daripada ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Tetapi barang siapa tetap kafir setelah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. Laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat; dan taatlah kepada Rasul (Muahmmad); agar kamu diberi rahmat.” [TMQ An-Nuur (24): 55–56]
Sumber: Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Masyarakat