[Mafahim Islamiyyah] Mafahim Islamiyyah (Pendahuluan Bahagian 2)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 11].
Ayat yang mulia ini menunjukkan perubahan yang melibatkan masyarakat, bukan individu. Dalilnya adalah adanya lafaz-lafaz jamak dalam ayat tersebut. Walau bagaimanapun, mengemban dakwah untuk perubahan ini mesti bermula dengan individu, kemudian kelompok. Hal ini seperti yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam menyampaikan kisah para Rasul AS, dan seperti mana yang difahami dari firman-Nya, “Dan hendaklah ada di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan, menyuruh (agar membuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” [TMQ Ali Imran (3): 104].
Oleh kerana itu, sesiapa sahaja yang telah mendapat petunjuk Islam dan memahami metode syarie untuk perubahan, dia wajib beraktiviti untuk mengubah masyarakat di mana dia berada. Ini dilakukan sekiranya masyarakat tersebut bukan masyarakat Islam, baik dalam individu, pemikiran, perasaan, dan sistemnya. Caranya dengan mengubah pemahaman (mafahim) yang ada dalam masyarakat tersebut kepada pemahaman Islam.
Dalam buku Mafahim Islamiyyah (pemahaman-pemahaman Islam) bahagian pertama, saya telah menjelaskan beberapa pemahaman Islam yang berkaitan dengan realiti manusia, masyarakat, dan potensi dari kedua-duanya berdasarkan cahaya pemahaman saya terhadap dalil-dalil syarak.
Adapun dalam buku ini (Mafahim Islamiyyah Bahagian 2), saya mengemukakan beberapa pemahaman Islam yang telah diserang oleh sebahagian musuh Islam untuk menghapus dan mengubahnya jauh dari tempatnya. Serangan mereka sangat ganas ke atas umat Islam, termasuk ke atas mafahim Islam yang sedang menuju ke arah kebangkitan atas dasar Islam, yang telah berjalan padanya semangat hidup berlandaskan akidah Islam.
Sesungguhnya, saya benar-benar telah mencurahkan semua kebolehan saya untuk menjelaskan dan mengkristalkan pemahaman ini dengan merujuk kepada nas-nas syarak dan penunjukkannya (dalalah). Kami tidak memasukkan pendapat ulama dan fuqaha’ kerana hukum asal bagi orang Islam ialah mengambil sendiri (tanpa perantara si A dan si B) pemikiran dan hukum-hukum Islam dari sumber mendasar, iaitu al-Quran al-Karim, sunah Nabawiyah, dan apa yang ditunjukkan oleh keduanya dari dalil umum, seperti qiyas dan ijmak sahabat.
Tujuannya ialah persepsi ini bersih dari campuran yang telah masuk ke dalamnya selama beberapa abad yang lalu. Juga supaya diambil langsung dari pancaran wahyu (Al-Quran) yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan seruan kepada seluruh manusia hingga hari kiamat.
Pada penghujung abad ini, iaitu abad ke-20 Masihi, musuh-musuh Islam memperhebat serangan mereka terhadap umat Islam. Mereka membuka dua penghinaan terhadap umat Islam.
Pertama, mereka menyerang dengan kekuatan fizikal berbentuk serangan bersenjata. Mereka membunuh, mengusir, memenjarakan mereka ke dalam sel tahanan, dan mengenakan sekatan ke atas umat Islam. Mereka memiliki pelbagai senjata pemusnah dan penghancur yang tidak sedikit jumlahnya untuk menyerang bangsa-bangsa yang telah berpecah-belah ini, serta tidak lagi terikat dengan ideologi Islam dan tidak disatukan oleh Daulah Khilafah.
Kedua, mereka (musuh Islam) menyerang umat Islam dengan kekuatan pemikiran sehingga mereka telah memanfaatkan para kaki tangan dan ulama, harta benda dan pusat penyelidikan, serta sarana-sarana informasi. Kesemua mereka telah dimanfaatkan dalam menyebarkan racun dan pemikiran mereka untuk mencairkan pemikiran Islam dan memalingkan umat Islam daripadanya. Semuanya dilakukan agar umat Islam menerima pemikiran dalaman yang dibaluti dengan pakaian Islam, walaupun pada hakikatnya adalah pemikiran kufur dan ateis yang tidak mengandungi pemikiran Islam sedikit pun.
Dalam banyak tema, saya benar-benar berusaha menyingkap segala kerosakan yang telah ditimbulkan kepada kita oleh musuh-musuh Islam untuk menyelidiki hakikat sebenar. Saya juga berusaha untuk menghilangkan pemikiran mereka dengan menjelaskan kepalsuan mereka. Kemudian, saya menjelaskan pemahaman Islam dalam bentuk yang jelas dan mengkristal, iaitu mengikatnya dengan dalil syarak.
Saya juga akan menjelaskan solusi berkesan sebagai resepi syarak untuk merawat pelbagai penyakit yang melanda umat Islam. Dengan demikian, debu keterpurukan dan ketundukan kepada musuh akan hilang dari umat Islam. Akhirnya, umat Islam ingin kembali kepada sirah yang pertama, iaitu kepada ideologi mereka yang telah dibina oleh Rasulullah SAW dan khulafa’ ar-rasyidin. Mereka akan mendapat kemuliaan dan keagungan sehingga dapat menyelamatkan dan memesongkan manusia daripada menyembah taghut kepada menyembah Allah SWT, daripada kesengsaraan dan kegelapan material kepada kenikmatan dan keadilan Islam.
Hanya kepada Allah aku memohon. Semoga aku diberi pertolongan dan petunjuk kepada kebenaran yang dalam.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #KebangkitanPemikiran