Prasyarat untuk Pemahaman Politik dan Pembentukan Dasar Maklumat Politik, Mengikuti Berita – (Bahagian 2)
Oleh: Luqman Harzallah
Memandangkan analisis politik berdasarkan pemahaman dan bukannya khayalan, adalah penting untuk memperoleh sejumlah maklumat yang diperlukan bagi mencapai pemahaman itu. Maklumat yang diperlukan untuk pemahaman politik terdiri daripada dua jenis. Jenis pertama adalah berita mengenai peristiwa semasa, dan jenis kedua adalah maklumat yang berkaitan dengan dan sekitar peristiwa tersebut. Jenis kedua inilah yang kita rujuk sebagai maklumat politik.
Maklumat Politik
Maklumat politik merujuk kepada maklumat yang berkaitan dengan dan mengelilingi sesuatu peristiwa, termasuk konteks sejarahnya, geografi politiknya, orang-orang yang terlibat, negara-negara yang terkesan dengan peristiwa tersebut, serta hubungan mereka antara satu sama lain. Maklumat ini tidak dihampiri secara teori. Sebaliknya, hanya aspek-aspek yang berkaitan dengan dimensi politik yang diambil kira.
Maklumat politik yang berkaitan dengan peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
Pertama: Geografi Politik
Lokasi sesebuah negara, ciri-ciri geografinya, dan sumber-sumber yang ada mempengaruhi politiknya, dan oleh itu memainkan peranan dalam memahami peristiwa politik yang berkaitan dengan negara tersebut. Sebuah negara yang terletak di laluan perdagangan global terbuka berada dalam kedudukan untuk menjalin hubungan dengan negara-negara di seluruh dunia, yang dengan sendirinya merupakan faktor yang boleh membantunya menjadi kuasa besar. Negara yang terletak berhampiran dengan ciri-ciri geografi penting, seperti selat dan laluan maritim, boleh menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi mereka yang melaluinya, serta mengumpul kekayaan. Jika sebuah negara mempunyai sumber yang besar seperti minyak, emas, hasil galian nadir bumi, atau uranium, potensi kekayaan dan pengaruhnya adalah tinggi. Begitu juga, kawasan berbukit dan keras dalam sesebuah negara boleh meningkatkan kemampuannya untuk mempertahankan diri, dan sebagainya.
Kedua: Sejarah
Isu-isu global sering mempunyai dimensi sejarah yang membayangi peristiwa semasa, atau peristiwa semasa muncul dengan menggunakan memori sejarah yang mereka bawa. Sebagai contoh, apabila mengkaji hubungan antara Eropah dan Rusia, seseorang perlu mengambil perhatian bahawa ia adalah hubungan yang ditandai dengan permusuhan, yang berakar umbi dalam sejarah. Rusia telah diserang tiga kali dari hadapannya baratnya oleh kuasa-kuasa Eropah, yang menyumbang kepada permusuhan sejarah ini.
Ketiga: Ciri-Ciri Rakyat
Orientasi politik umum sesebuah negara tidak terpisah daripada sifat-sifat rakyatnya. Sebagai contoh, jika suatu bangsa kekurangan sifat mengambil tanggungjawab terhadap orang lain, dan cenderung untuk memberi tumpuan hanya kepada urusan mereka sendiri, maka dasar negara mereka akan lebih cenderung kepada pertahanan dan bukannya serangan atau pengembangan. Oleh itu, adalah penting untuk memberi perhatian kepada ciri-ciri rakyat apabila terlibat dalam analisis politik.
Keempat: Senario Antarabangsa
Ini merujuk kepada struktur hubungan antara negara-negara di seluruh dunia. Negara-negara yang mempengaruhi senario antarabangsa adalah negara yang mempunyai dasar luar yang mampu memberi impak kepada negara lain. Apabila satu atau lebih kuasa muncul dengan cara untuk mempengaruhi hal ehwal global, mereka menjadi yang paling mampu membentuk struktur hubungan ini, sekaligus mentakrifkan atau menentukan senario antarabangsa. Negara yang berjaya membentuk senario antarabangsa dianggap sebagai kuasa utama di dunia, dan adalah penting untuk mengenal pasti negara ini.
Memandangkan sesebuah peristiwa mungkin berlaku di negara selain daripada negara yang terkemuka (yang utama), adalah perlu untuk memahami realiti negara yang terlibat langsung dalam peristiwa tersebut, serta hubungannya dengan negara kuasa besar (yang utama) dunia dan sifat hubungan itu pula. Mengabaikan senario antarabangsa atau memisahkan peristiwa daripada kuasa global utama akan mengecilkan perspektif dan menghasilkan pemahaman yang terhad, yang seterusnya membataskan peristiwa global menjadi insiden tempatan semata-mata.
Sebagai contoh, satu rampasan kuasa yang berlaku di Niger pada tahun 2010. Umum mengetahui bahawa Niger berada di bawah pengaruh Perancis dan dieksploitasi oleh Perancis untuk pengeluaran uranium. Rampasan kuasa itu menjatuhkan ejen Perancis, Mamadou Tandja. Pada waktu itu, Niger merupakan negara yang tunduk kepada kuasa besar, Perancis, manakala kuasa utama dunia adalah Amerika Syarikat, yang berusaha untuk mengurangkan pengaruh Perancis di Afrika. Apabila kita meneliti kenyataan Amerika, kita mendapati bahawa mereka menyalahkan Tandja, tidak menggesa beliau untuk dipulihkan, mahupun menggesa dialog antara pemimpin rampasan kuasa dan presiden yang digulingkan. Maklumat ini membawa kita kepada kesimpulan bahawa Amerika Syarikat berada di belakang rampasan kuasa tersebut.
Kelima: Projek Politik yang Berkaitan dengan Negara yang Terlibat dalam Peristiwa tersebut
Sebagai contoh, ketika konflik meletus di Sudan pada tahun 2023, memahami senario antarabangsa, dan hubungan Sudan dengan kuasa utama dunia adalah penting, tetapi tidak mencukupi. Seseorang juga mestilah meneliti atau mengkaji projek-projek politik yang dirancang untuk Sudan. Sebuah projek bersejarah yang segera terlintas difikiran adalah rancangan untuk membahagi Sudan, yang bermula pada zaman pemerintahan penjajah British, di mana pembahagian pentadbiran disusun dengan cara yang akan memudahkan pemisahan masa depan. Projek ini dipersetujui di kalangan pihak Barat.
Satu lagi projek lain yang lebih baru adalah percubaan Eropah untuk membawa Sudan ke bawah pengaruh mereka melalui desakan untuk pemerintahan sivil, sebuah projek yang mengeksploitasi revolusi Sudan menentang Omar al-Bashir untuk memajukan matlamat mereka. Adalah salah untuk mengabaikan projek-projek politik ini ketika menganalisis peristiwa sedemikian. Tanpa mengenalinya atau mengiktirafnya, analisis itu akan kekurangan kedalaman, dan mungkin akan mengambil arah yang berbeza dan berpotensi salah.
Keenam: Keadaan Segera
Apabila sesuatu peristiwa berlaku di sesebuah negara atau wilayah, dan senario antarabangsa serta hubungan antara negara yang terlibat dalam peristiwa itu, dan kuasa peneraju utama dunia, dan jika tidak ada projek politik langsung yang berkaitan dengan negara yang melaksanakan peritstiwa tersebut, maka seseorang itu mesti mempertimbangkan keadaan semasa.
Sebagai contoh, ketika Amerika Syarikat menghidupkan semula pakatan dengan Australia, India, dan Jepun pada tahun 2017, dan diketahui bahawa AS tidak mempunyai projek politik khusus untuk mana-mana negara ini secara individu, tetapi pakatan ini telah dihidupkan dalam tempoh yang sama apabila AS melancarkan projek untuk membendung China, yang dimulakan semasa penggal pertama Donald Trump dan diteruskan selepas itu, maka perhatian perlu diberikan kepada projek tersebut sebagai konteks segera yang relevan. Oleh itu, jelas bahawa kebangkitan semula pakatan ini berlaku dalam rangka usaha AS untuk membendung China.
Ketujuh: Individu yang Terlibat Secara Langsung dalam Peristiwa
Memandangkan politik dibentuk oleh individu, adalah penting untuk meneliti mereka yang terlibat secara langsung dalam pembentukan sesuatu peristiwa. Dengan memahami kecenderungan individu-individu ini, kita dapat menilai arah tujuan peristiwa tersebut.
Sebagai contoh, semasa perang Gaza 2023, Perdana Menteri entiti Yahudi adalah Benjamin Netanyahu. Pada waktu itu, kita menyedari konteks antarabangsa dan keadaan semasanya. Walau bagaimanapun, ia juga perlu untuk melihat dengan lebih dekat siapa Netanyahu. Kita mendapati bahawa dia mempunyai hubungan yang kuat dengan AIPAC di AS dan mendapat sokongan daripada mereka. Dia juga berkait rapat dengan kem Republikan Trump, yang bersaing sengit dengan Presiden AS ketika itu, Joe Biden, dalam tahun pilihan raya AS.
Netanyahu mempunyai agenda politik untuk entiti Yahudi, yang bertentangan dengan penyelesaian dua negara ala Amerika. Dia aktif berusaha untuk memastikan pemisahan antara Gaza dan Tebing Barat. Selain itu, dia juga berhadapan dengan tuduhan rasuah di mahkamah. Dengan semua ini, kita daapt memahami mengapa dia menghalang perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang cuba dilaksanakan oleh AS. Sekiranya individu atau tokoh lain, salah seorang daripada lelaki yang sangat setia kepada Amerika di entiti Yahudi, menjadi Perdana Menteri sebaliknya, kemungkinan besar tingkah laku negara itu akan berbeza.
Kelapan: Mereka yang Mendapat Manfaat daripada Peristiwa
Meneliti siapa yang mendapat manfaat daripada sesuatu peristiwa sangat berguna, tetapi ia memerlukan bukti sokongan daripada sumber lain untuk benar-benar memahami realiti situasi tersebut. Ini kerana apabila peristiwa berlaku, pelbagai pihak mungkin mendapat manfaat daripadanya; sesetengah pihak mungkin merancangnya, manakala yang lain mungkin tidak terlibat dalam perancangan tersebut. Oleh itu, jika pemahaman seseorang hanya berdasarkan kepada mengenalpasti siapa yang mendapat manfaat, analisis yang terhasil menjadi tidak boleh dipercayai dan tidak boleh bergantung kepadanya.
Inilah jenis maklumat yang diperlukan untuk pemahaman politik, dan kita akan mengkaji sebahagiannya dengan lebih terperinci.
Mengikuti Berita (Mutaabia tul-Akhbar)
Kami telah menyebutkan bahawa pemahaman politik memerlukan maklumat untuk dihasilkan. Maklumat ini termasuk mengikuti peristiwa semasa dan maklumat politique berikutnya. Mengikuti berita seharusnya bukan tentang melayari sesuatu berita secara kasual, tetapi satu usaha menjejaki perkembangan yang dilakukan dengan sengaja dan memiliki tujuannya.
Perkataan “mutaabiah” (mengikuti, menjejak, mengejar) dalam bahasa Arab bermaksud menghubungkan apa yang datang sebelumnya dengan apa yang akan datang selepasnya, seperti mana langkah mengejar memerlukan mengetahui langkah pertama, dan kemudian mengikutinya ke langkah seterusnya. Perkara yang sama berlaku untuk mengikuti berita, yang melibatkan mendengar dan membaca laporan berita. Mengikuti berita bermakna mengikuti semua berita, baik yang penting mahupun yang nampaknya remeh, dan berusaha mencari maklumat yang berguna. Laporan yang nampaknya tidak penting mungkin mengandungi maklumat yang berkaitan dengan peristiwa utama, atau mungkin tidak. Memandangkan pemerhati tidak tahu bila atau di mana maklumat yang berguna akan muncul, mereka hendaklah dengan tekun mencari berita untuk menemukannya dan membongkarnya.
Seseorang yang mengikuti berita mungkin sama ada mencari maklumat tertentu yang mereka percayai kemungkinan besar ada, atau mereka mungkin mencari mana-mana maklumat yang berpotensi berguna. Maklumat yang dipercayai wujud muncul dalam minda apabila terdapat gambaran peristiwa yang tidak lengkap, dan satu sudut tertentu yang hilang diperlukan untuk melengkapkan gambaran itu. Dalam kes ini, pencarian menjadi tertumpu dan spesifik. Walau bagaimanapun, apabila imej dalam minda masih awal, atau belum terbentuk sepenuhnya, seseorang mesti mencari secara meluas untuk sebarang maklumat yang penting, walaupun ciri-cirinya belum jelas. Apabila dijumpai, kepentingannya akan dikenali atau diiktiraf berdasarkan sifatnya.
Terdapat maklumat politik yang menyatakan secara langsung mengenai peristiwa tersebut dengan sendirinya, dan ada yang berkaitan secara politik dengan peristiwa tersebut, seperti maklumat mengenai individu-individu yang terlibat, projek politik yang berkaitan dengan peristiwa, atau konteks semasa yang mengelilinginya. Inilah jenis maklumat yang perlu dikumpulkan. Sebaliknya, maklumat yang tidak termasuk dalam kategori ini, seperti cerita emosional atau naratif dramatik yang disiarkan oleh media semata-mata untuk menarik penonton, mestilah diketepikan.
Berita yang diikuti oleh seorang penyelidik politik boleh datang dalam pelbagai bentuk: laporan langsung mengenai peristiwa dan perkembangan yang berkaitan dengannya, artikel yang menerangkan peristiwa dan kaitannya, atau pendapat di mana seorang penulis menyuarakan pandangannya tentang peristiwa itu. Di sini, adalah penting bagi penganalisis politik untuk membezakan antara apa yang perlu diambil daripada kandungan ini dan apa yang perlu diabaikan.
Mendengar atau membaca berita mesti diikuti dengan operasi intelektual untuk mengklasifikasikannya, sama ada ia maklumat yang perlu disimpan atau dibuang. Maklumat yang perlu disimpan adalah yang berkaitan secara langsung dengan peristiwa. Sebarang maklumat yang tidak berkaitan dengan peristiwa itu, serta sebarang analisis atau pendapat, mesti diketepikan. Ini kerana seorang penganalisis politik mesti membina analisisnya sendiri secara bebas, dan tidak boleh bergantung pada tafsiran orang lain. Seorang penulis pendapat mungkin tidak semestinya berkongsi konsep politik yang sama dengan penganalisis. Malah, ramai penganalisis membina pandangan mereka berdasarkan andaian, spekulasi, atau logik semata-mata, malah ada yang sengaja mengelirukan, sementara yang lain membiarkan sikap `berat sebelah’ mereka terhadap satu sisi peristiwa, atau tindak balas emosional, mempengaruhi perspektif mereka.
Oleh itu, laporan berita yang terus terang dan artikel deskriptif lebih berharga daripada artikel pendapat. Walau bagaimanapun, artikel pendapat mungkin masih boleh mengandungi cebisan maklumat berharga yang mungkin telah diperoleh oleh penulis, yang sebab itulah ia tetap menjadi sebahagian daripada sumber berita yang perlu diikuti, walaupun dengan keutamaan yang lebih rendah berbanding laporan berita langsung dan analisis.
Adapun sumber-sumber dari mana penganalisis politik mendapatkan berita dan artikel, ia mestilah datang daripada saluran berita yang mempunyai reputasi dan surat khabar yang boleh dipercayai, iaitu sumber yang dikenali untuk mengesahkan laporan mereka. Walau bagaimanapun, seorang penganalisis politik tidak boleh menerima apa yang dikemukakan oleh sumber-sumber ini dengan secara membuta tuli (percaya bulat-bulat). Mereka mesti sentiasa ingat bahawa tujuan mereka adalah untuk mencari maklumat yang berguna, yang mungkin atau mungkin tidak terdapat di dalam sumber-sumber ini.
Selain itu, penting juga untuk memberi perhatian kepada kecenderungan berat sebelah oleh saluran-saluran dan surat khabar/media ini. Penerbitan yang condong ke kanan cenderung untuk menyampaikan berita dengan condong ke sayap kanan, dan perkara yang sama juga berlaku untuk kepada media berhaluan kiri. Sepotong maklumat mungkin dilaporkan oleh kedua-dua pihak, tetapi masing-masing akan membingkainya dengan cara yang berbeza. Penganalisis tidak boleh terjebak ke dalam perangkap pembingkaian linguistik yang berat sebelah.
Perhatian juga perlu diberikan kepada penulis artikel tersebut. Sesetengah penulis dan wartawan jelas terhubung dengan sesuatu peristiwa, atau tokoh-tokoh utamanya, dan menunjukkan komitmen yang kuat terhadap ketepatan pelaporan mereka. Penulis-penulis ini perlu diberi lebih perhatian berbanding yang lain, apabila membaca artikel dan laporan berita mereka.
Seorang penganalisis politik juga mesti mengikuti semua yang dikeluarkan oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam peristiwa atau yang terkesan olehnya. Sebagai contoh, jika sesuatu peristiwa berlaku di Timur Tengah dan Setiausaha Negara AS mengadakan sidang media mengenainya, penganalisis mesti mendengar sidang media mengenainya. Begitu juga dengan kenyataan daripada Presiden Amerika Syarikat, Penasihat Keselamatan Negara, jurucakap Rumah Putih, dan lain-lain yang terlibat dalam membentuk peristiwa tersebut, terutamanya memandangkan Amerika Syarikat kini merupakan kuasa utama di dunia, dan mempunyai kawalan luas ke atas Timur Tengah.
Kadangkala, kita mungkin menemui percanggahan antara kenyataan yang dibuat oleh pegawai, atau antara kata-kata mereka dengan tindakan mereka. Untuk menyelesaikan dilema ini, adalah penting untuk membezakan maklumat yang tepat daripada kenyataan yang mengelirukan. Ini boleh dilakukan dengan meneliti konteks di mana setiap kenyataan tersebut dibuat.
Sebagai contoh, jika Presiden AS membuat dua kenyataan yang nampaknya bercanggahan, satu mungkin ditujukan untuk khalayak domestik manakala satu lagi ditujukan kepada isu atau peristiwa itu sendiri. Apabila setiap kenyataan ditempatkan dalam konteks yang betul, ia menjadi lebih mudah untuk menentukan yang mana tepat dan yang mana mengelirukan.
Selain itu, perlu juga untuk membandingkan kenyataan lisan dengan tindakan sebenar di lapangan. Ini untuk menganalisisnya berlandaskan maklumat yang ada tentang peristiwa itu, dan objektif yang ditetapkan oleh negara yang mengeluarkan kenyataan itu, berkenaan dengan peristiwa atau wilayah tertentu. Jika sesuatu kenyataan sejajar dengan projek politik yang lebih luas, sementara tindakan bercanggah dengannya, maka kenyataan itu kemungkinan besar benar, dan tindakan itu mungkin dimaksudkan sebagai penipuan. Sebaliknya, jika tindakan itu selari dengan projek, sementara kenyataan itu tidak, maka tindakan itu adalah benar dan kenyataan itu mengelirukan. Secara ringkasnya, berita tidak boleh dipisahkan daripada konteks keseluruhan atau gambaran besar yang mengelilinginya.
Penipuan berlaku dalam tindakan sebagaimana yang berlaku dalam kata-kata, dan mengenalinya adalah salah satu kemahiran penting yang mesti dimiliki oleh penganalisis politik. Seorang ahli politik yang kafir (bukan Muslim) mungkin boleh berbohong untuk menipu, tetapi seorang ahli politik Muslim tidak berbohong. Sebaliknya, dia mungkin menggunakan kekaburan atau ungkapan yang mengelirukan yang disengajakan – untuk menyatakan sesuatu yang hampir serupa dari segi maksud, sementara sebenarnya berniat maksud yang lebih jauh, atau malah makna yang lebih mendalam dan tersembunyi.
Sebagai contoh, Rasulullah (saw) kadangkala mengirimkan ekspedisi ketenteraan ke arah yang berbeza daripada sasaran sebenar mereka. Setelah ekspedisi itu sampai ke satu titik di mana musuh merasa selamat, dan menganggap mereka bukan sasaran yang dimaksudkan, ekspedisi itu akan mengubah haluan menuju objektif sebenar. Prinsip yang sama berlaku dalam tindakan politik seperti dalam operasi ketenteraan.
Mengikuti berita, memilih apa yang tepat, dan mengekstrak apa yang berguna, adalah suatu perkara yang memerlukan latihan dan pengalaman, sehingga kemahiran itu berkembang dan proses tersebut menjadi lebih mudah bagi mereka yang memilikinya.
(Bersambung)
Majalah Al-Waie Isu 467
Tahun ke-39, Zulhijjah 1446H / Jun 2025M
Diterjemah dari: hizb-uttahrir.info
#BerfikirPolitik #PolitikIslam #AnalisisPolitik #KemahiranPolitik