Pemikiran Kewangan dalam Islam Berbanding dengan Pemikiran Kewangan Kapitalis dan Sosialis (Bahagian 1 – Pengenalan)
Oleh: Ahmad Al-Amin
Sistem kewangan dan ekonomi mencerminkan falsafah negara, iaitu ideologi yang diyakini oleh negara tersebut. Dunia telah mengenali dua ideologi utama, iaitu kapitalisme dan sosialisme. Beberapa negara telah mengadopsi pemikiran sosialisme, sementara yang lain mengadopsi pemikiran kapitalisme. Akibatnya, setiap negara membangun sistem kewangan, ekonomi, politik, dan sosial mereka yang berbeza berdasarkan salah satu daripada dua ideologi ini. Seperti yang diketahui, matlamat ideologi-ideologi ini adalah untuk mencari penyelesaian kepada masalah kehidupan manusia dan menanganinya, termasuk isu ekonomi dan kewangan, untuk mencapai kebahagiaan dan kemakmuran bagi masyarakat masing-masing dengan cara mereka sendiri.
Ciri yang paling menonjol dari penyelesaian kapitalis adalah kebergantungan kepada pemilikan peribadi (persendirian/individu), kebebasan individu, dan sistem pasaran bebas. Kapitalisme telah melalui beberapa peringkat dan menghadapi cabaran besar, seperti krisis 1929 yang dikenali sebagai Kemelesetan Besar (Great Depression), yang menjejaskan asas-asas sistem pada masa itu, terutamanya teori konvensionalnya yang berasaskan tiada campur tangan oleh negara. Teori ini gagal dalam ujian tersebut, menyebabkan peralihan daripada pemikiran kewangan konvensional kepada model campur tangan negara.
Bagi sistem sosialis, ia dicirikan oleh pergantungan kepada pemilikan sosial ke atas alat-alat pengeluaran, campur tangan negara yang signifikan, dan perancangan pusat yang komprehensif. Sistem ini akhirnya gagal selepas tujuh puluh tahun pelaksanaannya, yang ditandai dengan kejatuhan blok sosialis dan pembubaran Kesatuan Soviet antara tahun 1989 hingga 1991.
Evolusi Pemikiran Kewangan
Sistem kewangan sesebuah negara mencerminkan falsafah politiknya dan ideologi ekonomi serta sosial sekitar yang dipegangnya. Falsafah negara adalah berdasarkan pandangan tertentu (khusus) terhadap kehidupan manusia, yang mana melaluinya ia mentakrifkan peraturan tingkah laku dan rangka kerja sosial, undang-undang, dan ekonomi bagi masyarakat.
Sistem kewangan dianggap sebagai salah satu alat yang digunakan oleh negara untuk mencapai objektif politik, ekonomi, atau sosialnya. Oleh itu, sistem kewangan atau kewangan awam berbeza dari satu negara ke negara yang lain, dan bahkan dalam negara yang sama dari satu tempoh ke tempoh yang lain, bergantung kepada keadaan ekonomi negara tersebut. Pemikiran kewangan berkait rapat dengan pemikiran ekonomi, kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripadanya, yang bermaksud ia melalui peringkat permbangunan dan perkembangan yang sama. Peringkat-peringkat ini selaras dengan fasa-fasa evolusi negara dan mencerminkan falsafah politik, ekonomi, dan sosialnya. Peringkat utama adalah seperti berikut:
1- Pemikiran Kewangan Konvensional, atau Teori Negara Neutral atau Night-Watchman (Jerman: Nachtwächterstaat)
2- Pemikiran Kewangan Moden
Sumber terjemahan:
Majalah Al-Waie Isu No. 467
hizb-uttahrir.info
#SistemEkonomi #SistemKewangan #EkonomiKapitalisme #EkonomiSosialisme #Kapitalisme #Sosialisme