[Afkar] Kelebihan Sistem Perundangan dan Kehakiman Islam
Penulis: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Dalam Islam, negara dibina atas dasar undang-undang, iaitu undang-undang syariah. Setiap orang adalah sama di hadapan perundangan syariah, tidak kira rakyat mahupun pemerintah. Berikut adalah beberapa kelebihan utama sistem perundangan dan kehakiman Islam yang tidak terdapat dalam sistem perundangan yang lain.
- Bersumber daripada Hukum Allah yang Menjamin Keadilan
Kehakiman (qadha’) adalah institusi yang bertanggungjawab dalam menyampaikan keputusan hukum yang bersifat mengikat (al-ikhbaar bi al-hukm ‘alaa sabil al-ilzaam). Sumber hukum dalam kehakiman Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah. Para qâdhi (hakim) membuat keputusan berdasarkan ijtihad mereka yang berpandukan dalil-dalil syariah. Dengan pelaksanaan hukum, keadilan dapat diwujudkan di tengah masyarakat.
Salah satu puncak peradaban Islam di era Kekhilafahan adalah pelaksanaan syariah Islam dalam bidang hukum dan kehakiman. Kejayaan cemerlang dalam bidang hukum ini dapat dilihat sejak zaman Rasulullah SAW pada tahun 622 M hingga kejatuhan Khilafah ke tangan penjajah sekitar tahun 1918 M. [2]
Kegemilangan itu tercapai kerana hukum yang dijadikan rujukan dalam keputusan di mahkamah adalah hukum daripada Pencipta Manusia. Hukum yang terbaik dan tidak pernah lapuk ditelan zaman. Itulah hukum Allah SWT (syariah Islam). Allah SWT berfirman:
﴿أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُون﴾
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi kaum yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5): 50].
Dalam Tafsir al-Muniir, Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan maksud ayat 50 dari ayat di atas, iaitu tiada seorang pun yang lebih adil daripada Allah SWT, dan tiada satu pun hukum yang lebih baik daripada hukumNya. [3]
Dengan demikian, penerapan hukum dan keadilan adalah satu kesatuan yang tidak terpisah. Keadilan hanya akan terwujud dengan tegaknya hukum Allah SWT. Inilah keistimewaan hukum Islam. Allah SWT berfirman:
﴿وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلا﴾
“Telah sempurnalah Kalimat Tuhanmu (al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil” [TMQ al-An’am (6): 115].
Sebaliknya, tanpa penerapan hukum Islam, keadilan yang sebenar tidak akan pernah terwujud. Apa yang berlaku sebenarnya adalah kezaliman. Penegak hukumnya juga termasuk dalam golongan yang zalim. Allah SWT berfirman:
﴿وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ﴾
“Siapa saja yang tidak berhukum dengan wahyu yang telah Allah turunkan (al-Quran), merekalah para pelaku kezaliman” [TMQ al-Maidah (5): 45].
Inilah keistimewaan hukum Islam. Keadilan dan Islam adalah satu kesatuan. Para ulama mentafsirkan adil dengan wadh’ asy-syai’i fî mahallihi (meletakkan sesuatu pada tempatnya).[4] Penerapan adalah dengan meletakkan hukum Allah SWT pada tempatnya, iaitu sebagai undang-undang bagi manusia, dan tidak digantikan dengan undang-undang buatan manusia.
2.Tiada Jual-Beli Hukum.
Imamah (Khilafah) dengan semua pegawai pemerintah di bawahnya, termasuk kehakiman, ditegakkan untuk menjaga agama. Imam al-Mawardi menerangkan:
اَلْإِمَامَةُ مَوْضُوْعَةٌ لِخلاَفَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّيْنِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَابِهِ
“Imamah (Khilafah) itu menduduki tempat sebagai pengganti Khilafah Nubuwwah dalam menjaga agama serta urusan politik yang bersifat duniawi.”[5]
Imam an-Nawawi juga berkata, “Suatu kekewajipan bagi umat untuk memiliki seorang imam (khalifah) yang bertugas menegakkan agama, menolong sunnah, membela orang yang dizalimi, menunaikan hak, dan meletakkan hak pada tempatnya. Saya menyatakan bahawa menguruskan urusan Imamah (Khilafah) itu adalah fardhu kifayah.” [6]
Sistem kehakiman merupakan salah satu tonggak utama bagi kelangsungan pemerintahan di sesuatu negara. Sistem kehakiman yang kukuh akan melahirkan kerajaan yang berwibawa, dihormati oleh rakyat dan disegani oleh negara-negara lain. Ini kerana, sistem kehakiman berkait rapat dengan penjagaan hak rakyat dan penegakan hukum di sesebuah negara. Kehakiman juga merupakan cerminan kekuatan negara untuk “memaksa” warganya agar rakyat terus berada dalam rangka perlembagaan negara.
Dalam pandangan Islam, pengurusan kehakiman merupakan tugas dan tanggungjawab yang sangat mulia. Ini kerana, pengurusan kehakiman adalah kaedah untuk melaksanakan dan menegakkan hukum-hukum Allah SWT ke atas setiap rakyat dan pemerintah. Syeikh Ahmad Athiyat menyatakan, hakim adalah orang kedua dalam mengawal pelaksanaan Islam di sesebuah negara. [7]
Betapa pentingnya masalah ini, Rasulullah SAW telah memperingatkan para hakim dengan sabda baginda SAW:
«مَنْ جُعِلَ قَاضِياً بَيْنَ النَّاسِ فَقَدْ ذُبِحَ بِغَيْرِ سِكِّينٍ»
“Sesiapa yang dilantik sebagai hakim di kalangan manusia, sesungguhnya dia (seolah-olah) disembelih tanpa menggunakan pisau.”[HR Ahmad, al-Tirmidzi, Abu Dawud dan Ibnu Majah].
Para ulama menjelaskan maksud “dia disembelih tanpa menggunakan pisau”, iaitu dia (seolah-olah) disembelih dengan cara yang sangat berat, kerana penyembelihan menggunakan pisau lebih mudah bagi haiwan sembelihan, berbanding dengan tanpa pisau. [8]
Rasulullah SAW juga telah menunjukkan kepada umatnya bahawa satu-satunya hakim yang selamat dari panasnya api neraka kelak adalah hakim yang mengetahui kebenaran dan mengamalkan kebenaran tersebut. Ini bermakna, dia memutuskan perkara mengikut kebenaran yang dia ketahui, tidak berbohong, dan tidak sewenang-wenangnya dalam membuat keputusan. Adapun hakim yang mengetahui kebenaran, tetapi tidak mengamalkan kebenaran itu, yang tidak membuat keputusan berdasarkan kebenaran, serta hakim yang membuat keputusan berdasarkan ketidaktahuannya atau kebodohannya, maka kedua-duanya akan menerima azab neraka [HR Abu Dawud, Ibnu Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim].
Perkara ini menjadi peringatan kepada semua hakim agar tidak sekali-kali membuat keputusan berdasarkan ketidaktahuan atau membuat keputusan yang bertentangan dengan kebenaran yang telah diketahui. Putuskanlah dengan seadil-adilnya berdasarkan kebenaran yang ada.
Jika hakim telah membuat keputusan berdasarkan kriteria kebenaran yang dia ketahui, namun keputusannya salah, dia tidak berdosa malah mendapat satu pahala, sementara yang membuat keputusan yang betul akan mendapat dua pahala.
Jadi yang menyebabkan dua jenis hakim di atas masuk neraka adalah kerana kezaliman, tidak berpegang pada kebenaran dan kerana kebodohan mereka.
Seorang hakim mestilah seorang yang ‘alim, faqih dan wara’ (hati-hati). Ini bertujuan agar keputusan yang dibuat oleh hakim benar-benar tepat dan dapat menjamin keadilan di kalangan masyarakat. Para ulama juga telah menetapkan syarat-syarat yang sangat ketat untuk seorang hakim. Para ulama bahkan sampai mengharamkan seorang hakim menerima hadiah daripada orang yang terlibat dalam perbicaraan. Rasulullah SAW bersabda, “Hadiah-hadiah yang diterima oleh pegawai adalah suatu bentuk ghulul (rasuah).”[HR Ahmad].
- Adanya Kepastian Hukum dan Tiada Sistem kehakiman Rayuan
Dalam Islam, tidak terdapat sistem kehakiman berperingkat atau proses rayuan. Hal ini memberikan kepastian hukum yang lebih jelas. Keputusan seorang hakim tidak boleh dibatalkan oleh hakim lain dalam pengadilan yang lebih tinggi. Dari segi struktur, pengadilan Islam langsung berada di bawah Khalifah. Ini bermakna, jika seorang hakim telah membuat keputusan mengenai sesuatu perkara berdasarkan ijtihadnya, dia tidak boleh mengubah keputusan tersebut dengan ijtihad yang baru. Hakim yang dilantik selepasnya juga tidak boleh mengubah keputusan tersebut. Diriwayatkan dari Salim Bin Abu Ja’ad, “Sekiranya dibenarkan bagi Ali bin Abu Thalib untuk mengkritik keputusan Khalifah Umar bin al-Khattab, pasti beliau akan mengkritik keputusan Khalifah Umar ketika meluluskan permohonan ganti rugi yang dikemukakan oleh utusan orang-orang Najran.”
Ali bin Abu Thalib RA adalah orang yang menulis perjanjian antara Nabi Muhammad SAW dan orang-orang Najran. Pada masa Khalifah Umar bin al-Khattab, jumlah mereka semakin bertambah banyak, sehingga Ali bin Abu Thalib bimbang bahawa keberadaan mereka akan membahayakan orang lain. Terjadilah perbezaan pendapat di kalangan mereka. Mereka datang kepada Khalifah Umar dan meminta ganti rugi. Khalifah Umar bersedia memberikan ganti rugi itu, tetapi kemudian mereka menyesal. Mereka rasa tidak puas hati, lalu mendatangi Khalifah Umar dan meminta Khalifah Umar untuk memecat Ali. Setelah Ali dilantik sebagai hakim, mereka datang kepada Khalifah Umar dan berkata, “Amirul Mukminin, kami berharap engkau membantu kami dengan menulis surat.” Ali bin Abu Thalib berkata, “Celakalah kalian. Sesungguhnya keputusan Khalifah Umar bin al-Khattab adalah benar.” [HR al-Baihaqi].[9]
Dari kisah di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Khalifah Umar al-Khattab menolak untuk mengubah keputusan pertama yang telah beliau buat. Begitu juga dengan hakim selepas beliau, iaitu Ali. Semua ini dilakukan demi memastikan kepastian hukum dan untuk mengurangkan kegiatan penyelewengan dalam peradilan.
Memang boleh untuk menubuhkan mahkamah peradilan sama ada di peringkat pusat, wilayah, ataupun daerah. Namun, dalam pandangan Islam, tiada sistem mahkamah rayuan. Keputusan mahkamah di peringkat daerah tidak boleh dibatalkan oleh mahkamah peringkat mana-mana, sama ada wilayah mahupun pusat. Keputusan mahkamah peringkat pusat juga tidak boleh dibatalkan oleh mahkamah peringkat wilayah mahupun daerah.
Ketetapan seperti ini berdasarkan pada kenyataan berikut: Pertama, hukum Allah bagi seorang Muslim adalah satu. Apabila seorang hakim memutuskan sesuatu perkara, pada dasarnya keputusannya adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan oleh seorang Muslim. Keputusannya tidak boleh dibatalkan oleh sesiapa pun, kecuali jika ia bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Kedua, ketetapan ini juga berlandaskan kepada Ijmak Sahabat. Khalifah Abu Bakar RA pernah memutuskan suatu perkara dengan ijtihadnya. Namun, Khalifah Umar RA mempunyai pendirian yang berbeza. Walau bagaimanapun, hukum yang diputuskan oleh Khalifah Abu Bakar tetap tidak boleh dibatalkan. Ali RA juga pernah berbeza pendapat dengan Khalifah Umar RA. dalam ijtihadnya, tetapi keputusan Khalifah Umar RA tidak boleh dibatalkan. [10]
Alasan lain yang menunjukkan bahawa keputusan hakim tidak boleh dibatalkan oleh hakim lain adalah ketidakbenaran bagi banyak hakim untuk memutuskan sesuatu perkara. Inilah dalil-dalil yang menunjukkan bahawa dalam sistem Islam, tiada mahkamah rayuan peringkat pertama atau kedua. Oleh itu, dalam kitab-kitab fiqh ditetapkan sebuah kaedah fiqh yang menyatakan, “Al-Ijtihaad laa yunqadhu bi al-ijtihaad.” (Suatu ijtihad tidak boleh dibatalkan oleh ijtihad yang lain)” [11]
Keputusan hakim hanya boleh dibatalkan jika keputusannya berdasarkan hukum-hukum kufur, atau bertentangan dengan nas-nas qath’ie, atau bertentangan dengan fakta yang ada. Contohnya, jika hakim memutuskan hukuman sebatan bagi seorang penzina ghayr muhshan (belum berkahwin), namun faktanya penzina tersebut adalah muhshan (sudah berkahwin), maka dalam keadaan seperti ini keputusan hakim boleh dibatalkan.
Penutup
Demikianlah kelebihan dan keistimewaan sistem undang-undang dan peradilan dalam Islam. Ini tidak dapat kita temui dalam mana-mana sistem undang-undang dan peradilan di dunia ini. Peradilan dalam sistem sekular kapitalis kekurangan tiga perkara utama yang disebutkan di atas. Sistem undang-undang dan peradilan masa kini: (1) tiada sumber undang-undang yang sahih daripada Maha Pencipta dan tidak ada jaminan keadilan di dalamnya; (2) penuh dengan amalan jual beli undang-undang kerana peradilan bukan bertujuan untuk mempertahankan kesucian nilai-nilai kebenaran tertentu (contohnya agama); (3) adanya sistem mahkamah rayuan yang tidak memberikan kepastian undang-undang.
Oleh itu, selama sistem undang-undang dan peradilan berjalan dalam sistem politik sekular kapitalis, maka penegakan hukum syariat dan keadilan hanya menjadi suatu khayalan. Wallahu a’lam bissawab.
Catatan kaki:
- Lihat Abdul Qadim al-Zallum, Nizham al-Hukm fî al-Islam, hlm. 182; Wijarah al-Auqaf al-Syu’un al-Islamiyyah al-Kuwait, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, juz 21, hlm. 98.
- Lihat Taqiyyuddin al-Nabhani, Nizham al-Islam, hlm. 44.
- Lihat Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir, Juz 6, hlm. 224.
- Lihat Muhammad Arafah al-Dasuki, Hasyiyah al-Dasuki ala Mukhtashar al-Ma’aniy, juz 3, hlm. 208.
- Lihat Ali bin Muhammad al-Mawardi, al-Ahkam al-Sulthaniyyah, hlm. 5.
- Lihat Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudhah al-Thalibin wa Umdah al-Muftin,juz 3, hlm. 433.
- Lihat Ahmad ‘Athiat, al-Thariq, Dirasat Fikriyyah fî Kaifiyah al-‘Amal li al-Taghyir Waqi’ al-Ummah wa Inhadhiha, 191.
- Lihat Muzh-hir al-Din al-Zaidani, al-Mafatih fî Syarh al-Mashabih, juz 4, hlm. 312.
- Lihat al-Baihaqi, Sunan al-Baihaqi,Jilid 10, hlm. 120 dan Mausu’ah Fiqh Umar bin al-Khaththab, hlm. 828.
- Lihat Abdul Qadim al-Zallum, Nizham al-Hukm fî al-Islam,
- Lihat Jalaluddin al-Suyuthi, al-Asybah wa al-Nazha’ir, hlm. 101; Muhammad Shidqi al-Burnu, Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, juz 1, hlm. 430.