Setiap Individu Perlu Tahu Tujuan dan Persiapan Untuk Menuju Pernikahan
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis Dakwah Muslimah Suzana Lee menyatakan, setiap individu perlu tahu tujuan pernikahan dan mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang pernikahan agar memiliki ilmu sebagai bekal dalam mengharungi kehidupan berumah tangga.
“Sebelum memasuki gerbang pernikahan, setiap individu perlu tahu tujuan pernikahan sebab kahwin ni bukan benda main-main, perlu persiapkan diri agar kita ada ilmu sebagai bekal dalam mengharungi kehidupan berumah tangga supaya wanita tahu apa peranan dia, supaya tahu bagaimana nak jadi seorang isteri, jadi seorang ibu,” ujarnya dalam Open Circle Sahabat Muslimah, bertajuk Terima Nikahnya, Ahad (20/7/2025).
Beliau menjelaskan bahawa salah satu tujuan pernikahan adalah untuk menyalurkan naluri berkasih sayang dengan cara yang dibenarkan syarak.
“Tujuan pernikahan supaya naluri berkasih sayang dapat disalurkan dengan cara yang benar, sesuai dengan tuntutan syarak. Naluri ni bila tidak disalur dengan cara yang betul boleh menyebabkan kerosakan di tengah-tengah masyarakat sebagai contoh budaya couple, terjadinya pemuasan nafsu sesama jenis dan sebagainya,” jelasnya.
Sambungnya lagi, naluri berkasih sayang ini fitrah yang Allah SWT ciptakan dalam diri manusia dan ada aturannya.
“Naluri berkasih sayang, suka kepada lawan jenis Allah SWT dah beritahu perlu didasarkan kepada hukum syarak, tidak boleh dengan perbuatan haram, cara yang salah. Jadi satu-satunya jalan atau pun cara adalah dengan ikatan pernikahan,” tambahnya.
Jelasnya lagi, selain itu seorang wanita perlu ada persiapan untuk memasuki gerbang pernikahan.
“Bila kita dah faham tujuan, perlu persiapkan diri kita. Kita kena tahu asas pernikahan, selok belok pernikahan, kena tahu peranan dan tanggungjawab untuk menjadi ummun wa rabbatul bait, menjadi pengurus rumah tangga sebagai seorang isteri, sebagai seorang ibu perlu tahu sebelum diijab qabulkan benda ni kita ready dah, kena patuh pada suami tak boleh lawan suami sesuka hati, lepas tu kena jadi ibu, jadi ibu bukan satu benda yang mudah dari nak mengandung, melahirkan, membesarkan, mendidik sangat susah, sangat payah. Jadi sebab itu kita kena persiapkan diri kita untuk melalui pahit manisnya berumah tangga” jelasnya.
Selain itu beliau menegaskan bahawa seorang wanita juga perlu menjaga kehormatan dan beragama sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu yang beragama nescaya kamu beruntung.” [HR Bukhari].
Beliau menyatakan, Rasulullah SAW menganjurkan dan mengutamakan untuk memilih wanita kerana agamanya.
“Bila Rasulullah SAW suruh lelaki kena pilih wanita kerana agama, jadi apa yang wanita kena buat ialah belajar tentang ilmu agama, belajar untuk mensolehahkan diri kita supaya kita tahu jaga batasan kita dan kehormatan sebagai seorang wanita. Sebab kita pun nak cari pasangan, cari suami mesti ada visi misi kita untuk cari lelaki yang soleh, lelaki yang faham agama. Jadi untuk mendapatkan lelaki soleh kita perlu mensolehahkan diri kita,” tambahnya.
Beliau menyimpulkan bahawa pernikahan adalah ibadah dan daripada pernikahan dapat membentuk keluarga Islami yang diimpikan.
“Pernikahan adalah anugerah dan dinilai ibadah kerana telah menyalurkan naluri berkasih sayang dengan cara yang betul. Dan dari pernikahan juga kita dapat membentuk keluarga yang Islami yang kita impikan sehingga ke jannah, jadi persiapkanlah diri sebagai bekal dalam mengharungi kehidupan berumah tangga dan membentuk keluarga Islami” simpulnya. []
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat