Bersangka baik (husnuzon) terhadap Pasangan akan Memupuk Keharmonian Keluarga
Penulis: Najmah Saiidah
Membina hubungan baik antara satu manusia dengan manusia yang lain dan lebih khusus satu muslim dengan muslim yang lain, adalah sesuatu yang mesti diperjuangkan dengan sebaik-baiknya. Lebih-lebih lagi dalam sebuah perkahwinan.
Kita telah memilih pasangan kita kerana Allah SWT, kita telah mengikatkan janji dan tekad yang kuat dengan pasangan kita dalam akad nikah kerana Allah pula. Oleh kerana itu, sudah semestinya kita dan pasangan berusaha keras memelihara perkahwinan kita dengan sebaik-baiknya sehingga kekal bahagia dan harmoni.
Rasulullah SAW adalah teladan terbaik bagi keluarga muslim dalam mewujudkan keluarga yang harmoni. Kita diperintahkan untuk saling bergaul secara makruf dengan pasangan kita, saling berlemah lembut di antara keduanya, isteri kepada suami dan sebaliknya suami terhadap isterinya, sesuai dengan firman Allah SWT,
وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ ۚ فَاِنْ كَرِهْتُمُوْهُنَّ فَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّيَجْعَلَ اللّٰهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْرًا
“Dan bergaullah dengan mereka menurut cara yang patut. Jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya.” [TQM An-Nisa (4): 19]
Rasulullah SAW pun telah memberikan contoh terbaik bagaimana bergaul secara makruf dengan isteri-isterinya. Rasulullah SAW bersabda,
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ ِلأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ ِلأَهْلِي
“Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik perbuatannya terhadap keluarganya. Sesungguhnya aku sendiri adalah orang yang paling baik di antara kalian dalam melayani keluargaku.” [HR Ibnu Majah]
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik kepada isterinya.” [HR Tirmidzi]
Pergaulan yang baik di antara pasangan suami isteri akan menumbuhkan persahabatan dan seterusnya akan menciptakan ketenteraman dalam jiwa dan kedamaian dalam kehidupan. Seorang suami tidak boleh membuat isterinya berasa tersinggung atau bermasam muka, walaupun dalam perkara yang tidak sampai menimbulkan dosa, berlemah lembut dalam bertutur kata, tidak bertindak kasar dan keji, serta tidak menampakkan kecenderungan kepada perempuan lain.
Begitu juga isteri, dia melaksanakan ketaatan kepada suami bukan kerana terpaksa, tetapi kerana ketaatannya kepada Allah SWT. Ketaatan isteri kepada suami akan dapat mewujudkan ketenteraman dan kedamaian di dalam kehidupan suami isteri.
Namum begitu dalam kehidupan perkahwinan tidak selalu semuanya berjalan lancar, kadang kala ada hal-hal yang “mengganggu” dalam hubungan suami isteri yang bermula dari adanya prasangka antara satu sama lain. Di sinilah dituntut untuk berbaik sangka atau husnuzon terhadap pasangan agar ikatan perkahwinan semakin kukuh dan dapat memupuk keharmonian dalam keluarga. Lalu, bagaimana Islan mengatur perkara ini?
Islam Memerintahkan Bersangka Baik (Husnuzon)
Muhammad Asroruddin Al Jumhuri menyatakan bahawa husnuzon adalah satu perilaku mulia, iaitu bersangka baik, boleh jadi kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Sikap ini merupakan cara pandang seseorang melihat sesuatu secara positif sehingga hati dan fikirannya bersih daripada prasangka yang belum tentu kebenarannya.
Islam memerintahkan kita untuk selalu berprasangka baik dan menghindari prasangka buruk, sebagaimana firman Allah SWT,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اجْتَنِبُوْا كَثِيْرًا مِّنَ الظَّنِّۖ اِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ اِثْمٌ وَّلَا تَجَسَّسُوْا وَلَا يَغْتَبْ بَّعْضُكُمْ بَعْضًاۗ اَيُحِبُّ اَحَدُكُمْ اَنْ يَّأْكُلَ لَحْمَ اَخِيْهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوْهُۗ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ تَوَّابٌ رَّحِيْمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang. [TQM Al-Hujurat (18): 12]
Dalam sebuah riwayat, Rasulullah SAW telah bersabda, “Posisikanlah urusan saudaramu di posisi yang terbaik, sampai terdapat bukti yang menyatakan salah, dan janganlah berprasangka buruk pada ucapan yang keluar dari saudara kalian, jika kamu masih dapat memberikan kemungkinan-kemungkinan baik.” [Amali as-Shaduq]
Jelaslah, dalam banyak hal, Islam sangat mencela sifat buruk sangka kerana kesan-kesan negatif yang boleh ditimbulkannya. Buruk sangka akan membawa kesan buruk pada psikologi (batin) kita, juga mengganggu keharmonian hubungan antara sesama manusia. Ali bin Abu Thalib berkata “Prasangka buruk akan merosakkan pelbagai urusan dan menyebabkan munculnya pelbagai keburukan.”
Lebih buruk bila sifat tercela tersebut menimpa pasangan suami isteri. Bila keadaan seperti ini berterusan, kehidupan rumah tangga akan jauh dari kehangatan kerana saling curiga dan boleh jadi keretakan yang membawa kepada pergolakan rumah tangga.
Husnuzon kepada Pasangan
Kita mengetahui bahawa pernikahan adalah menyatukan dua orang yang berasal dari latar belakang yang berbeza dan dua keluarga yang berbeza. Oleh kerana itu, suami isteri perlu saling memahami kelebihan dan kekurangan masing-masing, serta menerimanya dengan lapang dada tanpa ada penyesalan. Saling memahami dan bersangka baik terhadap pasangan akan menimbulkan rasa saling percaya di antara pasangan dan empati terhadap pasangannya. Islam memerintahkan kepada kita untuk sentiasa bersangka baik kepada sesama muslim, lebih-lebih lagi kepada pasangan kita.
Ketika ada permasalahan, maka bukan kecurigaan yang patut difokuskan, tetapi berprasangka baik terlebih dahulu, kemudian melakukan tabayyun (menyelidiki) dan membahasnya bersama. Walau demikian, bukan terus bersikap tolak ansur juga terhadap kesalahan dan kelemahan yang dapat merugikan pasangannya. Namun, sikap ini memudahkan suami isteri untuk berfikir secara rasional sebelum memberikan pendapat dan menilai pasangannya.
Misalnya, sewaktu pulang kerja suami melihat keadaan rumahnya belum tersusun rapi seperti biasanya, atau hidangan belum siap, seharusnya dia berpikir positif. “Mungkin isteriku kurang sihat, atau anak-anak meragam sepanjang hari sehingga tidak sempat membersihkan rumah dan memasak.” Begitupun seorang isteri, hendaklah selalu berusaha berfikir positif, jika sesekali suaminya lewat pulang kerja, dia patut berfikir, “Mungkin tadi jalan sesak atau ada pekerjaan lebih masa.”
Justeru, ketika melihat hal-hal yang tidak biasa atau dianggap salah dari pasangannya, dia akan berusaha untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan positif. Dia tidak akan terburu-buru curiga dan menuduh bukan-bukan pada pasangannya. Berfikir positif akan menjadikan seseorang lebih bijak dalam menilai tingkah laku pasangannya. Mereka tidak tergesa-gesa dalam mengambil keputusan berkaitan kehidupan berumah tangga, serta tidak mudah terpengaruh dengan cakap-cakap dari pihak luar.
Oleh sebab itu, hendaklah kita selalu berfikir positif, melihat hal-hal kebaikan, sisi-sisi kelebihan dari pasangan, bukan mencari-cari kesalahan, kelemahan, kekurangan, dan hal-hal negatif dari pasangan. Ini kerana semuanya bermula dari cara memandang pasangan.
Jika suami menggunakan cara pandang negatif, maka apa pun perbuatan isteri akan masuk dalam cara pandang ini. Tidak ada kebaikan dari perbuatan isterinya. Namun, jika menggunakan cara pandang positif, maka semua yang dilakukan isteri memiliki nilai positif di mata suami. Dalam kaitan dengan cara pandang positif ini, Nabi Muhammad SAW telah berpesan, “Janganlah seorang lelaki beriman membenci (menceraikan) perempuan (isterinya). Jika dia tidak menyukai salah satu perangainya, nescaya dia masih menyukai segi-segi lainnya.”
Dengan berfikiran positif, seseorang akan semakin tenang menjalani kehidupan, bebas dari tekanan perasaan, dan mudah merasakan kebahagiaan. Hal ini pun telah dijelaskan oleh Amirul mukminin Ali bin Abu Thalib. “Prasangka baik akan membuat hati tenang. Prasangka baik akan mengurangkan kesedihan, dan menyelamatkan diri dari membuat dosa. Barang siapa yang berprasangka baik pada seseorang, maka akan menarik rasa cinta kepadanya.”
Ketika Islam mengharuskan saling berprasangka baik antara suami dan isteri, tetapi tidak bermaksud nasihat-menasihati antara suami dan isteri menjadi terhalang. Ketika suami melakukan perbuatan maksiat atau tidak memenuhi kewajipannya, maka isteri tetap wajib mengingatkan suaminya untuk kembali kepada tuntutan Islam. Misalnya ketika suaminya membawa wang tambahan bagi isteri dan anak-anaknya di luar waktu gaji tetapnya, maka bukan suatu hal yang salah jika isteri bertanya dari mana wang tambahan tersebut diperoleh.
Demikian pula sebaliknya, apabila isterinya membuat maksiat atau tidak melaksanakan kewajipannya. Contohnya , keadaan rumah yang tidak terurus atau tidak ada makanan untuk suami dan anak-anaknya, padahal tidak ada keuzuran, maka seorang suami wajib untuk menasihatinya sehingga keluarga tersebut menjadi keluarga yang penuh berkah kerana syariat dilaksanakan dalam keluarga kita dengan penuh kesungguhan.
Khatimah
Sesungguhnya apabila terdapat perbezaan pendapat dikalangan suami isteri dalam kehidupan perkahwinan merupakan hal yang lumrah. Namun, kadang kala perbezaan pendapat ini disebabkan oleh kurangnya rasa percaya dan sukarnya bersikap husnuzon kepada pasangan.
Di sinilah pentingnya bagi suami isteri untuk selalu belajar menerima bagaimanapun keadaan pasangan kita, kelebihan dan kekurangannya disertai dengan komunikasi yang berterusan. Hal ini lambat laun akan menimbulkan kepercayaan dan sikap bersangka baik terhadap pasangan.
Saling terbuka juga merupakan salah satu kunci penting dalam menanamkan kepercayaan terhadap pasangan. Oleh itu, amat penting untuk selalu bersikap husnuzon pada pasangan demi menjaga hubungan kita dan agar pasangan kekal sihat. Berfikir positiflah kepada pasangan, insya Allah kita akan selalu merasa bahagia bersama pasangan. Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat