Perjuangan Parti Politik Islam adalah Menegakkan Negara Islam
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM Ustaz Abdul Hakim Othman menyatakan bahawa perjuangan parti politik Islam sepatutnya adalah untuk menegakkan negara Islam.
“Bagi parti politik Islam, seharusnya dia kena memahami bahawa negara yang ada sekarang adalah negara sekular yang tidak menerapkan Islam. Maka perjuangan mereka sepatutnya adalah perjuangan untuk menegakkan negara Islam,” katanya dalam program Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM bertajuk “Adakah Bilangan Pengukur Kebenaran Dan Kemenangan?”, Jumaat (1/8/2025).
Beliau menjelaskan, objektif penubuhan parti politik Islam seharusnya adalah untuk menerapkan Islam. Tidak sepatutnya parti politik Islam berjuang untuk mengekalkan sistem sekular iaitu sistem dan undang-undang yang datang daripada penjajah.
“Dengan kata lain, menggantikan negara yang ada kepada negara Islam dan menggantikan segala undang-undang, segala sistem yang ada kepada sistem dan juga undang-undang Islam,” jelasnya.
Lanjutnya, apa sahaja aktiviti yang dilakukan oleh parti politik Islam seharusnya bersesuaian dengan objektif penubuhannya.
“Jadi kalau namanya parti politik Islam, objektifnya nak menerapkan Islam, nak menukar sistem sekular, undang-undang sekular kepada undang-undang Islam, tetapi tiba-tiba buat satu aktiviti hanya nak menjatuhkan seorang Perdana Menteri, nak ganti dengan siapa kita tidak kisah, tanpa mereka mempedulikan sistem yang diterapkan, maka macam mana dia nak mencapai objektif penubuhan parti dia?” soalnya.
Beliau memperlihatkan bahawa jika parti politik Islam masih lagi berjuang untuk menukar pemimpin tetapi tidak berjuang untuk menukar sistemnya, sebenarnya mereka tidak ada beza dengan parti politik sekular. Parti politik sekular memang tidak mahu menukar sistem sekular kepada sistem Islam dan negara sekular kepada negara Islam.
“Kalau ahli-ahli gerakan Islam tersebut masih mahukan demokrasi, berjuang dalam ruang lingkup demokrasi, mematuhi segala ajaran, segala undang-undang yang ditetapkan dalam demokrasi, maka sebenarnya walaupun namanya parti Islam, walaupun namanya gerakan Islam, tapi sebenarnya apa yang mereka lakukan tidak ada bezanya dengan parti politik sekular,” tegasnya.
Tambahnya, aktiviti parti politik sekular hanyalah fokus kepada pertukaran pemimpin atau pun pertukaran kerajaan kerana objektif mereka adalah untuk meraih kekuasaan.
“Jadi kalau parti tersebut merupakan parti sekular, maka sudah pasti dia akan bergerak dalam sistem sekular, dia akan bermain dalam sistem sekular, segala aktivitinya adalah aktiviti yang tidak akan bertentangan dengan sistem sekular dan undang-undang sekular yang ada dan kalau dia nak mengganti Perdana Menteri sekalipun, dia nak mengganti kerajaan sekalipun, dia tidak akan menggantikan sistem yang diterapkan kerana memang itu objektifnya,” ujarnya.
Beliau menerangkan bahawa parti politik Islam tidak akan dapat menerapkan Islam apabila mereka hanya memfokuskan perjuangan atau pun aktiviti untuk menukar orang sahaja, bukan menukar sistem.
“Sebenarnya objektif perubahan parti politik Islam tu jauh tersasar apabila mereka melakukan satu aktiviti yang hanya memfokuskan untuk menurunkan seorang manusia, bukannya menurunkan keseluruhan sistem sekular untuk digantikan dengan keseluruhan sistem Islam,” simpulnya.
#partipolitik #politikislam #gerakanislam #tukarpemimpin #tukarsistem #tolakdemokrasi