Syaitan Berlepas Diri Daripada Orang Kafir (1) [Tafsir Surah Qaaf (50): 27-29]
Oleh: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I
۞قَالَ قَرِينُهُۥ رَبَّنَا مَآ أَطۡغَيۡتُهُۥ وَلَٰكِن كَانَ فِي ضَلَٰلِۢ بَعِيدٖ ٢٧ قَالَ لَا تَخۡتَصِمُواْ لَدَيَّ وَقَدۡ قَدَّمۡتُ إِلَيۡكُم بِٱلۡوَعِيدِ ٢٨ مَا يُبَدَّلُ ٱلۡقَوۡلُ لَدَيَّ وَمَآ أَنَا۠ بِظَلَّٰمٖ لِّلۡعَبِيدِ ٢٩
”Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong”. Allah berfirman: “Janganlah kamu berbalah lagi di hadapan-Ku, padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah). “Keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Ku.” [TMQ Qaaf (50): 27-29]
Dalam ayat-ayat sebelumnya, telah diberitakan tentang suatu peristiwa yang akan berlaku pada Hari Kiamat, iaitu ketika ada individu yang dicampakkan ke dalam neraka. Individu tersebut memiliki sifat yang sangat ingkar, keras kepala, sangat menghalang kebaikan, melampaui batas dan dipenuhi keraguan. Dia juga menyembah selain Allah SWT.
Ayat ini masih menceritakan tentang perdebatan antara orang-orang kafir dengan syaitan daripada kalangan jin.
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman:
۞قَالَ قَرِينُهُۥ رَبَّنَا مَآ أَطۡغَيۡتُهُۥ وَلَٰكِن كَانَ فِي ضَلَٰلِۢ بَعِيدٖ ٢٧
”Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong”
Kalimat « قالَ قَرِينُهُ » merupakan kalimat isti’nâfiyah (kalimat baru yang terpisah dari sebelumnya [1]). Yang dimaksudkan dengan qarîn (pendamping) dalam ayat ini adalah syaitan. Demikian penjelasan Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah, Ibnu Zaid, dan lain-lainnya. Mujahid berkata, “Qarîn di sini adalah syaitan yang ditetapkan untuk dirinya [2].”
Demikian juga penjelasan Ibnu Jarir ath-Thabari, al-Qurthubi, al-Syaukani, al-Khazin, al-Jazairi, dan lain-lain [3]. Bahkan menurut al-Mahdawi, para ulama tidak berbeza pendapat bahawa qarîn yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah syaitan [4].
Pendapat berbeza diriwayatkan oleh ats-Tsa’labi yang mengatakan bahawa Ibnu Abbas dan Muqatil berkata: « قَرِينُهُ » adalah malaikat. Hal itu kerana al-Walid bin al-Mughirah berkata kepada malaikat yang mencatat keburukannya, “Tuhanku, dia telah mempercepatkan aku.” Malaikat pun menjawab, “Tuhan kami, aku tidak membuat dia melampaui batas.” Maksudnya, “Aku tidak mempercepatkannya [5].”
Pendapat yang sama juga disampaikan oleh Ibnu ‘Asyur: Al-Qarîn di sini adalah yang juga disebutkan dalam firman Allah SWT sebelumnya:
« وَقالَ قَرِينُهُ هذا ما لَدَيَّ عَتِيدٌ »[6].
Dhamîr al-hâ‘ (kata ganti diri pihak ketiga) pada kata « قَرِينُهُ » adalah orang kafir. Menurut Ibnu Jarir, orang kafir yang selalu menolak kebenaran [7]. Imam al-Qurthubi berkata, “Maksudnya, syaitan yang selalu menyertai orang kafir yang keras kepala itu berlepas diri daripada dia dan mendustakan dirinya [8].”
Dalam ayat ini diberitakan bahawa syaitan yang sentiasa menemani orang kafir semasa di dunia berlepas diri daripadanya, serta enggan bertanggungjawab terhadap orang kafir itu dengan berkata: « رَبَّنا ما أَطْغَيْتُهُ ». Kata « أَطْغَيْتُهُ » berasal dari kata « الطُّغْيَانُ ». Kata tersebut bermaksud: « تَجَاوُزُ الْحَدِّ فِي التَّعَاظُمِ وَالظُّلْمِ وَالْكُفْرِ » (melampaui batas dalam kesombongan, kezaliman dan kekufuran). Dengan demikian makna « أَطْغَيْتُهُ » adalah « مَا جَعَلْتُهُ طَاغِيًا » (aku tidak menjadikan dia sebagai orang yang melampaui batas), iaitu: « مَا أَمَرْتُهُ بِالطُّغْيَانِ وَلَا زَيَّنْتُهُ لَهُ » (aku tidak memerintahkan dia untuk melampaui batas dan tidak pula menghiasinya untuknya [9]).
Menurut Ibnu Katsir, syaitan yang menjadi qarîn itu berkata tentang manusia yang datang pada Hari Kiamat dalam keadaan kafir, syaitannya berlepas diri daripada dirinya, lalu berkata, “Tuhan kami, kami tidak membuat dia melampaui batas.” Maknanya: « مَا أَضْلَلْتُهُ » (kami tidak menyesatkan dia [10]).
Ibnu Jarir ath-Thabari mentafsirkan perkataan qarîn itu, “Bukan aku yang membuat dia tersesat dan melakukan kemungkaran. Begitulah dia kafir kepada Allah [11].”
Lebih daripada itu, qarîn justeru menyalahkan orang kafir sebagaimana diberitakan dalam firman-Nya:
وَلَٰكِن كَانَ فِي ضَلَٰلِۢ بَعِيدٖ ٢٧
“…tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.”
Huruf al-wâwu merupakan ‘âthifah (kata hubung). Adapun « لَكِنْ » berguna sebagai li al-istidrâk, iaitu membetulkan kalimat yang disebutkan sebelumnya [12]. Sedangkan perkataan « كانَ » merujuk kepada al-insân (manusia) [13]. Disebutkan bahawa manusia itu sendirilah yang berada dalam « فِي ضَلالٍ بَعِيدٍ » (dalam kesesatan yang jauh).
Makna « الضَّلَالُ » (kesesatan) adalah « العدولُ عن الطّريق المستقيم » (berpaling daripada jalan yang lurus). Lawannya adalah al-hidâyah (petunjuk). Allah SWT berfirman:
مَّنِ ٱهۡتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهۡتَدِي لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيۡهَاۚ ١٥
“Sesiapa yang beroleh hidayah (dengan mengikut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga.” [TMQ al-Israa’ (17): 15] [14].
Adapun « بَعِيدٌ » merupakan shifah (sifat) yang menunjukkan keadaan tetap dari kata « بعُدَ » (jauh), lawannya adalah « قريب » (dekat) [15]. Perkataan tersebut berkedudukan sebagai sifat bagi kata « ضَلالٍ » (kesesatan).
Menurut Ibnu ‘Asyur, perkataan al-ba’îd (jauh) digunakan sebagai isti’ârah (kiasan) untuk sesuatu yang mencapai tahap kekuatan suatu sifat sehingga batas yang tidak dapat dijangkau oleh akal dengan mudah. Ini sebagaimana perjalanan seseorang ke tempat yang jauh tidak dapat ditempuh kecuali dengan kesulitan; atau ‘jauh’ dalam erti waktu, iaitu sesuatu yang lama dan mendalam sehingga menjadi penegasan bagi makna fi’l (kata kerja) « كانَ » yang disebutkan sebelumnya. Makna ini seperti dalam firman Allah SWT:
وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلَۢا بَعِيدًا ١١٦
”dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” [TMQ al-Nisaa’ (4): 116]
Maksudnya, kesesatan yang sudah mengakar kuat dalam dirinya menunjukkan bahawa dia bukan hanya sekadar terpengaruh oleh bisikan atau pengaruh pihak lain. Ini kerana seseorang yang hanya mengikuti sesuatu secara membuta tuli tidak akan memiliki keteguhan dalam perkara tersebut, sebagaimana ilmu yang dimiliki oleh golongan al-muqallid (orang yang mengikuti tanpa dalil) berbeza dengan ilmu golongan an-nazhzhar (mereka yang berfikir secara kritis dan mendalam) [16].
Mengenai ayat ini, al-Qurthubi berkata: “Dia telah tersesat daripada jalan kebenaran dan melampaui batas disebabkan pilihannya sendiri. Sesungguhnya aku hanya mengajaknya, lalu dia bersedia menerimanya [17].”
Menurut asy-Syaukani: “Sekiranya dia termasuk dalam kalangan hamba-Mu yang ikhlas, sudah tentu aku tidak akan mampu mengajaknya [18].”
Tidak jauh berbeza, Ibnu Jarir al-Tabari berkata: “Akan tetapi, dia sendiri yang memilih jalan yang menyimpang jauh daripada jalan petunjuk [19].”
Abu Bakar al-Jazairi juga berkata: “Namun, dia sendiri yang berada dalam kesesatan yang jauh daripada petunjuk serta hanyut dalam kesyirikan dan kejahatan [20].”
Menurut Ibnu Jarir, Allah SWT menceritakan ucapan qarīn pada Hari Kiamat itu untuk memberitahu hamba-hamba-Nya bahawa pada hari tersebut, mereka akan saling melepaskan diri daripada tanggungjawab masing-masing [21].
Tiada siapa yang mahu dipersalahkan atas perbuatan orang lain. Masing-masing berusaha untuk melemparkan tanggungjawab kepada yang lain.
Hakikat ini juga dikhabarkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
وَقَالَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَمَّا قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُكُمۡۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِيۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوٓاْ أَنفُسَكُمۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصۡرِخِكُمۡ وَمَآ أَنتُم بِمُصۡرِخِيَّ إِنِّي كَفَرۡتُ بِمَآ أَشۡرَكۡتُمُونِ مِن قَبۡلُۗ إِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢٢
“Setelah selesai perhitungan amal, syaitan berkata, “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu, tetapi aku memungkiri janjiku itu kepada kamu; aku tidak mempunyai sebarang kuasa mempengaruhi kamu melainkan aku telah mengajak kamu lalu kamu mematuhi ajakanku itu; maka janganlah kamu mencerca aku tetapi cercalah diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menolong kamu dan kamu juga tidak dapat menolong aku. Sesungguhnya sejak dahulu lagi aku sememangnya tidak membenarkan perbuatan kamu mempersekutukan aku dengan Allah.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang pedih.” [TMQ Ibrahim (14): 22] [22].
Juga dalam firman Allah SWT:
كَمَثَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ إِذۡ قَالَ لِلۡإِنسَٰنِ ٱكۡفُرۡ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيٓءٞ مِّنكَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦ فَكَانَ عَٰقِبَتَهُمَآ أَنَّهُمَا فِي ٱلنَّارِ خَٰلِدَيۡنِ فِيهَاۚ وَذَٰلِكَ جَزَٰٓؤُاْ ٱلظَّٰلِمِينَ ١٧
”(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah engkau!” Setelah orang itu menjadi kafir, syaitan itu berkatal kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada engkau, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam!” Maka kesudahan kedua-duanya, bahawa mereka ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. Yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim.” [TMQ al-Hasyr (59): 16-17]
Menurut ramai ahli tafsir, ucapan qarīn ini merupakan jawapan terhadap pertanyaan yang dijangka dikemukakan oleh orang kafir, iaitu: “Tuhan kami, syaitan inilah yang telah menyesatkan aku.”
Ucapan tersebut bertujuan agar dia dimaafkan dan tidak dimasukkan ke dalam neraka, kerana dia mendakwa bahawa kesesatannya berpunca daripada hasutan syaitan. Seolah-olah dia ingin mengatakan bahawa kesalahan itu bukanlah berpunca daripadanya, tetapi daripada syaitan yang telah menggoda, menyesatkan, dan menjerumuskannya. Namun, syaitan itu enggan dipersalahkan. Dia menjawab: “Tuhan kami, aku tidak menyesatkan dan tidak menjerumuskan dia. Tetapi dia sendirilah yang berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran [23].”
Demikianlah keadaannya. Pada Hari Kiamat, syaitan-syaitan yang telah menggoda, menyesatkan, dan menjerumuskan manusia akan berlepas diri daripada orang-orang kafir yang pernah mereka sesatkan. Sebaliknya, mereka menyalahkan orang-orang kafir tersebut, dengan mengatakan bahawa merekalah sendiri yang telah memilih jalan kesesatan yang sangat jauh. Alangkah ruginya mereka pada saat itu. Bukan sahaja mereka tidak mendapat sebarang pertolongan daripada syaitan yang mereka ikuti, malah mereka pula yang dipersalahkan. Mereka tidak sesat semata-mata kerana disesatkan oleh syaitan, tetapi kerana mereka sendiri telah memilih kesesatan sejak dari awal lagi.
WalLâh a’lam bi al-shawâb.
Catatan kaki:
[1] Abu Bilal, al-Mujtabâ min Musykil I’râb al-Qur‘ân, 4 (Madinah: Majma’ al-Malik Fahd, tt), 1226
[2] al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 357.. Lihat juga Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), 403
[3] al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 357; al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17 (Kairo: Dar al-Maktabh al-Mishriyyah, 1964), 17; al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Beirut: Dar Ibnu Katsir, 1994), 91; al-Khazin. Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 188; al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, vol. 5 (Madinah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, 2003), 146
[4] al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 17
[5] al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 17
[6] Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , 26 (Tunisia: Dar al-Tunisiyah, 1984), 314
[7] al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 357
[8] al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 17
[9] Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , 26, 314
[10] Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 403
[11] al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 358
[12] Mahmud Shafi, al-Jadwal fî I’râb al-Qur‘ân, 26 (Damaskus: Dar al-Rasyid, 1998), 312
[13] al-Harari, Hadâiq al-Rûh wa al-Rayhân, 27 (Beirut: Dar Thawq al-Najah, 2001), 442
[14] al-Asfahani, al-Mufradât fî Gharîb al-Qur‘ân (Damaskus: Dar al-Qalam, 1992), 509
[15] Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’âshirah, 1 (tt: ‘Alam al-Kitab, 2008), 226
[16] Lihat Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , 26, 314
[17] al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 17
[18] al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, 5, 91
[19] al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 358
[20] al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, 5, 146
[21] al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 358
[22] Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 403. Lihat juga al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, vol. 4, 387; al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, vol. 5 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1998), 14 2; al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26 (Damaskus: Dar al-Fikr al-Mu’ashir, 1998), 300; al-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahmân, 806
[23] Al-Alusi, Rûh al-Ma’ân, 13 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 336; al-Khazin. Lubâb al-Ta`wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, vol. 4, 189. Lihat juga al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, vol. 4, 387; al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 127 (Bierut: Dar Ihya` al-Turats al-‘Arabi, 1420 H), 137
Sumber: https://alwaie.net/tafsir/setan-berlepas-diri-dari-orang-kafir-1/
#TafsirQuran #Orangkafir #GodaanSyaitan